Sunday, December 28, 2014

Solat dan banjir

SOALAN & JAWAPAN BERKAITAN SOLAT
JAMA’ MUSIM BANJIR
Oleh : Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman
SOALAN
Asalamualaikum ustaz, sahabat saya mintak tolong
tanya pada ustaz.. Kes dia mcm ni, kalau badan
perempuan tu kotor kena lumpur banjir lepas tu
tempat solat pun kotor kira darurat ke? Boleh buat
jamak ke? Kes lagi satu, kalau baju kotor kena
lumpur. Bnjir lepas tu ada tempat solat tapi kalau
nak ambik wuduk terpaksa ambik depan lelaki
macam mana tu? Minta Ustaz tolong
jelaskan..Syukran jazakallah.
JAWAPAN
Wa’alaikumussalam,
Solat fardhu sentiasa wajib dalam apa jua keadaan
selagi beraqal dan waras. Ia juga wajib fardhu 'ain
ke atas setiap individu Muslim dan muslimah
walau dalam keadaan banjir.
Ulama mengharuskan jama’ solat Zuhur dan Asar,
Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan
kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama
mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka
yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah
terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk banjir)
dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa
Mumahhidat, 1/185)
Ulama mazhab Syafie mengharuskan jama’ solat
disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua
pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut
mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan
ketakutan atas keselamatan ( biasanya merujuk
kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri
seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e,
1/76 ; Kifayatul Akhyar, 1/337)
Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan
disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan,
wanita yang istihadah dan sepertinya. Mazhab
Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk
jama’ ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat
Muslim yang sohih dari Ibn Abbas
ﻋﻦ ﺍﺑﻦ ﻋﺒﺎﺱ ﺃﻥ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﻟﻠﻪ ﺟﻤﻊ ﺑﻴﻦ ﺍﻟﻈﻬﺮ ﻭﺍﻟﻌﺼﺮ،
ﻭﺍﻟﻤﻐﺮﺏ ﻭﺍﻟﻌﺸﺎﺀ ﺑﺎﻟﻤﺪﻳﻨﺔ ﻓﻲ ﻏﻴﺮ ﺧﻮﻑ ﻭﻻ ﻣﻄﺮ. ﻗﻴﻞ
ﻻﺑﻦ ﻋﺒﺎﺱ : ﻣﺎ ﺃﺭﺍﺩ ﺇﻟﻰ ﺫﻟﻚ ؟ ﻗﺎﻝ : ﺃﺭﺍﺩ ﺃﻥ ﻻ ﻳﺤﺮﺝ
ﺃﻣﺘﻪ
Ertinya: Rasululllah telah menjama’kan solat Zohor
dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa
jelas ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan
atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas apakah
tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu
agar tidak menyukarkan ummatnya.
Kesatuan ulama Fiqh sedunia telah
membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat
kesukaran, keuzuran, sakit dan yang sepertinya
bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’
solat sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa
sebarang keuzuran dan suasana yang munasabah,
jama’ TIDAK DIBENARKAN.
KESIMPULAN
Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi ( Fatawa Mu’asiroh)
mengharuskan jama’ dalam keadaan uzur dan
kesukaran, ini terpakai dalam suasana banjir dan
keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan
rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI
MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya dalam
keadaan banjir belum surut, hujan pula masih
turun, pakaian dan peralatan serba kurang. Air
bersih terlalu terhad.
Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN untuk
menjama'kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib
dan Isyak, ia meringankan kerana dengan sekali
wudhu’ dua solat fardhu dapat diselesaikan,
pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar
untuk berwudhu berulang kali dalam keadaan
kekurangan air bersih yang meyakinkan. tetapi jika
batal diantara dua solat jama' itu, wudhu tetap
WAJIB diambil.
Jika terlalu terdesak dan tiada air mineral atau
bersih paip, menggunakan air banjir juga masih
dibenarkan namun wajar dielakkan setakat
mampu.
Cuma para ulama bersepakat jika solat jama’
tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan
keringanan ini, solat adalah batal dan tidak sah.
Jika penempatan banjir atau rumah mangsa banjir
adalah seperti gambar, iaitu turut dinaiki air dan
tiada tempat yang kering sepenuhnya, maka
DIHARUSKAN solat sambil duduk atas kerusi,
dengan rukuk dan sujud sekadar membengkok
badan ke bawah. sujud mestilah lebih ke bawah
berbanding rukuk. namun tiada menyentuh air
banjir
BERCAMPUR LELAKI WANITA
Manakala soalan, berkaitan campur lelaki wanita di
tempat wudhu’, wudhu masih mesti diambil. Bagi
membolehkan ia diambil oleh wanita saya
mencadangkan beberapa perkara iaitu :
1) Cakap elok-elok pada kaum lelaki agar pergi
mengosongkan tempat terbabit sebelum
berwudhu’.
2) Minta ketua atau pegawai beri kerjasama untuk
wanita berwudhu’.
3) Meminta saudara mara ambil kain cadar atau
yang sesuai bagi dibuat penghadang semasa ahli
keluarga wanita masing-masing ingin mengambil
wudhu.
Sekian, semoga dapat beramal dalam apa jua
keadaan.
- Dr. Zaharuddin Abd Rahman.
Semoga tulisan ini dapat membantu mereka yg
dlm kesulitan...share

No comments: