Sunday, December 28, 2014

I bantu Ikram

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
28 Disember 2014 bersamaan 6 Rabiulawal 1436H

IKRAM Lancar Misi Kasih Bantuan Bencana Banjir

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) melahirkan rasa simpati yang amat sangat dengan situasi banjir yang melanda negara ini, terutamanya yang paling teruk kini di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak. Banjir yang berlaku kali ini amat luar biasa dan dahsyat berbanding banjir-banjir yang berlaku sebelum ini, menyamai atau mungkin lebih besar daripada banjir besar yang berlaku pada tahun 1926.

1. IKRAM menyarankan agar kita semua sama-sama menerima bencana ini sebagai suatu ujian dari Allah SWT dan melihatnya sebagai peluang untuk kita rakyat Malaysia daripada pelbagai latarbelakang agama dan bangsa supaya bersatu menghadapi dan menanganinya.

2. Selaras dengan situasi banjir yang semakin meruncing ini, IKRAM melalui agensi khidmat masyarakatnya iaitu i-Bantu telah dan akan terus mengambil inisiatif untuk menyusun dan menyelaras usaha-usaha bantuan bersama-sama agensi-agensinya yang lain seperti IKRAM Health, IKRAM Siswa dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan swasta, NGO-NGO, kelab-kelab, rangkaian-rangkaian pasar raya dan orang-orang perseorangan. Sehubungan itu, Pusat Gerakan Banjir i-Bantu Nasional dan Bilik-bilik Gerakan i-Bantu Negeri telah diaktifkan di seluruh negara untuk tujuan tinjauan, penyelarasan dan penyaluran bantuan. 

3. Misi-misi bantuan khas yang disertai para doktor perubatan bersama bekalan ubat-ubatan dan makanan telah dihantar ke Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak sejak seminggu yang lepas. Di samping itu, pasukan-pasukan sukarelawan i-Bantu seluruh negara telah digerakkan bagi menyalurkan bantuan segera ke kawasan yang terjejas.






4. Berdasarkan kepada pemerhatian langsung di kawasan-kawasan yang dilanda banjir dan data yang dikumpul oleh para sukarelawan i-Bantu, beberapa keperluan telah dikenalpasti berdasarkan kepada tempoh masa daripada mula bencana berlaku.

5. Pada fasa yang pertama, semasa berlakunya banjir, tindakan segera adalah untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang berada di pusat-pusat pemindahan dan di kawasan-kawasan penempatan di pedalaman. Keperluan utama seperti makanan asas seperti beras, lauk-pauk, gula, minyak, dan air minuman perlu dibekalkan. Di samping itu juga ubat-ubatan, persalinan pakaian, keperluan wanita, selimut, keperluan bayi, dan makanan ringan kanak-kanak juga seharusnya diusahakan.

6. Setelah surut banjir, pada fasa yang kedua, apabila mangsa-mangsa banjir kembali ke kediaman masing-masing, bantuan bagi kerja-kerja pembersihan diperlukan secara tersusun dan dengan peralatan yang sesuai.

7. Seterusnya dalam fasa yang ketiga, bantuan bagi pemulihan diperlukan, supaya mangsa dapat beransur-ansur kembali kepada kehidupan sediakala. Ini termasuk membaiki  kediaman yang rosak dan membina persekitaran yang lebih kondusif untuk meneruskan kehidupan.

Selain daripada keperluan fizikal, aspek-aspek sosial dan psikologi juga perlu diambil kira, kerana ia selalunya memberikan kesan yang lebih mendalam pada mangsa banjir, terutamanya apabila melibatkan anggota keluarga yang terkorban atau mendapat kecederaan kekal.

8. Kerja bantuan dalam ketiga-tiga fasa ini bergantung besar kepada dua perkara iaitu tenaga sukarelawan dan dana. i-Bantu sedang giat menggembleng tenaga ahli IKRAM di seluruh negara dan anggota masyarakat yang prihatin untuk sama-sama menyumbang sebagai sukarelawan. Pendaftaran boleh dibuat dengan menghubungi Bilik Gerakan i-Bantu Negeri masing-masing yang boleh dirujuk di laman Facebook i-Bantu.

9. i-Bantu juga telah melancarkan kempen rayuan dana untuk menampung keperluan asasi mereka yang terjejas oleh bencana banjir ini. Sejak awal lagi, i-Bantu telah menerima dan menguruskan dana hasil sumbangan masyarakat untuk tujuan tersebut.

i-Bantu amat menghargai sumbangan daripada seluruh warga Malaysia dan merayu agar sokongan padu ini diteruskan. Sumbangan dalam bentuk kewangan boleh dihulurkan melalui Tabung Kasih Bencana Banjir i-Bantu (Akaun Maybank: 5621 4240 5154; atas nama “Pertubuhan IKRAM Malaysia”).

10. IKRAM dan i-Bantu juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama ikhlas yang telah diberikan oleh sektor korporat seperti Econsave, Firefly, Malindo Air dan AF Jet Company dalam mejayakan misi-misi bantuan i-Bantu dan pertubuhan bantuan bencana lain.

i-Bantu mengharapkan kerjasama sebegini dapat diteruskan dan lebih banyak agensi swasta turut sama terlibat demi membantu mangsa-mangsa banjir melalui saat yang kritikal ini. Semua ini membuktikan rakyat Malaysia amat prihatin dan mampu bersama dalam membantu pihak-pihak yang memerlukan.

11. Seterusnya, i-Bantu menyeru kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama berdoa dan melaksanakan solat hajat bagi memohon pertolongan kepada Allah SWT agar bencana banjir ini segera berakhir dan segalanya digantikan dengan yang lebih baik.
 
Prof Madya Ainullotfi bin Abdul Latif
Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat 
merangkap Pengarah i-Bantu
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

FB i-Bantu:facebook.com/iBantu.IKRAM.Prihatin

No comments: