HIDUP ADALAH MEMBERI
Tiada Kehidupan tanpa Pemberian
Kerna hidup ini pun sesungguhnya anugerah Tuhan
Dan Asma ul Husna yang pertama itu adalah Ar Rahman
Yang bererti, Dia Maha Pemberi Perlindungan
Yang bermaksud, Dia Maha Pemberi Kasihan
Yang bermakna, Dia Maha Pemurah kepada hamba sekelian
Tidak berlaku hidup tanpa ada yang memberi
Lahirnya kita ke bumi ini
Kerna ibu dan bapa yang saling memberi
Kerna Suami itu memberi
Kerna Isteri pun memberi
Kerna seluruh keluarga juga memberi
Dan masyarakat turut memberi
Kerna itu memberilah dan terus memberi …
Berilah Salam
Kerna ia doa keselamatan seluruh alam
Kerna tiada ucapan lagha di syurga kecuali Salam
لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْواً إِلَّا سَلَاماً
Berilah Senyuman kerna ia mengembirakan
Berilah Perhatian kerna ia membahagiakan
Berilah Kasih Sayang kerna ia suatu keperluan
Berilah Sokongan kerna ia menggerakkan
Berilah Cadangan kerna ia mungkin jadi penyelesaian
Berilah Akal Fikiran kerna ia memecah persoalan
Berilah Pedoman kerna ia menjauhi kesesatan
Berilah Nasihat kerna Agama kita mengajarkan
Berilah Sedekah kerna ia meringan beban
Berilah Infaq kerna ia tanda pengorbanan
Berilah Zakat kerna ia suatu kewajiban
Kerna Memberi itu keperluan kemanusiaan
Makanya …
Berilah Keadilan meskipun dalam bersengketaan
Berilah Kebebasan kerna hukum mengawal insan
Berilah Pilihan kerna citarasa kita tidak bersamaan
Berilah Pertimbangan kerna manusia punya perasaan
Berilah Peluang kerna kita harus sama-sama ke hadapan
Berilah Jalan kerna orang lain juga memerlukan
Berilah Masa kerna sedar dan faham memakan zaman
Kerna darjat manusia tidak bersamaan
Kerna nasib insan itu berlainan
Makanya …
Kepada mereka sekelian …
Berilah Wang meskipun yang kepingan
Berilah Harta meskipun sejemput makan
Berilah Tenaga meskipun satu jinjingan
Berilah Jiwa meskipun sekelumit perasaan
Berilah Masa meskipun sedetik kiraan
Berilah apa saja yang ada agar ianya menghiburkan
Kerna Memberi itu suruhan Tuhan …
Makanya …
Apalah disayang yang dalam genggaman
Apalah ditakut untuk berhabisan
Apalah ditunggu hingga kesiangan
Kerna …
Memberi tidak akan kerugian
Memberi tidak akan kehabisan
Memberi tidak akan kepapaan
Memberi tidak akan keletihan
Kerna yang kita beri itu …
Semuanya milik Tuhan
Yang kepada kita diberi pinjaman
Yang nantinya akan dikembalikan
Baik dii dunia ini untuk kita terus gunakan
Atau di hari kemudian untuk kita rayakan
ZullDaud
Kubang Paya, Arau
28 Disember 2014
No comments:
Post a Comment