Friday, December 19, 2014

lelaki-lelaki Gagah

Lelaki-lelaki Gagah

Oleh  Dr Ariza Mohammad

Sehari sebelum Aidil Adha, saya telah selamat membantu melahirkan anak ketiga kepada sebuah pasangan yang telah lama saya kenali. Saya telah menyambut kelahiran ketiga-tiga anak mereka. Sejak dari awal mengandung sehingga selamat melahirkan, saya tidak mengenakan sebarang bayaran. Ada budi mereka kepada saya yang tidak akan dapat saya balas sepenuhnya. Benar sekali kata pepatah Melayu….hutang budi kubawa mati…

Melihat wajah mungil anak yang baru dilahirkan mengingatkan saya kepada peristiwa yang berlaku 10 tahun dahulu. Terbayang segar di ingatan seolah-olah ia baru semalam berlaku.

Ketika itu saya dan teman baik saya, Dr Fatimah Mustafah telah pergi ke Mesir kerana menzirahi anak-anak kami yang belajar di sana. Ketika itu anak saya, Ahmad Mursyid baru berumur 10 tahun dan anak teman saya Dr Fatimah , Aiman berumur sekitar 11 tahun. Kami menghantar mereka ke Mesir untuk belajar Bahasa Arab.

Pada masa yang sama, satu persidangan tahunan doctor-doktor Muslim (FIMA-Federation of Islamic Medical Association) sedang berlangsung di Amman, Jordan.
Walaupun tiada dalam perancangan awal, namun kami tiba-tiba berhasrat pula untuk bersama perwakilan Malaysia ke Amman.

Pada awalnya kami ingin menaiki kapalterbang ke Amman, namun biayanya agak tinggi, tambahan kami ingin membawa sekali kedua-dua anak kami. Lalu, selepas bertanya kepada pelajar-pelajar di Mesir, kami putuskan untuk menaiki kapal ke Jordan. Untuk itu kami harus pergi ke Pelabuhan Aqaba di Jordan. Kami meminta pelajar Mesir membantu membelikan tiket kapal untuk kami ke pelabuhan tersebut. Ini adalah kesilapan pertama kami.

Tiada dalam perancangan awal. Tiada research yang sempurna dan teliti tentang jauh dan jarak perjalanan. Tiada pengalaman dan yang paling penting-tiada mahram bersama. Kami membuat keputusan ke Pelabuhan Aqaba seolah-olah membuat keputusan membeli roti di KLCC.

Namun keputusan telah dibuat. Kami diminta bersiap dan diberitahu ada yang akan mengambil kami untuk dibawa ke pelabuhan di Mesir untuk menaiki kapal.

Jam 3 pagi. Sebuah kereta dengan 2 orang lelaki Mesir datang menjemput kami. Hati saya berdebar. Perasaan saya sangat tidak enak. Selamatkah untuk kami, cuma 2 orang wanita bersama 2 anak  yang belum baligh.  Saya berasa sungguh menyesal. Ketika itu seorang pelajar Malaysia ada bersama kami, Azlan namanya. Beliau adalah Presiden PMRAM ketika itu.

Ketika itulah, beliau membuat satu keputusan yang membuatkan saya terhutang budi sehingga kini.

Beliau memutuskan untuk ikut serta bersama menghantar kami sehingga ke pelabuhan. Walaupun pada asalnya kami berniat pergi sesama kami sahaja. Dia memutuskan untuk membatalkan semua urusannya pada hari itu untuk menemani kami. Satu keputusan tepat yang dibuatnya pada masa yang tepat pula. Jika tidak, siapa tahu, saya mungkin tidak dapat menceritakan ini kepada anda, atau mungkin saya akan menceritakan tentang tragedi dengan linangan air mata.

Tidak saya sangkakan sekali, perjalanan di tengah kegelapan malam itu adalah perjalanan yang sangat menyeramkan. Melintasi padang pasir dan menyusuri lereng-lereng bukit. Tiada lampu di jalan, bahkan tiada kenderaan lain. Suasana sangat sunyi sehingga saya rasakan debaran jantung saya dapat didengari . Saya tidak tenang dan berfikiran buruk. Kemana mereka nak membawa kami? Adakah kami akan dibunuh?

Sehinggalah tiba-tiba kami sampai ke tempat dimana terdapat deretan bas pelancong luar . barulah saya boleh menarik nafas lega. Kami berhenti untuk ke kamar mandi. Rupa-rupanya ramai pelancong asing yang datang ke sini dalam perjalanan ke Gunung Thursina.
Namun kami meninggalkan mereka dan meneruskan perjalanan yang saya rasakan cukup lama dan menyeksakan.

Akhirnya pagi tiba dan kami sampai di pelabuhan pada sekitar jam 9pagi. Kedengaran hiruk pikuk suasana bising di pelabuhan.  Pemandu kami meninggalkan kami, begitu juga Azlan. Sekarang nasib kami dalam tangan Tuhan sahaja.
Tidak tahu berbahasa Arab, di negeri asing tanpa mahram dan sekarang kami di pelabuhan tanpa ada apa-apa petunjuk.

Ada sebuah kapal besar di hadapan kami. Ada tangga kayu yang disandarkan ke kapal dan kelihatan ramai orang-orang Mesir tempatan yang menaikinya. Ada yang membawa barangan bahkan ada yang membawa ayam dan kambing! Inikah kapal kami? Seakan tidak percaya. Kami membayangkan kami akan menaiki cruise!  Kami jangkakan ada kamar peribadi dengan katil kecil atau paling kurang tempat duduk bernombor.
Alangkah jauh meleset apa yang kami bayangkan. Kami berebut-rebut naik ke kapal dan di atas kapal telah dipenuhi di setiap ruang dengan manusia. Arab di mana-mana dengan pakaian lusuh mereka-kelihatan seperti dari kampong-kampung. Hampir tiada perempuan.  Tiada tempat duduk. Yang ada hanyalah seperti bench dari besi.  Anak-anakku duduk di atas dek saja.
Kami memandang satu sama lain….dan ketawa! Ya Allah- ……dua orang Pakar Perbidanan, yang seorang mengandung 6 bulan dan 2 anak lelaki muda—apa yang sedang mereka lakukan di atas kapal ini….we must be a strange sight to those local Arabs!

Kami pasrah sahaja dan menunggu kapal untuk bertolak. Perut terasa lapar tetapi tidak tahu di mana boleh mendapatkan makanan. Pada masa yang sama, terdengar pembesar suara membuat pengumuman demi pengumuman dengan begitu kuat sekali tanpa henti. Bingit dan bising tapi kami sepatah habuk tidak faham apa yang sedang diperkatakan. Jam demi jam berlalu tanpa ada tanda-tanda yang kapal akan bertolak. Kami mulai gelisah dan bimbang.

Saya ternampak seorang lelaki Arab yang berpakaian kemas dan kelihatan berpelajaran. Saya bertanya kepada beliau…” Sir, do you know when this ship will start moving?”

Kata beliau…” nobody knows…”.  Kemudian beliau bertanyakan tujuan kami dan kami ceritakan padanya. Beliau bertanya berapa kami membayar tiket kapal, dan bila kami memberitahu kami membayar 100 dollar seorang, beliau menepuk kepalanya dan berkata.., “this is why Arabs will go to hell…they always cheat…”
Rupanya kami sudah kena panggang kaw-kaw oleh Pak Arab.

Saya masih ingat namanya…Khalid. Anak saya memanggilnya Ammu Khalid.  Dia adalah malaikat kedua yang dihantar Allah untuk menjaga kami.
Beliau berjanji untuk membantu kami. Katanya “ I will help you because you have been cheated by an Arab”

Dan dia benar-benar berpegang pada janjinya.  Dia bertanya kepada kami samada kami sudah mendaftarkan diri. Kami tidak tahu sama sekali. Alangkah bodohnya kami, tentu sahaja beberapa kertas pengenalan diperlukan kerana kita akan merentasi border ke Negara lain. Dia membawa kami untuk pendaftaran dan beberapa kertas kerja. Agaknya itulah dia pengumuman bertalu-talu yang kami dengar.

Akhirnya selepas hampir 6 jam, barulah kapal mula bergerak perlahan.  Seingat saya perjalanan mengambil masa 3 atau 4 jam. Saya tidak begitu ingat. Tapi hari sudah mulai senja dan menggelap.

Kesilapan ketiga kami adalah kami tidak menyelidiki tentang jadual perjalanan transport awam di Aqaba.
Apabila Khalid bertanya samada ada sesiapa menunggu kami di Aqaba- kami katakan
 kami merancang menaiki bas ke Amman.
And then he dropped the bombshell—there is no bus to Amman from Aqaba at night!.

Astagfirullahalazhim.  Kami tidak menjangkakan akan sampai sebegitu lewat….

Kemudian malaikat yang bernama Khalid itu berkata, “ ..you follow me, I have a small resort in Aqaba, you can stay there”
Pasrah. Apakah dia boleh dipercayai? Tiada pilihan lain, kami terpaksa mengikutinya. Sambil di hati tidak putus-putus berdoa agar Allah memudahkan segalanya.

Rupanya si Khalid ini orang yang sangat arif dan sudah dikenali di kapal itu. Setelah kapal akhirnya berhenti beliau menyuruh kami mengikutinya melalui jalan berliku di kapal tersebut dan akhirnya keluar. Kamilah orang pertama yang turun dari kapal. Katanya kalau diikutkan kami terpaksa menunggu lama sebelum dapat turun. Urusan visa dimudahkan kerana beliau dikenali di situ.
Kemudian kami berempat naik kereta 4WD yang sudah menunggu beliau.
Penat dan lapar sudah mengatasi rasa bimbang. Sekali lagi kami pasrah. Kemanakah kami akan dibawa pergi….

Hampir jam 12 malam, kami sampai ke sebuah kedai makan di tepi laut. Kami dihidangkan makanan yang kami makan dengan penuh syukur. Kemudian Khalid mengarahkan pekerjanya  membentangkan tikar di atas tanah…..dan situlah kami berempat  berbaring….di atas kami langit indah dengan bintang bertaburan. Hotel beribu bintang….

Saya sempat memberi sms kepada Azlan semasa di kapal lagi dan beliau bercakap dengan Khalid melalui handphone. Mungkin bertanya lokasi. Saya sudah tidak peduli. Kami semua terlelap keletihan. Bukan fisikal yang letih, tetapi emosi kami yang sudah digoncang begitu sekali.

Jam 3 pagi saya terdengar bunyi bising dan Subhanallah, Alhamdulillah,  malaikat ketiga yang dihantar Allah untuk kami tiba. Rupa-rupanya Azlan telah menghubungi pelajar-pelajar Malaysia di Mu”tah dan mereka terus datang mengambil kami tanpa menunggu pagi.

Ya Allah---lega sungguh ketika itu berjumpa pelajar-pelajar Malaysia. Kami di bawa ke penempatan pelajar perempuan dan kami tidur di situ.
Esoknya, walaupun 10 tahun telah berlalu, saya masih ingat kami dihidangkan dengan nasi lemak. Ia nasi lemak paling sedap yang pernah saya makan-apakah kerana ia benar-benar sedap ataukah kerana telah bercampur dengan rencah pengalaman kami sehingga ia terasa begitu enak sekali.
Esoknya pelajar-pelajar lelaki menghantar kami dengan kereta ke Amman. Jauh sekali rupanya dari Mu’Tah ke Amman. Saya masih dapat bayangkan anak-anak saya dan abang-abang solat  zuhur ditengah2 padang pasir.

Sampai di Amman, kami terus ke tmpat persidangan. Ketika itu delegasi Malaysia sedang menaiki bas untuk dibawa sightseeing sekitar Jordan. Kami terus ikut bersama. Delegasi lain, yang semuanya terdiri dari teman-teman serta ikhwah dan akhowat tertanya-tanya dari mana kami datang…kami cuma katakan …panjang ceritanya, sehinggalah saya menulis tentangnya kini.

Banyak yang saya pelajari. Tapi ada pelajaran lebih penting yang saya ceritakan kepada anak-anak saya yang semuanya lelaki.

Kami adalah wanita…Rasul menyifatkan kami seperti tulang rusuk yang bengkok. Kadang-kadang disebabkan pendeknya akal kami, kami membuat keputusan yang salah, kadang-kadang kami membuat keputusan dengan gopoh. Namun itulah kami yang menjadi sempurna kerana ketidaksempurnaan kami. Lalu ketika itulah, antum wahai para lelaki, yang telah di iktiraf Allah melalui ayat-ayatNya adalah ‘qawwamun’ ke atas kami, bertindak menjadi pelindung dan penjaga kami. Jangan cuba melurus kami dan marah kepada kami bila salah keputusan kami kerana kau tidak akan dapat melakukannya bahkan tulang rusuk itu bakal patah.

Jagalah kami, pimpinlah kami dan lindungilah kami. Bila keadaan memerlukan antum menjadi lelaki sejati, buatlah keputusan untuk menjadi lelaki yang “qawwamun’ itu.

Azlan dan Khalid serta pelajar-pelajar Malaysia itu yang tidak kami kenali nama-nama mereka, semoga Allah memberkati mereka kerana tidak menolak menjadi lelaki bila mereka diperlukan!







No comments: