Sunday, September 30, 2007

Mimpi semalam


Pada satu ketika dahulu, mama tidak ingat bila, Syamil (masih bersekolah rendah) bertanya kepada mama, “…. mama kalau kita mimpi jumpa Rasulullah tu maknanya apa?. Mama kata itu mimpi yang baik. Mimpi itu mimpi yang benar . Orang yang bermimpi bertuah kerana dapat menatap wajah manusia yang paling mulia di muka bumi….

“Mama pernah mimpi jumpa Rasulullah tak?” Tanya Syamil lagi……

Ya mama pernah mimpi , jumpa Rasulullah masa tu mama berumur awal 15 tahun, belum baligh lagi, sibuk sibuk tengah study untuk peperiksaan SRP (kini disebut PMR). Mama menghadap Rasulullah sedang duduk di atas kusyen Arab yang lebar, di satu tempat duduk yang lebih tinggi dari mama yang sedang duduk bersimpuh menghadapi baginda. Mama lihat wajahnya bercahaya hanya tersenyum tetapi tidak berkata apa-apa. Masa pertemuan itu hanya sekelip mata. Namun hati rasa bahagia. Apabila mama tanyakan kepada nenek, nenek kata, “……mimpi itu sangat bagus tu, tanda orang bertuah, tidak ramai orang boleh mimpi jumpa Rasulullah. Kata orang kalau kita mimpi jumpa Rasulullah, kita akan akan sentiasa murah rezki dan tidak akan ditinggalkan oleh orang (maknanya kita akan sentiasa disayangi oleh orang sekeliling kita). Kita tidak akan merasa hidup susah. (Esoknya exam, ternyata beberapa bulan kemudian apabila result keluar, subjek ‘sejarah’ yang mama duduki keesokan harinya itu sahaja yang ‘score’ A).

Mama lantas bertanya kepada Iyek (panggilan hormat kepada ayah dalam Bahasa Bugis keturunan bangsawan para Daeng daeng). Ayah mama @Iyek merupakan seorang Ilmuan Islam dan aktivis dakwah dizaman muda dan tuanya. Beliau banyak menulis dan menterjemah buku buku dakwah Ikhwanul Muslimin (IM) terutama karya-karya Allahyarham Sheikh Mustafa Masyhur. Kekaguman Iyek terhadap IM bermula semasa beliau pergi ke Mekah menunaikan Haji pada tahun 1954. Pertama kali berjumpa, berbual dan bermuayasyah dengan seorang yang dia yakin adalah anggota ikhwanul muslimin (sefaham mama, seorang anngota Ikhwanul Muslimin tidak pernah istihar diri mereka sebagai IM). Iyek sungguh kagum dengan keperibadian dan pembawaan karakter seorang IM yang sangat halus budi pekerti dan amat peka jiwa nuraninya. Yang paling ketara ialah komitment Islamnya. Iyek jatuh cinta dengan IM sejak dari hari pertama itu. Dalam fikirannya ia berberkira kira…………..” aku boleh bayangkan kan perasaan cinta para sahabat kepada Rasulullah, sedangkan aku tidak pernah jumpa Rasulullah, hanya bertemu dengan umatnya yang cintakan Rasulullah dan Islam, kini aku terasa sungguh sayang kepada sahabat yang baru aku kenali………Uhibbuka lillah..”

Berbalik kepada mimpi mama tadi, apabila mama ceritakan mengenai mimpi berjumpa dengan Rasulullah. Jadi apa perasaan kamu?, mama jawab:”……rasa seronok dan bahagia, sayangnya sebaik saya sedar dari mimpi itu saya sudah tidak dapat gambarkan wajah baginda….!”. Iyek hanya berkata Alhamdulillah dan menyarankan supaya “Keep It To Yourself” untuk mengelak perasaan Riak, Ujub dan syok sendiri. Namun selepas itu mama merasa sungguh bertuah dan bahagia kerana terpilih untuk bermimpi bertemu Rasuilullah.
Walaupun ada kawan-kawan yang berpendapat bahwa mimpi jumpa Rasulullah S.A.W tidak akan menjamin seseorang itu masuk syurga atau jadi maksum kerana semua itu hak Allah semata-mata. Terserah.

Ada apa dengan mimpi ini?

Imam Muslim telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya : " Sesiapa yang melihat daku di dalam tidur , maka sesungguhnya dia telah melihat daku kerana syaitan tidak menyerupai aku ."
Jadi mimpi bertemu dengan Rasullullah s.a.w. adalah satu berita gembira- basheera buat orang-orang yang bernasib baik. Para ulama berkata bahawa sesiapa yang bermimpi bertemu dengan Rasullullah s.a.w. di dalam tidurnya maka mimpi tersebut adalah benar.

Di dalam satu riwayat yang lain Rasullullah s.a.w. bersabda maksudnya : " Sesiapa yang melihat daku di dalam tidur , maka ia akan melihat daku di dalam jaga ( keadaan sedar ) ."
Ulama telah berselisih pendapat tentang maksud " akan melihat daku di dalam keadaan sedar ."

Pendapat pertama : Ini adalah ditujukan kepada golongan yang hidup di zaman Rasullullah , dan dia tidak berhijrah ke Madinah , maka Allah akan memudahkannya berhijrah dan dia akan melihat Rasullullah s.a.w.
Pendapat kedua :Ia akan melihat baginda Rasullullah s.a.w. di akhirat .
Pendapat ketiga : Ia akan melihat dengan penglihatan yang dikhususkan kepadanya secara dekat dan mendapat syafaat daripada baginda .
Oleh itu sebahagian daripada para ulama berkata bahawa sesiapa yang melihat Rasullullah s.a.w. di dalam tidurnya maka , dengan izin Allah, InsyaAllah ia akan mendapat husnul Khatimah( meninggal dunia di dalam keadaan mulia).

Mengenai syarat untuk melihat Rsullullah s.a.w. dalam mimpi, beberapa orang soleh berpendapat bahawa orang yang biasa melihat Rasullullah s.a.w. adalah orang-orang yang saleh serta menyintai Rasullullah s.a.w. Golongan yang tidak melihat Rasullullah s.a.w. dalam mimpi adalah golongan bid'ah .

Beberapa dalil yang berkaitan dengan mimpi :

“Sesungguhnya Allah akan buktikan mimpi itu benar kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil Haram jika dikehendaki Allah dengan aman”, maksud Surah al-Fath, ayat 27.

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a (mafhumnya): “Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa mimpi manusia ada tiga jenis. Satu, mimpi-mimpi baik lagi benar (rukyaa sadiqah), kedua, mimpi gangguan syaitan dan yang ketiga, mimpi sebagai mainan tidur atau menggigau.”

Berkata Abu Salamah, “Telah berkata Abu Qatadah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, sesiapa yang telah melihat daku dalam mimpinya, maka sesungguhnya dia telah melihat yang benar (al-Haqq)”. Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Kata Prof Dr Harun Din,…” Mimpi benar memang wujud dan boleh berlaku, dengan izin Allah SWT. Mimpi benar, khususnya bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w. boleh digolong dalam erti mimpi anugerah Allah kepada seseorang. Banyak lagi hadis yang menceritakan hal mimpi bertemu Rasulullah s.a.w. yang menggambarkan bahawa mimpi sedemikian adalah berlaku dan ia adalah benar”.
Namun ada tiga mimpi yang tidak boleh dita’abir atau ditafsir iaitu :
1. Perkara yang dicita-citakan pada siang hari yang terbawa-bawa ke dalam mimpi pada malam harinya atau mimpi oleh seseorang yang sakit tenat.
2. Seseorang yang belum lagi mandi junub kerana ketika itu syaitan bersama-sama pada anggotanya.
3. Raja yang zalim atau menteri yang zalim.
"Apabila seseorang darimu melihat mimpi yang menggembirakannya maka hendaklah ia mengucapkan Alhamdulillah dan ceritakannya kepada orang yang lain, dan sebaliknya apabila ia melihat mimpi yang menduka citakannya, maka mimpi itu adalah dari syaitan, kerana itu hendaklah ia mengucapkan Isti'azah dan jangan ceritakannya kepada orang lain kerana mimpi itu tidak mendatangkan mudarat kepada nya."Diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Abi Sa'id.
Adab-adab selepas bermimpi:
Ta’abir mimpi ada pelbagai, kadangkala menyesat dan merunsingkan fikiran, kadangkala menggembirakan dan menyeronokkan. Jadi dalam menangani permasalahan mimpi kita perlu juga satu garis panduan , iaitu jika kita bermimpi baik dan menggembirakan maka bersyukurlah kepada Allah swt. dengan ucapan Alhamdulillah. Kita boleh ceritakan kepada orang lain dan kepada mereka yang kita sayang dengan harapan bahawa mimpi tersebut akan betul-betul berlaku. Sebaliknya jika kita bermimpi buruk dan merunsingkan maka pintalah perlindungan Allah swt. dari kejahatan syaitan yang mengaturkan mimpi-mimpi yang karut untuk menyiksakan jiwa insan. Jika bermimpi buruk juga kita disunatkan melakukan perkara-perkara berikut : 1. Membaca ta'awwuz (A'uuzubillahi minasysyaitoonir roojiim)
2. Meludah kesebelah kiri kita sebanyak 3 kali.
3. Mengubah cara tidur ke sebelah yang lain.
4. Bangun sembahyang 2 rakaat (kalau termampu), lebih baik teruskan tahajjud 8 rakaat + 3 rakaat witir. Semoga malam kita diberkati Allah.

No comments: