Esok kita mula puasa.
Malam nya mama, papa, Abang Uda, Aalaa' dan Hikmat bersolat Tarawih di Surau Al Azim, Taman Keramat yang berdekatan dengan rumah mama.
Mama ni memang melodramatik sikit (itu Aalaa' yang kata). Mama menitiskan airmata. Terharu dik ucapan aluan dari pengerusi AJK Surau Al Azim itu.
Pengerusi memperkenalkan imam baru yang akan mengimamkan solat Tarawikh sepanjang bulan Ramadhan ini. Imam baru ini masih muda berumur dalam lingkungan 14 tahun yang merupakan seorang hafiz Al Quran. Beliau menggantikan abangnya, Imam Syamil yang sebelum ini menjadi imam Tarawih pada tahun- tahun yang lepas. Kini abangnya (juga seorang Hafiz) dan imam muda telah pergi Ke Mesir untuk melanjutkan pelajarannya.
Belum habis pengerusi memberikan kata-kata aluan, tiba-tiba sahaja air mata mama merembes keluar kerana nama- nama itu adalah nama dua orang anak mama. Kerinduan kepada si abang yang kejauhan di rantau orang melilit tangkai hati mama. Sungguh air mata kerinduan itu kadang-kadang tidak realistik.Namun sifat emosional mama tidakboleh dikawal saat itu.
Namun Alhamdulillah apabila seorang anak telah pergi adiknya pula telah menggantikan tempatnya. Kali ini airmata kebahagiaan pula yang mengasak-asak keluar. Mama rasa satu kebahagiaan yang tidak dapat mama bayangkan. Kedua dua anak mama telah dipilih oleh ALlah untuk memberikan khidmat kepada ummah dalam bentuk mengimamkan solat Tarawikh di bulan Ramadhan. Bulan yang penuh rahmah, maghfirah dan janji syurga dari ALlah. Syukur nak kamu telah dipilih Taqdir Allah untuk tugas mulia itu. Bayangkan bagaiman perasaan seorang mama ketika itu?. Manakah nikmat Allah yang mama dustakan?
Apabila Hikmat mula mengimamkan solat tarawikh dan membaca satu kalimah demi kalimah yang bermula dari surah AL Baqarah, air mata mama tumpah lagi, dan air mata itu terus mengalir sehingga habis 10 rakaat pertama. Bacaan Hikmat yang berlagu dan tidak laju laju (no rushing) membuat hati mama terhibur dan beribadah dengan tenang dan khusyuk. Bacaan nya satu satu masuk menusuk dalam hati mama. Mama seolah olah faham setiap patah ayat ayat dari surah Al Baqarah itu. Hikmat adalah seorang imam yang amat tenang semasa membaca ayat ayat keramat itu. Ohhh airmata mengapa kamu mengalir lagi? Bilakah mahu berhenti?
Airmata itu adalah air mata kesyukuran dan kebahagiaan.
Kesyukuran dan kebahagian yang tidak boleh diucapkan tetapi kebahagian yang terasa sungguh dalam di dalam dada. Semoga Allah mengekalkan kebahagiaan itu ke alam akhirat, dimana ibu ini mendapat syafaat dari anak anak hafiznya selepas mendapat syafaat dari Rasulullah!. Allahumma amin.....
No comments:
Post a Comment