Thursday, April 21, 2011

JOM TONTON TEATER ISLAMOPHOBIA

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), sebuah pertubuhan Islam ingin mengajak rakyat Malaysia untuk menonton sebuah persembahan teater bertajuk, “Islamofobia”.

Teater arahan aktivis teater tempatan, Saudara Santhira Morgan ini dipentaskan oleh Serious Comedy Studio. Skrip yang juga ditulis oleh Saudara Santhira, diselia dan diteliti oleh Dr Osman Chua, dari Kulliyah Usuluddin, Universiti Islam Antarabangsa, untuk memastikan kandungannya tidak terpesong dari ajaran Islam. Pra-tonton teater ini turut dihadiri oleh ahli-ahli daripada beberapa pertubuhan Islam termasuk MACMA, Darul Fitrah, dan Jamiiyah

Persembahan pada hari Sabtu 23 April 2011 bermula jam 2030 di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) adalah ditaja oleh Hidayah Centre dan Pertubuhan IKRAM Malaysia. Tempat duduk terhad kepada 200 tempat sahaja. Masuk adalah percuma jika membawa rakan belum Islam. Untuk sebarang maklumat lanjut sila hubungi Encik Zun Arif Hakim ditalian 017-366 7126.

Adalah menjadi hasrat IKRAM agar teater ini dapat menggalakkan perbincangan yang sihat berkenaan satu tajuk yang amat penting dalam kehidupan masyarakat berbilang agama seperti Malaysia.

Jadual persembahan lain disertakan. Sama-samalah kita menyokong usaha murni ini.

Wednesday, April 20, 2011

Baiti Jannati bersama belahan jiwa

Apakah yang kita inginkan dalam rumahtangga dan keluarga kita?

Kita impikan syurga di rumah untuk hidup bahagia bersama belahan jiwa (soulmate).

Belahan jiwa adalah lebih bermakna dari sekadar pasangan, lebih bererti dari hanya seorang suri rumah, belahan jiwa adalah pasangan yang secocok seperti Muhammad Arrasul (saw) dengan 'zauj'nya (pasangan secocok) saidatina khadijah, bukan seperti 'Imraatu Nuh' dan bukan seperti 'imraatu Luth' .(imraatu - perempuan atau orang rumah) . Zaujah/Zauj berbeza makna dnegan inmraatu.

Sudah pasti, tidak ada seorang suami atau isteripun di dunia ini yang menginginkan keluarganya:

  1. Menjadi kacau bilau.
  2. Sentiasa bermasaalah.
  3. Menjadi neraka dunia.

Begitu juga dengan kita di mana kita pasti menginginkan :

  1. Keluarga yang harmoni di mana hubungan suami isteri yang romantik.
  2. Keluarga yang ‘sakinah mawaddah wa rahmah’.
  3. Rumah tangga yang menjadi syurga dunia iaitu baiti jannati’ (rumahku syurgaku).

Untuk mencapainya, Islam mengajarkan kepada kita cara-cara untuk membangun kehidupan keluarga dengan berlandaskan interaksi antara suami dan isteri yang menekankan ciri-ciri berikut:

PERTAMA : KESEIMBANGAN (AT-TAWAAZUN)


Allah swt meletakkan hukum tawazun’ (keseimbangan) pada setiap ciptaanNya.

Kita akan mendapati keseimbangan yang luar biasa pada alam ini misalnya :

  1. Kedudukan matahari yang jaraknya paling sesuai yang menghasilkan keseimbangan pada suhu bumi.
  2. Berlakunya putaran antara siang dan malam.
  3. Bintang-bintang yang menghiasi langit dengan indahnya.
  4. Kewujudan gas Oksigen yang mencukupi untuk pernafasan manusia.

“Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?” (QS Al-Mulk : 3)

Dengan keseimbangan ini, kehidupan berjalan dengan baik. Sebaliknya, apabila keseimbangan ini hilang, yang berlaku adalah kerusakan dan kebinasaan sepertimana ketika manusia merusakkan keseimbangan alam dan membuat tatacara lingkungan kehidupan yang “baru”. Ketika hutan telah ditebang dan dibersihkan, maka air sungai mula dicemari yang akhirnya mengakibatkan banjir dan ini adalah salah satu kesan dari ketidakseimbangan aktiviti yang dilakukan oleh manusia.

Begitu juga dalam kehidupan rumah tangga. Islam mengajarkan keseimbangan ini sebagai salah satu prinsip yang mesti diterapkan oleh suami isteri.

“Dan para perempuan memiliki hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma’ruf…” (QS Al-Baqarah : 228)


Menurut Ath-Thabari, sebahagian ulama’ ketika menjelaskan ayat ini mengatakan :

“Dan mereka (para isteri) mempunyai hak untuk ditemani dengan baik dan dipergauli secara makruf oleh suami mereka. Sebagaimana mereka berkewajiban mentaati suami dalam hal-hal yang telah diwajibkan Allah atas mereka.”

Sedangkan Muhammad Abduh dalam ‘Tafsir Al-Manar’ menafsirkan ayat ini dengan mengatakan :

“Dan yang dimaksudkan dengan keseimbangan di sini bukanlah kesamaan kewujudan sesuatu dan ciri-cirinya; tetapi yang dimaksudkan adalah bahwa hak-hak antara mereka itu saling mengganti dan melengkapi. Tidak ada suatu pekerjaan yang dilakukan oleh isteri untuk suaminya melainkan si suami juga mesti melakukan suatu perbuatan yang seimbang untuknya. Jika tidak seimbang dalam sifatnya, maka hendaklah seimbang dalam jenisnya.”

Sikap seimbang ini mesti wujud dalam kehidupan berumah tangga.

  1. Sebagaimana suami memiliki kewajiban terhadap isteri, isteri juga memiliki kewajiban terhadap suami.
  2. Jika suami ingin isterinya setia, demikian pula isteri menginginkan suaminya setia.
  3. Jika suami ingin dicintai oleh isterinya, isteri juga ingin dicintai oleh suaminya.
  4. Jika suami senang isterinya berhias rapi dan cantik, isteri juga senang jika suaminya berhias rapi untuknya.
  5. Jika suami merasa senang dilayani oleh isterinya, isteri juga turut merasa senang dilayani oleh suaminya.

Jika masing-masing isteri dan suami menerapkan prinsip keseimbangan (tawazun) ini, maka tidak akan ada perasaan yang terbeban oleh salah satunya melebihi yang lain.

Beban dan masalah yang dihadapi oleh keluarga akan menjadi lebih ringan dan perasaan cinta semakin tumbuh dan berkembang apabila melihat pasangan masing-masing telah melakukan yang terbaik di antara mereka.

KEDUA : KEADILAN (Al -‘ADALAH)


Keadilan mestilah menjadi landasan dalam interaksi antara suami dan isteri kerana hanya dengan sikap itulah keharmonian hubungan mampu dijaga dan dilestarikan.

Bahkan lebih dari itu, jika suami dan isteri masing-masing mampu bersikap secara adil maka kesatuan mereka akan menghasilkan sebuah potensi besar yang sangat diperlukan untuk melahirkan generasi penerus yang berkualiti.

“Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS Al-Maaidah : 8)

Sikap adil yang lebih cenderung pada taqwa itu mesti dimiliki oleh suami dan isteri dalam interaksi mereka.

Sikap adil mesti menghiasi kehidupan rumah tangga, dari perkara yang sekecil-kecilnya hingga kepada persoalan yang lebih besar.

Adalah tidak adil jika suami mencela makanan yang disediakan oleh isterinya, sementara ia sendiri tidak mampu menyediakan bahan-bahan asas makanan dan peralatan memasak yang mencukupi.

Adalah tidak adil jika suami menuntut isterinya bersolek seumpama bidadari sewaktu di hadapannya, sementara suami tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk membeli bahan kosmetik yang diperlukan.

Adalah tidak adil jika isteri mencela suami kerana kesalahan kecil sementara kebaikan suami tidak pernah dipujinya.

Adalah tidak adil jika isteri tidak pernah berterima kasih kepada suaminya yang bekerja keras sebulan penuh dan menyerahkan sebahagian gajinya, sementara saat ada hadiah kecil dari kawan-kawannya, si isteri tersebut mengucapkan terima kasih berkali-kali dan menyanjungnya.

Sikap adil mesti dimulai dari pemahaman diri dan penerimaan.

Suami isteri mesti memahami kewajibannya dahulu dan kemudian melaksanakannya dan bukan dimulai dengan menuntut haknya.

Sikap adil lebih mudah dilakukan oleh suami isteri jika ada majlis perkumpulan dalam keluarga di mana majlis perkumpulan ini boleh dilakukan secara santai sambil minum teh bersama atau acara santai lainnya.

KETIGA : CINTA DAN KASIH SAYANG (AL-MAHABBAH WAR RAHMAH)

Cinta dan kasih sayang merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam interaksi antara suami dan isteri di mana kehidupan rumah tangga mestilah dibangunkan di atas landasan ini.

Ada sedikit perbezaan antara ‘mahabbah’ dan ‘rahmah’.

  1. ‘Mahabbah’ adalah cinta di kala suami isteri masih pada usia muda atau usia yang produktif.
  2. ‘Rahmah’ pula adalah cinta di saat mereka sudah menjadi datuk-datuk dan nenek-nenek di mana pada saat itu tidak ada hubungan intim suami isteri sebagaimana lazimnya ketika mereka muda, tetapi kasih sayang tetap membuatkan mereka bersatu dan saling mengasihi meskipun tidur saling membelakangi.

Dengan cinta dan kasih sayang, seorang suami akan berusaha semaksima mungkin untuk membahagiakan isterinya. Demikian pula isteri akan membahagiakan suaminya.

Cinta dan kasih sayang dalam ikatan perkahwinan mestilah menjadi cinta yang paling kuat dan paling kukuh melebihi apapun antara dua orang.

Rasulullah saw bersabda :

“Tidak terlihat di antara dua orang yang saling mencintai melebihi perkahwinan.” (HR Ibnu Majah)

Jadi, bagaimana jika perkahwinan kita belum juga membuahkan cinta atau cinta di awal perkahwinan kini menjadi semakin hambar atau nyaris pupus?

Salah satu tips yang boleh dilakukan adalah dengan mencari satu sahaja kelebihan isteri atau suami kita yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Kalau mencari yang sempurna (lebih dalam segala perkara), percayalah, kita tidak akan pernah mendapati seorangpun manusia seperti itu.

Cari satu sahaja kelebihannya dan fokuslah ke sana. Sudah sampai masanya kita mengabaikan satu pepatah yang mengatakan :

“Rumput jiran tetangga sentiasa lebih hijau.”

Tips lainnya adalah dengan sentiasa mengingati kesetiaan dan pengorbanannya.

Lihatlah sisi kelemahan atau kekurangan kita lalu bersyukurlah kerana Allah menjadikan pasangan kita menerima apa adanya.

  1. Kenanglah di saat kita ditimpa sakit, siapakah yang melayani dan menunggu kita?
  2. Ingatlah saat kita lemah, siapakah yang menguatkan kita?
  3. Renungkan ketika jiwa kita terasa dingin, siapakah yang menghangatkan jiwa kita?
  4. Bahkan, pandanglah anak-anak kita, isteri kitalah yang melahirkan mereka dengan risiko yang mengancam nyawanya manakala suami kitalah yang giat bekerja demi masa depan mereka.

KEEMPAT : MENDAHULUKAN KEWAJIBAN DARIPADA HAK (TAQDIIMU ADA-IL WAAJIBAAT ‘ALA THALABIL HUQUUQ)

Seringkali masaalah rumah tangga bermula dari perasaan ego suami atau isteri. Setiap mereka sentiasa menuntut hak-haknya tetapi tidak memperhatikan kewajibannya. Bahkan setiap mereka begitu tahu secara terperinci apa-apa yang menjadi hak masing-masing, tapi kurang peduli dengan kewajiban mereka masing-masing.

Interaksi suami dan isteri mestilah dibangunkan di atas landasan yang benar iaitu mendahulukan kewajiban daripada hak.

Oleh kerana itulah, buku ‘Kewajiban Isteri Kepada Suami’ mesti dibaca oleh isteri, bukan ditulis untuk dibaca oleh suami. Sebaliknya, buku ‘Kewajiban Suami kepada Isteri mesti dibaca oleh suami, bukan ditulis untuk dibaca oleh isteri.

Diceritakan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bagaimana Abu Darda’ yang sangat mengambil berat terhadap ibadah kepada Allah swt sehingga ia tidak sempat berhias untuk dirinya serta tidak sempat memperhatikan makan minum dan tidurnya.

Ketika Salman Al-Farisi berkunjung ke rumahnya dan mengetahui hal keadaan diri Abu Darda’ itu, ia mendapat pengesahan dari isteri Abu Darda’ bahwa memang Abu Darda’ tidak memiliki hajat pada dunia.

Salman kemudian menasihati Abu Darda’ dengan kalimah yang dipersetujui oleh Rasulullah saw:

“Terhadap tuhanmu ada kewajiban yang mesti kau tunaikan, terhadap badanmu ada kewajiban yang mesti kau tunaikan, terhadap keluargamu ada kewajiban yang mesti kau tunaikan. Maka berikan hak kepada setiap orang yang memiliki haknya.”

Jadi… sudahkah kita memenuhi kewajiban kita sebagai suami atau isteri kepada pasangan tercinta kita atau jangan-jangan kita malah tidak begitu tahu apakah kewajiban-kewajiban kita?

Semoga kita menjadi suami atau isteri yang baik yang dengannya kita mampu menempatkan diri kita untuk dicintai dan disayangi oleh pasangan kita masing-masing.

Ya Allah, permudahkanlah kepada kami untuk kami mewujudkan interaksi yang baik dengan pasangan kami sehingga melalui interaksi yang baik ini akan membuahkan kecintaan, kasih sayang, keseimbangan dan keadilan serta saling melaksanakan kewajiban masing-masing bagi melahirkan kerukunan rumahtangga yang menjadi refleksi kepada ‘Rumahku Syurgaku’.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS

Tuesday, April 19, 2011

Semoga itu baik, InsyaAllah

Pada satu masa dahulu, ada seorang raja yang sangat suka memburu binatang di hutan. Setiap kali baginda pergi berburu, selalu ditemani oleh
seorang sahabatnya yang terkenal dengan ketaqwaan dan hebat wirid dan amalnyanya.

Sahabat raja ini mempunyai satu kebiasaan yang pelik. Setiap kali
raja itu menemui sesuatu yg tidak menyenangkan , sahabatnya selalu berkata,
“Semoga itu baik, insya Allah.” Kata-kata ini selalu diulangi pada
setiap kejadian yg secara zahir nya adalah kejadian buruk.

Pada suatu hari, seperti biasa Raja itu berburu bersama sahabatnya yang ditemani oleh
pengawalnya, tiba-tiba jari raja itu putus kerana terkena libasan pedang. Darah pun terpancut kerana luka itu. Si sahabat tadi secara spontan berkata, “Semoga itu baik, insya Allah.”

Raja sungguh marah dan memerintahkan pengawalnya memenjarakan sahabat baiknya itu.

Setelah pengawal itu memasukkan sahabt itu ke dalam penjara, Raja bertanya kepada pengawal ditanya,

“Apa yg dikatakan oleh sahabat itu semasa kamu menutup pintu
penjara?” Pengawal menjawab, “Ia hanya mengatakan, Semoga ini baik,
insya Allah”.

Raja menggelengkan kepalanya.

Sebulan kemudian, setelah sembuh lukanya, raja pergi berburu tanpa ditemani oleh
sahabatnya, ia tersesat di hutan. Sedangkan di hutan tersebut terdapat kaum 'asli'
yang menyembah berhala. Setiap tahun kaum ini mengorbankan orang kepada berhala
tersebut. Raja pun ditangkap oleh kaum tersebut.

Namun, ketika dia diperiksa didapati bahwa jari raja telah kodong dan tidak lengkap. Mereka pun tidak jadi mengorbankan raja itu, kerana pada kepercayaan mereka sesuatu korban itu harus dalam keadaan cukup sifatnya dan sempurna kondisi nya. Raja itu dibebaskan dan ia kembali ke istananya.

Akhirnya dia menyedari kebenaran ucapan 'pelik' sahabatnya. Sahabatnya pun
dikeluarkan dari penjara dan bebas seperti biasa.

Raja bertanya, “ Ada hikmahnya kamu mengatakan,‘Semoga itu baik, insya Allah" semasa jariku terpotong, kini aku menyedari bahwa kebaikan itu adalah aku tidak jadi disembelih untuk
berhala mereka kerana fizikal ku tidak sempurna".

Jadi apakah agaknya kebaikanya apabila kamu dipenjarakan olehku.?”. Sahabatnya itu menjawab, “Andaikata saat itu saya bersamamu, maka mereka akan menyembelih saya
sebagai penggantimu”

Oleh itu jika anda mendapat atau melihat kejadian buruk ucapkan: "Semoga ini baik, insya
Allah.” Semoga ALLAH SWT memberi kebaikan pada kehidupan Anda. Amin.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu boleh
jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah Maha
Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”. (QS.Al-Baqarah:216)

Hayatan Thayyibah -Kehidupan Yang baik

Ada banyak permintaan yang kita panjatkan kepada Allah swt dalam doa kita sehari-hari dan salah satunya adalah memohon agar dianugerahkan kehidupan yang baik samada di dunia mahupun di akhirat.

Kehidupan yang baik diistilahkan oleh Al-Qur’an dengan “Hayatan Thayyibah” sebagaimana firman Allah swt :

“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (QS An Nahl : 97)

Dari ayat di atas, menjadi jelas bagi kita bahwa permintaan kita dalam doa meminta kehidupan yang baik akan dikabulkan oleh Allah swt bila kita beriman kepada Allah swt dan membuktikan keimanan itu dalam bentuk amal soleh, bahkan balasan yang diberikan oleh Allah swt jauh lebih besar dari amal yang kita lakukan.

Prof. Muhammad Quraish Shihab dalam tafsirnya “Al Mishbah” menjelaskan bahwa “Hayatan Thayyibah” bukan bererti kehidupan mewah yang bebas dari ujian, tetapi ia adalah kehidupan yang diliputi oleh :

  1. Rasa lega.
  2. Kerelaan.
  3. Kesabaran dalam menerima ujian.
  4. Rasa syukur atas nikmat Allah swt.

Yang menjadi persoalan kepada kita, apakah kriteria yang mesti kita penuhi agar kehidupan kita termasuk ke dalam “Hayatan Thayyibah”.

Berdasarkan pendapat para mufassir mulai dari Ali bin Abi Talib, Ibnu Abbas sehingga kepada Sayyid Qutb, Dr. Wahbab Az Zuhaili dan Prof. Quraish Shihab dan sebagainya, paling kurang, ada tujuh kriteria kehidupan seseorang yang mampu mendapatkan “Hayatan Thayyibah”.

PERTAMA : REZEKI YANG HALAL

Setiap manusia tentu memerlukan rezeki berupa makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan keperluan-keperluan hidup lainnya. Untuk itu, manusia mesti mencari nafkah dengan berbagai usaha yang halal. Bagi seorang muslim, mencari rezeki secara halal merupakan salah satu prinsip hidup yang sangat asas.

Kita tentunya mengharapkan dalam usaha mencari rezeki :

1. Banyak yang boleh kita perolehi.

2. Mudah mendapatkannya.

3. Halal dari segi status hukumnya.

Namun seandainya sedikit yang kita dapat, susah mendapatkannya selama status hukumnya halal, itu jauh lebih baik daripada mudah mendapatkannya, banyak perolehannya namun status hukumnya tidak halal.

Yang lebih tragik lagi adalah apabila seseorang mencari nafkah dengan susah payah, sedikit mendapatkannya, status hukumnya juga tidak halal, bahkan risikonya sangat berat, inilah sekarang yang banyak berlaku.

Kita dapati dalam masyarakat kita, ada orang yang mencuri selipar atau kasut di masjid, mengambil dompet orang semasa berasak-asak dalam bas atau komuter dan sebagainya sehingga kepada amalan rasuah dalam segala bentuknya.

Keinginan untuk memperolehi rezeki yang halal merupakan ciri kehidupan yang baik, maka Allah swt mencintai orang yang demikian sebagaimana Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah cinta (senang) melihat hambaNya penat lelah dalam mencari yang halal.” (HR Ad Dailami)

KEDUA : QANAAH

Ketika rezeki yang halal sudah kita perolehi, orang yang mencapai darjat kehidupan yang baik adalah sentiasa qanaah atau menerima rezeki itu dengan senang hati meskipun jumlahnya belum mencukupi. Jumlah yang kita perolehi tidak selalunya mencukupi apalagi melebihi dari apa yang kita inginkan.

Sikap yang bagus adalah menerima dulu apa yang kita perolehi, sedangkan kekurangannya boleh kita cari lagi.

Orang yang tidak qanaah tidak menghargai susah payahnya sendiri kerana ia merasa sudah berusaha namun hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Bila usaha sendiri sahajapun sudah tidak dapat dihargai, apalagi usaha orang lain?

KETIGA : KEBAHAGIAAN

Bagi seorang mukmin, ukuran kebahagiaan bukanlah hanya semata-mata dari aspek duniawi, tapi yang terpenting adalah bila ia boleh menjalani kehidupan dalam kerangka pengabdian dan ketaatan kepada Allah swt.

Oleh kerana itu, apabila seseorang sudah beriman dan beramal soleh, ia akan merasakan kebahagiaan kerana kehidupannya di dunia memberi sumbangan manfaat kebaikan, sedangkan di akhirat nanti akan dimasukkan ke dalam syurga dan ini merupakan kebahagiaan yang tidak ada bandingan dengan apapun jua.

Sebaliknya bila seseorang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Islam apalagi sampai merugikan orang lain, maka tidak ada kebahagiaan yang ia rasakan, tapi justeru hidupnya diliputi oleh kegelisahan dan kekhuatiran, tidak hanya dalam konteks kehidupan dunia tapi juga kehidupan akhirat yang tidak memiliki harapan yang cerah bagi kebahagiaan.

KEEMPAT : KETENANGAN

Bagi seorang muslim, dosa membuatkan kehidupan menjadi tidak tenang. Oleh itu, dengan iman dan amal soleh, kehidupan yang kita jalani insyaAllah terhindar dari dosa yang membuatkan kita menjadi tenang dan ini merupakan salah satu unsur asas “Hayatan Thayyibah” yang amat penting untuk kita miliki. Dosa menjadi faktor kegelisahan sebagaimana yang disebut dalam hadits Rasulullah saw:

“Dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan dalam hati seseorang, sedangkan ia tidak setuju kalau perkara itu diketahui oleh orang lain.” (HR Ahmad)

Bagi mukmin sejati, keadaan enak dan tidak enak merupakan ujian yang mesti dihadapi sehingga ia tidak takut dengan apa-apa kemungkinan perkara-perkara yang tidak menyenangkan berlaku pada diri dan keluarganya. Sesukar manapun pasti ada jalan keluar dan kemudahan.

KELIMA : RIDHA

Kehidupan yang baik bagi seorang muslim tercermin pada sikap ridhanya kepada Allah swt sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Nabi Muhammad saw sebagai Rasul yang diyakini dan diteladani dalam kehidupan ini.

Sikap ini merupakan sesuatu yang amat penting sehingga ia mampu melaksanakan ajaran Islam dengan senang hati dan penuh penghayatan dan sikap seperti inilah yang memastikan seorang muslim akan dimasukkan oleh Allah swt ke dalam syurga sebagaimana dalam satu hadits, Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa yang ridha kepada Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Nabi dan RasulNya, wajib baginya syurga.” (HR Muslim)

KEENAM : SYUKUR

Sudah pasti bagi manusia adanya kenikmatan yang diperolehinya dalam hidup ini sehingga kehidupan yang baik menuntutnya untuk bersyukur kepada Allah swt.

Ketika menafsirkan ayat :

“Jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.” (QS Ibrahim : 7)

Sayyid Qutb mengemukan bahwa ada dua prinsip bersyukur :

PERTAMA, ianya sebagai bukti bagi lurusnya kayu ukur dalam jiwa manusia. Kebajikan itu mesti disyukuri, sebab syukur adalah balasan semulajadinya dalam fitrah yang lurus.

KEDUA, jiwa yang bersyukur akan sentiasa bermuraqabah (mendekatkan diri kepada Allah swt) dalam menggunakan nikmat yang diberikannya itu.

Seterusnya beliau menyatakan bahwa prinsip bersyukur seperti di atas boleh memberikan empat manfaat yang sangat penting dalam kehidupan seorang muslim iaitu :

a. Mensucikan jiwa.

b. Mendorong jiwa untuk beramal soleh.

c. Menjadikan orang lain ridha.

d. Memperbaiki serta memperlancarkan interaksi sosial.

KETUJUH : SABAR

Sabar adalah menahan dan mengekang diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak dibenarkan oleh Allah swt kerana mencari ridhaNya.

Orang yang hidupnya baik tidak mungkin melepaskan sifat sabar dari dirinya, apalagi dalam situasi sukar dan oleh kerana itulah Allah swt mencintai siapa sahaja yang sabar.

Allah swt berfirman :

“Dan berapa banyak Nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikutnya yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada manusia), dan Allah mencintai orang yang sabar.” (QS Ali Imran : 146)

Oleh yang demikian, menjadi jelas bagi kita bahwa kehidupan yang baik tidak hanya membawa kebaikan bagi dirinya, tapi juga kebaikan bagi orang lain bahkan terhadap alam semesta.

Ya Allah, kurniakanlah kehidupan yang baik kepada kami di dunia dan di akhirat sehingga kami tidak merasa kecewa dengan sedikitnya perolehan kami di dunia bahkan kami tetap bersyukur dengan kurniaan dan limpahan rezeki dari Engkau. Namun kami meyakini bahwa ada lagi satu kehidupan yang lebih baik dari kehidupan dunia yang fana ini iaitu kehidupan di dalam syurgaMu di akhirat nanti yang akan dilimpahi dengan segala jenis kenikmatan dan rezeki yang tidak putus-putus.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi (IKRAM Shah Alam)

Monday, April 18, 2011

LELAKI PELINDUNG, WANITA PENGASIH DAN PENYAYANGi


Lelaki perlu tahu yang perempuan:

  1. Sensitif : Bukan bermaksud suka merajuk, tapi hanya ingin bermanja dan mendapatkan perhatian.
  2. Cerewet : Bukan bermaksud FUSSY tak tentu hala, kadang ingin LELAKI mengikut kata-katanya sekali sekala.
  3. Halus : Ibarat sehelai sutera, cantik, mulus, lembut dan mudah tercarik dan koyak. Walaupun seorang wanita memaafkan seseorang yang lain atas sebab sesalahan, biasanya WANITA akan ingat kesalahan tersebut untuk disimpan jadi pengajaran. Bukan DENDAM.
  4. Ikhlas : Ikhlas seorang wanita tak perlu diragui.
  5. Korban : WANITA sanggup berkorban apa saja untuk seseorang yang amat disayangi, termasuk ibu bapa, anak-anak dan suami. WANITA amat tabah.
  6. Prihatin : Sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling dalam diam.
  7. Manja : Walaupun dia adalah seorang WANITA yang pandai berdikari, naluri seorang WANITA masih lagi tetap seorang WANITA. Suka bermanja bukan hanya kepada insan yang bernama LELAKI , namun juga sesama kaum.
  8. Ego : WANITA yang terlalu sayangkan kekasihnya sanggup menolak ketepi EGOnya apabila bersemuka dengan yang dicintai.
  9. Cinta : CINTA pertama bagi wanita adalah yang paling dalam dan tulus.
  10. Seks : SEKs bukanlah segala-galanya buat WANITA kerana WANITA diciptakan dengan 9 nafsu dan satu akal. NAFSU yang banyak dan tidak tertumpu kepada satu saja. LELAKI pula dijadikan dengan 9 akal dan satu nafsu. Fungsi lelaki adalah membimbing WANITA dan bukanmenghanyutkann ya.

“Peranan LELAKI dalam kehidupan WANITA adalah sebagai pelindung dan bukan sebagai pemusnah. WANITA diciptakan oleh ALLAH swt dari tulang rusuk kiri dan untuk dipeluk dan dimanja, bukan untuk dikasari. Maka lelaki haruslah memahami HATI dan PERASAAN WANITA”

Perempuan juga perlu tahu yang lelaki:

  1. Lelaki juga boleh menjadi seseorang yang begitu sensitif dan mengambil berat (prihatin).
  2. Jika seseorang lelaki meminati wanita, wanita itu tak semestinya cantik. Cukup dengan budi bahasa dan kesopanan yang tinggi. Malah lelaki boleh menyukai wanita yang mempunyai banyak persamaan dengannya samada dari segi pemikiran atau minat. Oleh itu, banyak yang boleh dibualkan atau dikongsi bersama.
  3. Kebanyakan masa, lelaki sebenarnya tidak mengetahui perasaan sebenar yang dirasakan oleh seorang wanita.
  4. Lelaki boleh menerima penolakan dengan baik.
  5. Lelaki cuba menonjolkan sikap kelakiannya untuk menambat hati wanita…
  6. Lelaki memang dilahirkan dgn perasaan yg kuat terhadap wanita..sebab itu mereka suka melihat wanita, menjeling wanita dan menonton Baywatch! Atau mencuci mata di tepi pantai atau swimming pool.
  7. Kebanyakan lelaki resah bila berhadapan dengan situasi ingin mengajak wanita keluar kali pertama!
  8. Lelaki cuba meniru gaya selebriti atau berlagak macho hanya kerana ingin memikat hati wanita.
  9. Bila lelaki cakap..”Emm. tengoklah dulu”..itu seringkali bermaksud dia berkata tidak atau kurang setuju.
  10. Bila lelaki cakap direct to the point dalam sesuatu hal, dia sebenarnya ingin bersikap jujur dan berterus-terang dan mengharapkan wanita memahami maksudnya.
  11. Kebanyakan lelaki yang nampak ‘desperate’, datang dari sekolah all boys! (Macam aku kot)
  12. Adalah biasa lelaki cemburu terutamanya apabila perempuan asyik menyebut nama lelaki lain.
  13. Lelaki tak boleh belajar kesemuanya pasal perempuan dari library atau buku semata2. Oleh itu mereka selalu keliru dengan sikap perempuan..dan tak faham kenapa perempuan bersikap begitu begini…
  14. Kadang2 lelaki perlu mengetahui lebih mendalam tentang bagaimana berhadapan dengan perempuan supaya hubungan dapat berjalan dengan lebih baik.
  15. Betapa hebatnya lelaki itu bersikap romeo dan ‘flirting’ dengan ramai wanita..dia tetap hanya ada seorang teman wanita yang istimewa…yang lain hanya kawan..:)
  16. Bila lelaki tertengok dada wanita dan wanita itu menyedari…maafkan saja. Kebanyakan lelaki tak sengaja….Mereka merasakan kejadian wanita itu begitu indah!
  17. Bila sesuatu hubungan putus di tengah jalan, lelaki juga rasa bersedih..cuma dia tak menunjukkannya kesedihannya di depan orang.
  18. Bila seorang perempuan meminati seorang lelaki, perempuan itu patut bagi hint! Mana tau lelaki itu juga menaruh minat. Senang usahanya nanti…
  19. Adalah memalukan bagi lelaki jika tak berupaya menolong wanita.
  20. Kebanyakan lelaki cukup lemah dgn air mata perempuan. Mereka lebih tewas sekiranya air mata itu mengalir dari perempuan yg dikasihi. Sebab itu dikatakan air mata senjata perempuan.

Lelaki bukanlah sempurna 100%, walau bagaimanapun rupanya atau pandangan luarannya. Jadi, perempuan janganlah mengharapkan semua yang hebat dari lelaki! Mereka juga normal dan mempunyai kelemahan!

Sunday, April 17, 2011

Salawat penawar hati yang gelisah


Musibah dan kesengsaraan sudah menjadi sebahagian dari kehidupan orang yang beriman,. Bagaikan dua permukaan duit syilling yang tidak mungkin terpisahkan.

Firman Allah SWT dalam Surat Al Ankabut: "Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan saja mengatakan: " kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji
lagi?"

Musibah dan kesengsaraan dalam kehidupan ini sebenarnya adalah ujian. Orang yang kaya diuji dengan hartanya, apakah dia membelanjakan hartanya di jalan yang benar atau tidak. Yang berilmu diuji dengan ilmunya, adakah dia memanfaatkan ilmu yang telah Allah SWT anugerahkan kepadanya atau menyembunyikannya atau menyalahgunakannya. Malah Si miskin pun diuji dengan kemiskinannya adakah dia sabar atau tidak. Tidak ada orang mukmin yang terlepas dari ujian Allah SWT.

Kita seharusnya perlu membetulkan sikap kita dalam menghadapi dan menerima ujian ini. Kata kuncinya ialah kita sentiasa ber sangka baik (khusnuzzon) dengan Allah. Allah SWT mengetahui hambanya tetap pada jalan-Nya demikian juga hamba nya yang mudah ‘kalah’ dengan acuman syaitan yang sentiasa membisikan waswas dalam hati kita.

Bagi orang yang tetap di jalan-Nya, sentiasa bersangka baik dengan Allah hidupnya akan selalu diliputi dengan rasa aman dan hatinya selalu tenteram, kerana dia yakin, semua yang ditimpakan kepadanya adalah yang terbaik baginya di sisi Allah SWT.


Sebaliknya orang yang selalu bersangka buruk, hidupnya selalu diliputi rasa gelisah, kurang bersyukur, hatta kadangkala membawa ke tahap kufur. Nau'zubillah min dzalik.

Memang tidak mudah untuk kita sentiasa menerima keputusan yang telah Allah SWT dengan berlapang dada. Namun ini bukan terlalu sukar apabila kita tahu cara untuk menghadapinya.

Salah satu cara untuk menghilangkan rasa gelisah dan putus harapan ialah dengan membiasakan diri membaca ‘salawat’ untuk Rasulullah SAW.

Sabda Nabi SAW, "Barangsiapa yang mendapat kesulitan, maka perbanyakkanlah membaca salawat untukku, kerana sesungguhnya ia dapat mengatasi berbagai masalah dan menghilangkan kegelisahan".

Apabila sudah membacanya berkali-kali, kita akan terasa sekali manfaatnya. Hati yang sebelumnya gundah gulana, gelisah dan haru biru akan terasa tenteram dan lapang. Wallahu 'alam bish shawab.