Monday, April 19, 2010

Antara Sofa,Marwah & Quantum Ikhlas….




Ir Endok Sempo binti M Tahir


(Tulisan mama ini telah keluar dalam Majalah Perspektif, mama tak pasti tarikhnya)



Mama ingin bercerita tentang ibadah sa’i. Mama suka bercerita mengenainya walaupun musim haji masih jauh! Walaupun masa Mama melakukan ibadah sa’i telah berlalu hampir 20 tahun yang lalu, namun ingatan terhadapnya masih segar terutama apabila menjalani kehidupan yang serba mencabar. Apabila kehidupan semakin payah, ekonomi dunia yang semakin merudum, Mama rasakan aura ibadah sa’i memberikan suntikan semangat dan motivasi bagi Mama untuk terus melangkah.


Mama pegang kuat kuat kata kata emak Mama: “….Keadaan hidup kita dari muda hingga dewasa saling berganti, ada masa susah ada masa senang. Apabila kita susah, kita redha, kita berusaha kuat dan bersabar. Setelah kita senang kita bersyukur dan bersedekah. Apabila kita makmur hulurkan untuk kebahagian orang lain. Apabila kita kaya bantulah orang yang memerlukan.


Dalam kehidupan ini apabila kita susah, kita boleh berusaha lagi, jika kita silap kita masih berpeluang membetulkan keadaan, kita masih boleh melakukan sesuatu. Tetapi awas di akhirat nanti tidak boleh pandang kebelakang, tidak ada U –turn, there is no turning back, kita terus menghadapi Hakim Rabbul Jalil, kita kena menjawab di depannya samada kita senang atau pun susah, samada kita bersedia atau pun tidak….”


Sa’i ini merupakan rukun dalam Ibadah haji yang bermula dari sejarah isteri Nabi Ibrahim Siti Hajar, ibu Nabi Ismail. Namun diluar dari lingkaran Mekah dan musim haji ia adalah metafora kehidupan seorang pejuang yang tidak kenal erti putus asa.



Sa’i ialah perbuatan (ibadah) berlari-lari anak ulang alik sebanyak 7 kali dari bukit Sofa ke bukit Marwah…



Bayangkan bagaimana Siti Hajar yang bersendirian dengan anak kecil, berada di tengah padang pasir di tanah Arab yang tandus? Ia bingung kerana anaknya (Nabi Ismail) menangis kehausan, sedangkan susunya telah kering. Iapun berlari antara bukit Sofa dan bukit Marwah, mencari air demi anaknya yang kehausan, dia terus berlari…



Menuju puncak Sofa, dia tidak menemui air disana, diapun berlari turun menuju bukit Marwah, dengan harapan mencari air . Dia tidak menemui air yang dicari disitu..



Tanpa putus asa, ia berlari menuruni bukit Marwah dan menaiki bukit Sofa lagi, mencari air disitu atau mungkin mengharapkan seseorang boleh memberikan ia air. Namun dia masih tidak menemui apa-apa pun. Ia menuruni bukit dan dia terus berlari menaiki bukit, mencari air, dia tidak menemuinya, dia menuruni bukit, menyusuri padang pasir yang tandus, menaiki bukit, mencari, tidak menemui air lagi, dia turun semula. Demikianlah dia berulang alik turun naik bukit sofa dan marwah sehinggalah tujuh kali.



Akhirnya, Allah memberikan apa yang ia cari..



Tiba-tiba air segar zam zam memancut dari dalam tanah. Air pancutan ini mampu menghilangkan dahaga bayi kecil Ismail yang sedang dahaga ..



Dari manakah munculnya air tersebut? Bukan di bukit Sofa, bukan di bukit Marwah, bukan pula di antara keduanya….



Tapi dari bawah tapak kaki kecil Nabi Ismail yang memukul-memukul kan tumit kerdilnya yang lembut di atas pasir-pasir yang gersang dan panas membakar. Pancutan air itu dari satu tempat yang tidak terfikir pun adanya air. Tempat yang dianggap paling tidak mungkin ada air oleh Siti Hajar. Air itu dari arah yang tidak diduga-duga.



Itulah kehidupan. Itulah ketidak pastian yang ada dalam hidup ini. Namun ia satu keindahan yang hanya dapat dirasakan oleh hati yang pasrah terhadap keajaiban ilahi dalam zone ‘quantum ikhlas’. Ada banyak pelajaran keindahan kita boleh ambil dari kejadian tersebut.



Ketika kita terlalu inginkan sesuatu, biasanya kita akan bekerja kuat separuh mati dengan cara terbaik yang terfikirkan. Kita cari jalan yang paling munasabah, penuh kemungkinkan untuk mencapai keinginan tersebut.



Namun ada yang berjaya dan ada juga yang gagal.



Apabila kita gagal, kita sedih, kita kecewa, kadangkala kita putus asa. Kita takut untuk mencuba kerana kita rasa akan gagal lagi, sekaligus kita pun yakin kita dah gagal. Kita memang menganggapnya gagal.



Namun pernah kah kita terfikir secara rasinonal. Pernahkah terdetik dalam hati, pernahkah hati kita berbisik dan dikala itu nurani kita mula mencari makna. Kita perhatikan lebih saeksama, sesungguhnya ada hikmah dalam kegagalan itu. Mesti ada makna tersirat maka Allah tidak mengabulkan keinginan kita itu. Sebaliknya Allah sebenarnya telah memberikan perkara yang lebih baik, tapi bukan dari tempat dimana kita berusaha, tapi dari suatu tempat yang tidak pernah kita duga.



Dalam kehidupan Mama terutama dalam dunia perniagaan, Mama selalu sangat mengalami pengalaman sebegini. Mama acapkali gagal memenangi tender atau ‘project proposal’ yang Mama cadangkan tidak diterima kerana masalah yang remeh temeh, walhal Mama telah melakukannya sebaik mungkin.



Satu ketika beberapa tahun yang lalu, Mama dan kakitangan syarikat menyediakan sebutharga bagi satu tender untuk kerja-kerja pemasangan elektrikal dan mekanikal untuk satu kampus pusat latihan kemahiran di Daerah M (nama tempat ini bukan nama sebenar). Kami tidak tahu ini tender keberapa dalam bulan itu kami gagal utnuk mendapatkannya. Namun kali ini kami diberi harapan yang tinggi bahwa syarikat boleh dapat kerja kerja ini jika harga sesuai dengan kemampuan. Harga yang wajar dan syarikat mampu menyediakan kakitangan untuk menyiapkan kerja kerja dalam masa yang telah ditetapkan. Mama menghubungi, menelepon dan menghantar faksimili kepada beberapa ‘pembekal’ untuk memberikan sebutharga terbaik, Mama negotiate dan buat ‘costing’, Mama kira balik Mama review semula, Mama bandingkan dengan harga bagi projek projek yang pernah kami siapkan. Mama menyediakan time line menggunakan ‘microsoft project’. Lebih seminggu Mama tidur dan bangun dengan puluhan helai ‘tender drawings’ yang semakin lenyai, Mama ubahsuai BQ (Bill of quantity) entah keberapa kali apabila harga kabel (dan accessori lain) tidak menentu kerana harga Copper di pasaran dunia yang turun naik. Demikian juga dengan harga bahan binaan yang terjejas. Akhirnya kami masuk tender bagi kerja kerja elektrik dengan sebutharga RM4 juta bagi projek pembinaan kampus yang harga keseluruhan bernilai RM30 juta.



Apabila jawatankuasa penilai tender mengumumkan petender yang menang, syarikat kami kecundang. Kami mendapat nombor 5 terendah dari 10 kontraktor elektrik memasuki tender.




Syarikat yang menang tender berada pada tangga ke empat(4) terendah dengan harga RM3.95 juta. Mama lemah longlai, tidak bermaya. Mama mengambil cuti beberapa hari untuk mengumpul kembali semangat yang telah hilang. Mama tidur siang dan malam untuk menebus malam malam yang hilang semasa mengemaskini dan menyediakan tender dokumen yang berjilid-jilid dan masing-masing 4 inci tebalnya.



Beberapa minggu kemudian seorang kawan lama suami Mama (sdra R) menelefon beriya iya benar untuk bertemu dan bersembang dan sekaligus sembang mengenai Islam dan permasalahan ekonomi negara. Agenda terakhir dalam sembang itu, R menawarkan kerja yang sama profilenya di kampus lain daerah J. Syarikatnya telah menang satu tender kerja-kerja pemasangan elektrikal dan mekanikal tetapi dia sedang mencari sub kontraktor untuk kerja-kerja elektrikal sahaja. Katanya harga kos bagi kerja elektrik ialah RM7.9 dari keseluruhan harga pembinaan projek sebesar RM85 juta.



Dengan separuh hati, mungkin kerana masih penat bercampur dengan sedikit keterputus asaan, kami kata kami setakat ingin mencuba untuk memberi sebutharga. Kami semak drawings, mengira costing dan mengisi BQ kemudian kami hantar dokumen sebutharga itu 3 hari kemudian. Harga yang kami berikan ialah RM7.5 juta. Esoknya R telefon, minta kami datang untuk pembentangan verifikasi projek dan harga. Selepas itu bincang untuk tandatangani perjanjian setuju terima tender. Seminggu selepas itu lawatan tapak projek sekaligus upacara serah tapak (site acquisition) kerana kontrakor utama telah hampir siap kerja- kerja ‘piling’ dan orang elektik kena masuk tapak untuk kerja kerja pemasangan ‘pipings’ di underground beam.





Mama sehingga kini menganggap itu bukan hasil dari kerja keras kami. Kami tidak berusaha sekuat tenaga seperti apa yang kami curahkan bagi tender yang dibuat untuk kampus di daerah M tadi. Logiknya memang kami tidak dapat tender itu, Kerana tenaga yang dihabiskan sangat minimal. R menelepon suami Mama di pejabat untuk urusan lain. Kami kerja atau tidak kerja, R tentu menelepon pejabat. R juga boleh menelefon syarikat lain yang membuat kerja kerja yang sama. R malah sebuah syarikat yang besar sudah tentu mengenali subkontraktor lain dalam senarainya. Hanya mungkin secara kebetulan dia teringat kawan lamanya.



Tapi, tidak ada yang kebetulan. Allah telah takdirkan begitu bukan?



Memang mungkin Allah mengatur segala nya agar R menelefon tepat dikala kami sedang berada di pejabat, sedang mengumpul kudrat dan semangat, sedang tiada apa apa lagi kerja kerja pejabat yang outstanding. Kami memang sangat ’free’ untuk melayan kawan bersembang.




Kerana kalau lah R datang sewaktu kami sedang berperang menyiapkan urusan tender yang perlu mematuhi deadline, mana mungkin kami punya masa untuk melayan R bersembang?



Kerana Allah telah melihat usaha kami pergi dan balik, telefon dan fax, pergi ke hulu ke hilir, bincang dan negotiate, delete, copy and paste BQ, kami kerjakan puluhan tender dokumen tanpa rehat, kerja non stop beberapa hari, tidak tidur beberapa malam.



Allah melihat kami “berlari dari Sofa dan marwah”, maka dikirimkankah “air zam zam” dari tempat yang tidak terduga.



Apabila kita perhatikan, kita biarkan hati kita merasa dan nurani kita melihat, banyak hal-hal yang kita perolehi sebenarnya merupakan jawapan dari usaha kita. Hanya mungkin kita sering menganggapnya itu kebetulan sahaja.




Kita sering mengucapkannya “Aduhai Mama sudah berusaha setengah mati tapi gagal semuanya, nasib baik waktu itu ada ….. “



Namun sebenarnya “nasib baik waktu itu…” sebenarnya adalah jawapan Alalh atas usaha kita, bukan sekadar kebetulan…

Kalau kita tidak pernah berusaha, tidak pernah tunggang terbalik, malas atau enggan ke hulu kehillir, tidak pernah lari dari Sofa dan marwaf, kalimat “nasib baik waktu itu…” tidak akan pernah terucapkan oleh bibir kita kerana air zam-zam itu tidak keluar…



Begitulah manusia, kita seringkali menganggap gagal ketika kita tidak berjaya mendapatkan hasil dari jalan yang kita inginkan. Sedangkan Allah memberikan kepada kita melalui jalan lain.




Jalan dan laluan yang seolah-olah tidak ada hubungan dengan usaha kita, tapi sebenarnya terjadi kerana Allah telah melihat usaha kita… dan ini bukan kebetulan…

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلا تُحَمِّلْنَا مَا لا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya:
“ Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir". Al Baqarah ayat 286.



Jika Siti Hajar berfikir air zam-zam itu keluar hanya kebetulan dan berkata “jika lah aku tahu air zamzam ada disini ie ditapak kaki Ismail begini, lebih baik aku diam sahaja, tidak perlu bersusah payah berlari-lari dari Sofa ke Marwah, tunggu sahaja air terpancut dari perut bumi?...jika beginilah keadaanya, dimanakah sisi semangat juangnya?



Atau sebaliknya jika Siti Hajar jenis wanita yang ‘ambitious’, dia akan tetap dan terus berlari dari Sofa marwah, kerana dia terlalu yakin bahawa air itu ada di antara dua bukit itu. Air yang muncul dari kaki Ismail hanyalah kebetulan semata-mata. Air itu tetap tidak muncul antara dua lembah itu dan dia tidak menemui air di jalan yang dia inginkan, akhirnya dia menganggap Allah tidak mengkabulkan doanya. Allah tidak menilai hasil usahanya dan Allah tidak melihat ikhitiarnya yang begitu memenatkan.



Oleh itu kita tidak sekali kali boleh menyerah kalah dalam sebarang usaha usaha kita. Kita teruslah berikhtiar, teruslah berlari dari Sofa dan marwah, setelah itu tawakal dan hadirkan Allah dalam hati kita.




..." kerana sesunguhnya Allah tidak pernah berjanji bahwa kehidupan ini senang dan mudah tetapi Allah berjanji akan sentiasa bersama kita di setiap langkah kita....."



Serahkan hasilnya pada Allah. Biarlah Allah yang menentukan bagaimana Dia menjawab permintaaan kita dan dari punca mana Dia mengabulkan doa dan ikhtiar kita. Allah pasti akan memberi yang terbaik buat kita, bagi hambaNya yang telah berikhtiar semampu tenaganya dan menghadirkan Allah dalam setiap geraklangkah usahanya.



Mama tertarik dengan teori ” Quantum Ikhlas” dari buku yang Mama beli dari seorang sahabat lama yang pulang dari Jakarta baru-baru ini. Teori ” Quantum Ikhlas” ialah satu proses tranformasi kuantum di bidang pengembangan potensi diri. Satu proses yang meruntun kita meninggalkan zaman dominasi otak (positive thinking) untuk memasuki era kolaborasi hati (positive feeling) . Melalui quantum ikhlas ini kita menyempurnakan proses kecemerlangan individu maupun kegemilangan korporat dari kaedah ” Goal Setting” yang memberatkan kepala menuju era ”Goal praying” yang lebih menyejukkan hati.



Proses potitive thinking dan goal setting biasanya hanya mengutamakan kekuatan diri sendiri yang berupa ’force’ untuk meraih kejayaan yang mendatang. Sedangkan ’positive feeling’ dan ’goal praying’ justru secara integratif mengutamakan kekuatan diri dan kuasa Allah yang menghasilkan power untuk menciptakan kejayaan mulai saat ini juga. Ikhlas tercipta hasil dari ketrampilan penyerahan diri secara total kepada AlLah untuk meraih puncak kejayaan di dunia dan kebahagian hakiki di akhirat.



Percayalah, setiap kejayaan itu bukan kebetulan, tapi itu adalah taqdir Ilahi dan jawapan Allah di atas doa dan usaha kerja keras kita yang kadangkala datang dari punca yang tidak kita ketahui dan kita tidak duga samasekali. Kita teruskan metafora berlari dari Sofa ke Marwah untuk mendapat pancutan zam zam penyejuk kehidupan...

1 comment:

Kawan lama Mama said...

Jzkk Mama.
Baru menghadiri Bab Sa'ie dalam Kursus Haji ahad lepas.Memang betul walaupun dah lebih dua puluh tahun menunaikan haji masih 'fresh' ingatan kita. Tapi kabarnya bukit sora tu telah dipagari cermin.

Kawan lama Mama
Ps: Kawan lama Mama ni tak de la proyek yuta2 nak tawarkan.