Thursday, August 07, 2008

Usah takut miskin kerana bersedekah

Usah takut miskin kerana bersedekah

(Tersiar di Berita Harian 28 Jun 2008)

"APA itu miskin, bu? Budak-budak lain di taman kata kita miskin. Benarkah itu, bu?" tanya si anak. “Tidak, kita tidak miskin, Aiko,” jawab ibunya. “Apakah kemiskinan itu?” Aiko, si anak, bertanya lagi.
“Miskin berarti tidak mempunyai se suatu apapun untuk diberikan kepada orang lain.” Aiko agak terkejut. Oh! Tapi kita memerlukan semua barang yang kita punya, apakah yang dapat kita berikan” katanya menyelidik. “Kau ingat makcik penjual kuih yang menjaja keliling kampung ke sini minggu lepas? Kita memberinya sebahagian dari makanan kita kepadanya. Kemudian dia datang semula ke sini. Kita berikan dia tempat tidur, kerana dia tidak ada tempat untuk menginap malam itu?

“Rumah kita pun jadi sempitkan?” jawab Aiko. Tapi si ibu tidak mengaku kalah “Kan kita selalu memberikan sebahagian dari sayuran kita kepada keluarga Watari, bukan?” katanya. “Ibulah yang memberinya. Hanya saya seorang yang miskin. Saya tidak punya apa-apa untuk diberikan kepada orang lain.” Si ibu tersenyum dan memberikan pandangan pada anaknya.

“Oh! engkau pun ada sesuatu. Setiap orang mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada orang lain. Fikirkanlah hal itu dan kau akan menemukan sesuatu.” Tidak lama kemudian, si anak mendapatkan jawapannya. “Bu! Saya mempunyai sesuatu untuk saya berikan. Saya dapat memberikan cerita-cerita saya kepada teman saya. Saya dapat memberikan kepada mereka cerita-cerita dongeng yang saya dengar dan baca di sekolah.”


“Sudah semestinya! Kerana kau pandai bercerita, seperti bapamu juga. Setiap orang senang mendengar cerita.” “Saya akan memberikan cerita kepada mereka, sekarang ini juga!” kata Aiko. Dialog itu terdapat dalam buku kumpulan kisah-kisah inspirasi Aiko and Her Cousin Kenichi.

Dialog antara ibu dan anak itu, meneguhkan sebuah kesedaran besar, bahawa setiap kita boleh memberi. Ini lebih dari sekadar sebuah kesedaran sosial. Tapi kesedaran untuk menjadikan hidup ini lebih bererti kerana dapat membahagiakan orang orang lain. Akhlak mengenai kesedaran terhadap kehidupan orang lain, dimiliki oleh qudwah yang tidak ada bandingnya, iaitu Rasulullah SAW.

Malah utusan Allah itu disebut sebagai ‘orang yang tidak takut miskin kerana memberi’. Dialah yang menanamkan prinsip menolong orang lain untuk menolong diri sendiri. Perhatikan bagaimana sabdanya, “Allah SWT selalu menolong seorang hamba, selama hamba itu menolong saudaranya.” Atau, sabdanya yang lain, “Barang siapa yang memberi kemudahan kepada saudaranya, maka Allah akan memberi kemudahan baginya di dunia dan akhirat.” Itu adalah prinsip memberi dan menerima yang ditanamkan Rasulullah SAW.

Memberi kepada sesama insan kerana kita percaya kita membuatnya untuk berlumba merebut ganjaran Allah SWT. Secara praktiknya, prinsip itu berubah menjadi memberi dan memberi. Sebab penerimaan itu tidak datang dari manusia, tetapi dari Allah SWT. Mengajak untuk prihatin dan empati, memberi bantuan kepada orang lain, menolong atau memberikan jasa, mengeluarkan infaq dan sedekah, sering kali juga menimbulkan pertanyaan, “Bagaimana saya hendak bantu orang lain? Sedangkan saya sendiri dalam serba kekurangan, malah memerlukan dari orang lain?”

Kita memang mesti ingatkan bagaimana Rasulullah SAW menanamkan nilai bersedekah ini, nilai tertinggi sedekah ialah ketika dan saat kita dalam keadaan yang sangat sulit untuk mengeluarkannya. Suatu hari, datang seorang lelaki kepada Rasulullah dan bertanya, “Ya Rasulullah, sedekah apa yang paling besar pahalanya?” Rasulullah mengatakan, “Yaitu engkau bersedekah dalam keadaan engkau sangat memerlukan, dalam keadaan engkau takut miskin dan dalam keadaan engkau bercita-cita besar mahu menjadi kaya.” - (HR. Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menjelaskan bahawa dalam situasi seseorang bertanya, “Apalah yang boleh saya bantu, kerana saya pun susah dan sangat memerlukan?” Maka rebutlah pahala dengan bersedekah walaupun sedikit. Semakin seseorang di dalam dilema antara keinginan dirinya dengan apa yang akan disedekahkan, semakin tinggi nilai sedekahnya jika benar-benar dilakukan. Kesedaran memberi kepada orang lain, tidak semestinya berupa benda, material, wang ringgit, atau bantuan yang lahiriah. Tetapi boleh saja berbentuk buah fikiran, waktu, idea bernas, dan apa saja yang memberikan bermanfaat.

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir, AJK Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com

No comments: