Bicara Kalbu: Isteri perlu seimbangkan cita-cita, tanggungjawab
Soalan;
SAYA seorang ibu dan isteri berusia 28 tahun yang bercita-cita melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi serta menjawat jawatan terbaik sebelum saya berusia 40 tahun. Untuk pengetahuan puan, saya sudah berkahwin tiga tahun dan pernah berkata pada suami yang saya akan memastikan cita-cita saya tercapai walau apa pun terjadi. Suami saya tidak pernah menghalang niat saya. Selama perkahwinan, saya berkali-kali menunda proses untuk mencapai cita-cita. Sebagai contoh, saya menunda permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan menolak tawaran bekerja ke jawatan yang lebih baik untuk menumpukan perhatian terhadap keluarga. Tetapi, sekarang saya berasakan sudah tiba masanya untuk saya memulakan langkah. Cuma sekarang saya berasa ragu-ragu. Adakah saya sekarang sedang mementingkan diri dan mengabaikan keluarga yang saya sayangi? Saya tidak mahu kebahagiaan yang dikecapi sekarang punah. Saya bimbang nanti ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.’ Saya masih memegang kukuh impian saya untuk sentiasa menjadi seorang ibu, isteri serta muslimah bekerjaya yang cemerlang dunia dan akhirat. Saya amat perlukan nasihat puan.
Ibu muda was was
KLIA,Sepang
Jawapan
SAYA tidak nampak sebarang alasan munasabah untuk puan memendamkan cita-cita murni. Walaupun puan sudah nyatakan cita-cita puan. Ia adalah permulaan yang penting. Namun, puan perlu tentukan apakah matlamat dan arah tujuan kerjaya puan? Bagaimanakah keputusan puan nanti akan mengubah cara hidup keluarga puan?
Bekerja atau tidak bekerja bagi seorang wanita yang bergelar ibu dan isteri adalah satu persoalan yang perlu direnungkan dan difikirkan dengan mendalam. Tindakan seorang isteri, apatah lagi ibu akan memberi kesan besar dalam kehidupan keluarga termasuk suami dan anak.
Apakah puan perlu bekerja atau terus menjadi suri rumah tangga sepenuh masa adalah satu persoalan yang saya kira perlu diambil serius. Dalam keadaan ini ayat Allah di dalam Surat at Taubah ayat 71 yang bermaksud: “Orang yang beriman lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong kepada yang lain. Mereka menyuruh dengan yang makruf dan melarang dari yang munkar”.
Bertitik tolak daripada ayat di atas, dapat dirumuskan bahawa manusia sama ada lelaki atau wanita perlu tolong-menolong dalam melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam apa keadaan sekalipun sama ada di tempat kerja atau di rumah. Persoalan bagaimanakah tanggungjawab ini boleh diselaraskan dan diseimbangkan. Keseimbangan ini perlu dilaksanakan dengan baik dan berkesan ke arah pembentukan keluarga dan masyarakat yang sejahtera serta diredai Allah SWT. Jadi sama ada bekerja atau tidak puan perlu mempunyai alasan yang kukuh.
Secara objektifnya, jangan sekali-kali benarkan ‘perasaan’ mengemudi hidup kita. Biarkan rasional dan fahaman syariah Islam menolong puan membuat pertimbangan, kerana mengikut perasaan semata-mata kita tidak akan ke mana. Beberapa tip di bawah mungkin berguna untuk puan fikirkan dan bincangkan bersama suami.
Pertama, wajar dibezakan antara ‘ego’, ‘keazaman’ dan ‘pentingkan diri’. Puan lebih arif untuk menjawab persoalan ‘egokah saya?’, kerana apa yang terbuku dan terpendam di hati dan fikiran saudari tidak ada orang lain yang tahu. Adakah saudari seorang yang mementingkan diri sendiri? Daripada apa yang puan tulis, saya tidak nampak. Puan sudah beberapa kali menangguhkan hasrat itu. Ia menggambarkan puan bukan seorang yang mementingkan diri sendiri. Apa yang lebih penting, puan perlu sedar yang pilihan dalam hidup ini tidak semestinya ‘mutually exclusive’.
Memilih A tidak bererti kita tidak boleh melakukan B sama sekali. Dalam banyak
keadaan, kita boleh memilih A- DAN B+ umpamanya. Saudari boleh menjadi pelajar dan pada masa sama masih menjadi isteri dan ibu dan sebagainya. Namun, puan perlu sedar pula cabaran hebat yang bakal puan hadapi. Puan perlu ketahanan jiwa yang kental menangani perubahan ini.
Saudari sudah bincangkan dengan suami, suami tidak ada halangan. Mungkin kata-kata hikmat seorang filosof China boleh dipegang; If you wish to know the mind of a man, listen to his words (Jika kamu ingin mengetahui minda seorang lelaki, dengarlah apa yang diperkatakannya). Ia menunjukkan suami puan bersifat terbuka, memberikan sokongan penuh dan komunikasi puan suami isteri dalam keadaan yang harmonis. Inilah modal utama kejayaan puan pada masa akan datang.
Kedua, jangan takut tercicir yang dikendong atau tidak dapat yang dikejar.
Dengan sokongan suami dan ahli keluarga yang lain, saudari berpeluang cerah untuk berjaya. Biar sesal mencuba, daripada sesal mengharap tanpa usaha. Kuncinya, pastikan saudari mampu imbangi tugas, tanggungjawab dan cita-cita.
Atasi ketakutan dengan tindakan sebab takut itu dalam bahasa Inggeris ialah ‘fear’ - False Evidence Appear Real- (bukti yang palsu tetapi kelihatan seolah nyata dan benar). Ketakutan puan bukan dinding tebal, tetapi hanya halangan yang rapuh. Keberanian bukan kerana kita tidak takut. Keberanian sebenarnya ialah apabila kita mampu menguasai atau mengendali perasaan takut itu.
Jadi, bagaimana kita hendak mengatasinya? Puan perlu mulakan langkah daripada sekarang. Ketakutan yang selalu menghalang kita. Pada saat kita mula melangkah, kebimbangan akan mula lesap sedikit demi sedikit. Puan akan mula menumpukan perhatian puan kepada apa yang puan lakukan dan apa yang berlaku di sekeliling puan. Puan tidak lagi terjerat dengan ketakutan yang tidak menentu. Bila puan melakukan langkah pertama, langkah kedua menyusul dan seterusnya puan akan melakukannya satu persatu. Rasa takut itu ibarat kertas tisu yang sangat tipis. Satu langkah yang berani akan mengoyakkan perasaan cemas dan takut itu. Hayatilah maksud ayat al-Quran, surah Ar Ra?du ayat 11: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”
Ketiga, setiap keputusan yang puan buat ada implikasi, cabaran, keperluan dan pengorbanan. Soalnya, apakah puan dan suami sudah bersedia untuk korbankan sedikit sekarang, untuk mencapai sesuatu yang lebih besar pada masa depan? Ia sangat mencabar. Bagi seorang wanita yang mempunyai suami dan anak, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit.
Puan perlu belajar membahagikan masa melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar, isteri dan ibu. Masa yang ada untuk belajar dan membuat tugasan adalah antara jam 8.30 pagi hingga jam 5.00 petang, iaitu pada hari bekerja. Selain daripada waktu itu dan pada hujung minggu puan terpaksa melaksanakan tugas sebagai isteri dan ibu. Jika ada tugasan yang perlu dihantar atau ketika menghadapi peperiksaan, puan akan berjaga malam. Namun, peluang berjaga malam selalunya tidak lama, kerana terpaksa berhenti untuk menyusukan anak atau menyalinkan lampin yang basah. Keadaan persekitaran juga tidak banyak membantu wanita berkeluarga untuk melanjutkan pelajaran. Tanpa mengira siapapun anda; bujang, berkahwin, mengandung, mempunyai anak dan sebagainya, puan dianggap sama dan diharap untuk 'perform' seperti rakan lain.
Kejayaan tidak datang bergolek. Dari manakah kekuatan untuk berupaya melakukan semua itu? Berdoa kepada Allah SWT agar Allah memudahkan tugas puan. Puan perlu cekal dan meyakini bahawa “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”- maksud Al Quran, surah Al Baqarah ayat 286.
Apapun bentuk cabarannya, keputusan untuk meneruskan pelajaran (dan kemudian bekerja) adalah pilihan puan sendiri. Puan bulatkan tekad, tempuhi cabaran dan kesukaran itu, walau hanya dengan langkah demi langkah. Puan perlu lengkapkan diri dengan kesabaran kental. Usaha yang bersungguh-sungguh dan doa yang tidak pernah putus daripada Allah SWT.
Jawapan disediakan oleh Endok Sempo Tahir dan Amir Razelan dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dikongsi di www.bicarakalbu.blogspot.com
No comments:
Post a Comment