Friday, March 30, 2007

Suri rumah boleh manfaat ilmu untuk kerja sukarela

Jawapan mama kepada permasalahan yang dihadapi oleh salah seorang pembaca di Berita Harian tersiar hari ini.

Soalan;


Saya seorang ibu dan isteri berusia 35 tahun. Selepas tamat pengajian dari pusat pengajian luar negara saya bekerja sebagai seorang Jurutera Awam yang menghabiskan masa di tapak projek. Apabila saya berumahtangga dan melahirkan 3 orang anak saya merasa kehidupan saya berubah. Cabaran memenuhkan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu bekerja amatlah besar. Saya merasa bersalah terhadap suami dan anak anak kerana selalu balik lewat malam dan keluar pagi terlalu awal. Tambahan pula pembantu rumah silih berganti. Akhirnya saya memutuskan untuk berhenti kerja kerana kedudukan kewangan keluarga semakin baik dan perniagaan suami telah meningkat. Suami saya adalah orang yang paling bahagia dalam dunia apabila mengetahui mengenai keputusan itu. Sejak hari itu anak anak saya bersarapan pagi bersama dan sentiasa mencium tangan saya setiap kali mereka akan keluar ke sekolah. Mereka kelihatan seronok dan saya rasa sungguh bahagia.

Setelah lebih kurang 5 tahun menjadi suri rumah sepenuh masa, anak-anak saya membesar dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran masing-masing. Dua dari anak saya telah memasuki sekolah berasarama penuh. Kini tinggal anak bongsu yang masih bersekolah rendah. Sejak akhir akhir ini saya rasa bosan, tidak berkembang dan rendah harga diri (low self esteem). Tambahan pula, suami semakin sibuk dengan perniagaannya yang telah menjangkau ke arena antarabangsa.

Tiba-tiba datang idea dan hasrat untuk bekerja semula. Suami saya hanya mendiamkan diri apabila saya mengajukan hasrat saya itu. Anak bongsu saya terkedu dan senyuman nya hilang seketika. Adakah saya seorang yang pentingkan diri sendiri. Tolong berikan sedikit pandangan.

Ibu Dilema
Subang Jaya

JAWAPAN;

Apabila saya membaca masalah puan, saya merasakan bahwa puan adalah seorang isteri dan ibu yang sempurna. Puan telah mengecap erti kebahagiaan dalam kehidupan. Keluarga yang stabil dan bahagia, suami yang penyayang dan anak anak yang comel adalah anugarah Ilahi yang puan harus syukuri.

” Nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan”. Maksud Surah Ar Rahman, ayat 12
”Dan jiwa beserta penyempurnaannya
Allah mengilhami jiwa kebaikan dan keburukan
Beruntunglah mereka yang membersihkannya
Dan merugilah mereka yang mengotorinya”...Maksud Surah As Syams ayat:7-10)
Mungkin kebosanan dan perasaan sunyi sekali sekala menghantui jiwa puan. Bersihkan jiwa puan dari belenggu itu.Apakah matlamat yang lebih mulia dalam hidup ini selain untuk mendapat keredhaan Allah, kasih sayang suami dan keluarga dan pengiktirafan masyarakat sekeliling. Kepuasan diri tercapai apabila kita berjaya membahagiakan manusia lain. Kepuasan diri seorang wanita boleh dicapai tanpa mengira samada dia bekerja atau tidak bekerja.

Ramai beranggapan bahawa selepas berhempas pulas belajar di menara gading, kita mesti bekerja di tempat yang setara dengan kelulusan yang dicapai dan memperoleh pendapatan yang tinggi. Selain dari itu ada juga yang beranggapan dengan bekerja, wanita akan memperoleh kebebasan dan memenuhi kepuasan diri. Menurut pandangan ini, dengan bekerja wanita akan bebas daripada belenggu yang menyebabkan mereka tertinggal di belakang. Anggapan ini kurang tepat.

Demikian juga wanita yang memilih untuk tidak bekerja, pasti mempunyai alasan yang kukuh juga. Tidak bekerja atau berhenti kerja bukan semata-mata semata-mata kerana sudah kaya raya dan cukup duit atau sudah puas mengecapi kebebasan. Alasannya jauh lebih murni daripada itu. Jadi alasan untuk bekerja atau tidak bekerja bukanlah semata-mata kerana isu wang ringgit atau isu hendakkan kebebasan atau kepuasan diri sendiri sahaja. Apakah kekayaan dan kepuasan diri semata-mata yang dikejar atau ada sesuatu perkara lain yang menjadi matlamat hidup kita?

Keperluan untuk memilih samada keluar bekerja atau tidak berkerjaya bergantung kepada keperluan sesuatu keluarga. Setiap keluarga mempunyai keperluan yang berbeza. Satu keluarga satu skrip yang unik. Perkara yang penting wanita tersebut tahu, dia punya alasan yang kukuh dan yakin terhadap pilihan yang telah dibuat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah akan tetapi kekayaan yang sebenar-benarnya ialah kaya jiwa”.

Semua wanita mempunyai impian apabila bergelar isteri dan ibu, mahu menjadi ibu misali kesayangan anak-anak. Ramai yang bercita-cita ingin menjadi pendidik dan pembimbing kepada anak-anak; seperti Asma' Binti Abu Bakar, yang tanpa jemu meniupkan semangat jati diri dan perjuangan kepada anaknya, Abdullah Ibn Zubair.

Ramai pula berhasrat menjadi wanita sejati dan mencontohi wanita-wanita tauladan. Ingin menjadi teman dan penghibur kepada suami di kala senang dan susah; seperti Saidatina Khadijah, isteri Rasulullah saw . Peranan yang dimainkan oleh Saidatina Khadijah tentu begitu besar dan berkesan, sehingga suaminya Rasulullah saw berkata:
" Siapakah yang boleh terfikir akan berkahwin selepas ketiadaan Khadijah?" . Isteri mana yang tidak menginginkan pengiktirafan seperti itu dari suami tercinta.

Tetapi berapa orang wanita wanita yang bertuah mendapatkan semua itu?

Saya telah bekerja selama lebih 20 tahun. Saya menemui ramai wanita berkerjaya dan juga pengurus rumahtangga sepenuh masa. Saya temui wanita bekerjaya yang berjaya di alam pekerjaan dan masyarakat dan ada juga yang tertekan dengan kerjaya yang mencabar. Demikian juga saya temui suri-suri rumah sepenuh masa itu yang telah memberikan sumbangan hebat mereka kepada keluarga, masyarakat dan negara dengan efektif. Saya menyedari bahawa untuk mencontohi wanita-wanita mithali tersebut diatas tadi, kita tidak semestinya semata-mata 'bekerja' atau 'tidak bekerja'. Perkara yang penting ialah niat dan matlamat kita bekerja atau tidak bekerja untuk apa, untuk siapa dan mahu ke mana?. Kita tidak harus memikirkan diri sendiri dan keluarga sendiri sahaja. Sebaliknya kita perlu memanfaatkan potensi diri dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan warga negara yang memberi manfaat. Kita memberi sumbangan kepada masyarakat untuk mencapai keredhaan Ilahi. Inilah nilai yang lebih murni.

Namun saya juga dapati ramai wanita yang tidak bekerja, menjadi surirumah (saya lebih suka memanggilnya sebagai Pengurus Rumahtangga) merasa rendah diri dan bosan dengan kerjaya ini. Duduk terperap di rumah dari pagi hingga ke malam. Dunianya hanyalah dapur, kain baju, anak-anak dan pelbagai kerja-kerja rutin rumahtangga, tertutup dari perkembangannya dunia luar. Benarkah begitu tertutupnya dunia rumahtangga mereka?

Saya teringat sebahagian isi ceramah Dr Robiah Kulup, seorang pakar motivasi yang membicarakan peranan pengurus rumahtangga. Profession suri rumah bukan sekadar nasi tambah, malahan wanita bergelar pengurus rumah tangga adalah kunci hidangan kebahagiaan utama untuk sesebuah keluarga. Peranan surirumah adalah satu tuah dan anugerah dari Allah. Wanita diberi kuasa untuk menguruskan rumah.Wanita boleh melihat anak membesar dengan jayanya di depan mata, boleh melihat dan mengurus kain baju yang kotor, boleh memandang langsir yang senget tidak terutus. Kelebihan wanita iaitu mampu mengenalpasti benda-benda yang tidak sempurna dirumah walau sekecil mana pun. Suami mencari nafkah kerana menjadi ketua keluarga, isteri pula menjadi pembantu dalam keluarga sebagai pengurus rumahtangga dan pendidik serta pembimbing anak anak.

Rumah adalah sekolah pertama dan ibubapa pula adalah guru pertama bagi anak-anak. Pendidikan tidak berkesan jika ibubapa tidak berperanan di rumah. Rumah adalah tempat berkumpulnya kasih sayang, perhubungan mesra, membina harga diri, kemahiran asas sosial, pemahaman agama dan kelancaran berkomunikasi.

Apabila ia pincang ia, maka pincanglah rumahtangga itu. Kerana itu, bosan atau memandang rendah tanggungjawab pengurus tangga adalah tidak tepat sama sekali. Malahan wanita yang berkesempatan menjadi surirumah tangga sepenuh masa, harus rasa bersyukur kerana diberi peranan sebesar itu. Bukan semua wanita mendapat peluang keemasan ini. Ramai wanita bekerja di luar sana yang mimpikan kesempatan tersebut tetapi kebanyakan mereka tidak mendapat peluang itu. Masing maisng mempunyai skrip yang berbeza.

Puan terasa bosan dan kesunyian mungkin kerana puan menutup minda puan dari dunia luar dan alam sekeliling. Puan seorang yang berpelajaran dan punya wawasan, mesti sentiasa peka, sentiasa meningkatkan diri dengan ilmu pengetahuan baru, sentiasa memperkasakan diri dengan pelbagai kemahiran hidup. Gabungkan diri puan dengan organisasi bukan kerajaan, badan-badan kebajikan dan dakwah. Badan-badan ini mempunyai program yang tersusun dan perlukan sukarelawan yang bijak seperti puan untuk menyumbang. Puan boleh menyumbang idea, wang ringgit dan berkongsi pengalaman. Cuba jinakkan diri dan hadir majlis-majlis ilmu yang selalu di adakan oleh badan badan ini samada di masjid atau dewan-dewan perhimpuan. Hubungi kawan-kawan lama, kongsikan hasrat dan cerita terbaru puan.

Apabila puan ingin berkerja semula puan akan risau, adakah anak puan diberi makan oleh pembantu rumah. Puan mula akan rasa bimbang anak keluar rumah sesuka hati, kerana puan tiada lagi sentiasa di rumah ada untuk mengawasinya. Perasaan cemas puan seperti dulu akan datang kembali, kadangkala menghadapi dilema, badan di pejabat tetapi hati di rumah.

Hargailah peranan besar itu, kekalkan status diri puan sebagai Ratu kepada suami dan anak-anak. Berikan nilai tambah Puan sebagai sukarewalan yang penuh bakti.
It’s not how much we give but how much love we put into giving." - Mother Teresa
(Bukanlah berapa banyak yang anda berikan, tetapi berapa banyak ‘cinta’ yang anda tuangkan dalamnya).
Balasan daripada kebaikan yang puan curahkan itu akan memayungi Puan di akhirat kelak. Maksud ayat-ayat dari Srah Ar Rahman boleh kita renungi bersama :

Bukankah ada balasan yang terbaik bagi amal yang terbaik baik pula? - Ayat 60
Nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ayat 61
Penduduk Syurga itu bersenang senang dengan berteleku di atas (bantal) cadar cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah. Ayat -76
Nikmat tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ayat 77
Maha sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.Ayat 78.

Jawapan disediakan oleh Endok Sempo binti Mohd Tahir dengan kerjasama Wanita JIM. Permasalahan dan jawapan boleh di layari di www.bicarakalbu.blogspot.com

Friday, March 23, 2007

Isteri perlu seimbangkan cita-cita, tanggungjawab

Jawapan yang mama berikan kepada pembaca Berita Harian, jawapan ini ini adalah penulisan bersama dengan Amir Razelan.

Bicara Kalbu: Isteri perlu seimbangkan cita-cita, tanggungjawab

Soalan;

SAYA seorang ibu dan isteri berusia 28 tahun yang bercita-cita melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi serta menjawat jawatan terbaik sebelum saya berusia 40 tahun. Untuk pengetahuan puan, saya sudah berkahwin tiga tahun dan pernah berkata pada suami yang saya akan memastikan cita-cita saya tercapai walau apa pun terjadi. Suami saya tidak pernah menghalang niat saya. Selama perkahwinan, saya berkali-kali menunda proses untuk mencapai cita-cita. Sebagai contoh, saya menunda permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan menolak tawaran bekerja ke jawatan yang lebih baik untuk menumpukan perhatian terhadap keluarga. Tetapi, sekarang saya berasakan sudah tiba masanya untuk saya memulakan langkah. Cuma sekarang saya berasa ragu-ragu. Adakah saya sekarang sedang mementingkan diri dan mengabaikan keluarga yang saya sayangi? Saya tidak mahu kebahagiaan yang dikecapi sekarang punah. Saya bimbang nanti ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.’ Saya masih memegang kukuh impian saya untuk sentiasa menjadi seorang ibu, isteri serta muslimah bekerjaya yang cemerlang dunia dan akhirat. Saya amat perlukan nasihat puan.

Ibu muda was was
KLIA,Sepang

Jawapan

SAYA tidak nampak sebarang alasan munasabah untuk puan memendamkan cita-cita murni. Walaupun puan sudah nyatakan cita-cita puan. Ia adalah permulaan yang penting. Namun, puan perlu tentukan apakah matlamat dan arah tujuan kerjaya puan? Bagaimanakah keputusan puan nanti akan mengubah cara hidup keluarga puan?

Bekerja atau tidak bekerja bagi seorang wanita yang bergelar ibu dan isteri adalah satu persoalan yang perlu direnungkan dan difikirkan dengan mendalam. Tindakan seorang isteri, apatah lagi ibu akan memberi kesan besar dalam kehidupan keluarga termasuk suami dan anak.

Apakah puan perlu bekerja atau terus menjadi suri rumah tangga sepenuh masa adalah satu persoalan yang saya kira perlu diambil serius. Dalam keadaan ini ayat Allah di dalam Surat at Taubah ayat 71 yang bermaksud: “Orang yang beriman lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong kepada yang lain. Mereka menyuruh dengan yang makruf dan melarang dari yang munkar”.

Bertitik tolak daripada ayat di atas, dapat dirumuskan bahawa manusia sama ada lelaki atau wanita perlu tolong-menolong dalam melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam apa keadaan sekalipun sama ada di tempat kerja atau di rumah. Persoalan bagaimanakah tanggungjawab ini boleh diselaraskan dan diseimbangkan. Keseimbangan ini perlu dilaksanakan dengan baik dan berkesan ke arah pembentukan keluarga dan masyarakat yang sejahtera serta diredai Allah SWT. Jadi sama ada bekerja atau tidak puan perlu mempunyai alasan yang kukuh.

Secara objektifnya, jangan sekali-kali benarkan ‘perasaan’ mengemudi hidup kita. Biarkan rasional dan fahaman syariah Islam menolong puan membuat pertimbangan, kerana mengikut perasaan semata-mata kita tidak akan ke mana. Beberapa tip di bawah mungkin berguna untuk puan fikirkan dan bincangkan bersama suami.

Pertama, wajar dibezakan antara ‘ego’, ‘keazaman’ dan ‘pentingkan diri’. Puan lebih arif untuk menjawab persoalan ‘egokah saya?’, kerana apa yang terbuku dan terpendam di hati dan fikiran saudari tidak ada orang lain yang tahu. Adakah saudari seorang yang mementingkan diri sendiri? Daripada apa yang puan tulis, saya tidak nampak. Puan sudah beberapa kali menangguhkan hasrat itu. Ia menggambarkan puan bukan seorang yang mementingkan diri sendiri. Apa yang lebih penting, puan perlu sedar yang pilihan dalam hidup ini tidak semestinya ‘mutually exclusive’.

Memilih A tidak bererti kita tidak boleh melakukan B sama sekali. Dalam banyak

keadaan, kita boleh memilih A- DAN B+ umpamanya. Saudari boleh menjadi pelajar dan pada masa sama masih menjadi isteri dan ibu dan sebagainya. Namun, puan perlu sedar pula cabaran hebat yang bakal puan hadapi. Puan perlu ketahanan jiwa yang kental menangani perubahan ini.

Saudari sudah bincangkan dengan suami, suami tidak ada halangan. Mungkin kata-kata hikmat seorang filosof China boleh dipegang; If you wish to know the mind of a man, listen to his words (Jika kamu ingin mengetahui minda seorang lelaki, dengarlah apa yang diperkatakannya). Ia menunjukkan suami puan bersifat terbuka, memberikan sokongan penuh dan komunikasi puan suami isteri dalam keadaan yang harmonis. Inilah modal utama kejayaan puan pada masa akan datang.

Kedua, jangan takut tercicir yang dikendong atau tidak dapat yang dikejar.

Dengan sokongan suami dan ahli keluarga yang lain, saudari berpeluang cerah untuk berjaya. Biar sesal mencuba, daripada sesal mengharap tanpa usaha. Kuncinya, pastikan saudari mampu imbangi tugas, tanggungjawab dan cita-cita.

Atasi ketakutan dengan tindakan sebab takut itu dalam bahasa Inggeris ialah ‘fear’ - False Evidence Appear Real- (bukti yang palsu tetapi kelihatan seolah nyata dan benar). Ketakutan puan bukan dinding tebal, tetapi hanya halangan yang rapuh. Keberanian bukan kerana kita tidak takut. Keberanian sebenarnya ialah apabila kita mampu menguasai atau mengendali perasaan takut itu.

Jadi, bagaimana kita hendak mengatasinya? Puan perlu mulakan langkah daripada sekarang. Ketakutan yang selalu menghalang kita. Pada saat kita mula melangkah, kebimbangan akan mula lesap sedikit demi sedikit. Puan akan mula menumpukan perhatian puan kepada apa yang puan lakukan dan apa yang berlaku di sekeliling puan. Puan tidak lagi terjerat dengan ketakutan yang tidak menentu. Bila puan melakukan langkah pertama, langkah kedua menyusul dan seterusnya puan akan melakukannya satu persatu. Rasa takut itu ibarat kertas tisu yang sangat tipis. Satu langkah yang berani akan mengoyakkan perasaan cemas dan takut itu. Hayatilah maksud ayat al-Quran, surah Ar Ra?du ayat 11: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”

Ketiga, setiap keputusan yang puan buat ada implikasi, cabaran, keperluan dan pengorbanan. Soalnya, apakah puan dan suami sudah bersedia untuk korbankan sedikit sekarang, untuk mencapai sesuatu yang lebih besar pada masa depan? Ia sangat mencabar. Bagi seorang wanita yang mempunyai suami dan anak, melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit.

Puan perlu belajar membahagikan masa melaksanakan tanggungjawab sebagai pelajar, isteri dan ibu. Masa yang ada untuk belajar dan membuat tugasan adalah antara jam 8.30 pagi hingga jam 5.00 petang, iaitu pada hari bekerja. Selain daripada waktu itu dan pada hujung minggu puan terpaksa melaksanakan tugas sebagai isteri dan ibu. Jika ada tugasan yang perlu dihantar atau ketika menghadapi peperiksaan, puan akan berjaga malam. Namun, peluang berjaga malam selalunya tidak lama, kerana terpaksa berhenti untuk menyusukan anak atau menyalinkan lampin yang basah. Keadaan persekitaran juga tidak banyak membantu wanita berkeluarga untuk melanjutkan pelajaran. Tanpa mengira siapapun anda; bujang, berkahwin, mengandung, mempunyai anak dan sebagainya, puan dianggap sama dan diharap untuk 'perform' seperti rakan lain.

Kejayaan tidak datang bergolek. Dari manakah kekuatan untuk berupaya melakukan semua itu? Berdoa kepada Allah SWT agar Allah memudahkan tugas puan. Puan perlu cekal dan meyakini bahawa “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”- maksud Al Quran, surah Al Baqarah ayat 286.

Apapun bentuk cabarannya, keputusan untuk meneruskan pelajaran (dan kemudian bekerja) adalah pilihan puan sendiri. Puan bulatkan tekad, tempuhi cabaran dan kesukaran itu, walau hanya dengan langkah demi langkah. Puan perlu lengkapkan diri dengan kesabaran kental. Usaha yang bersungguh-sungguh dan doa yang tidak pernah putus daripada Allah SWT.

Jawapan disediakan oleh Endok Sempo Tahir dan Amir Razelan dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan boleh dikongsi di www.bicarakalbu.blogspot.com

Wednesday, March 14, 2007

Pelajar cemerlang agama harus diberikan insentif keluar negara


Hari ini terasa matahari terlalu terang seceria hati di dalam dada seorang ibu. Saya merasa sungguh bahagia kerana Tame ini mendapat 'mumtaz' (10A) dalam semua matapelajaran STAM (Sijil Tinggi Agama) yang diambil nya. Perasaan ini sama dengan apa yang saya rasa setahun yang lepas apabila keputusan SPM nya mencatakan 12A dalam semua matapelajaran yang diambil.

Alhamdulillah, saya amat bersyukur kepada ALlah.

Wahai sukma, manakah nikmat Allah yang kamu dustakan? Mahasuci ALlah yang Maha Arif dan Maha Bijaksana yang meniupkan sekelumit kebijaksanaan dan kearifan dalam dada dan sukma insan. Dalam suasana 'eufora' ini mata telah terbuka dan tidak boleh tidur lagi. Pukul 4.00 pagi ditulis rasa hati ini dan lahirlah satu cadangan yang di hantar kepada pengarang ruangan surat pembaca di berita harian pagi ini.


---
Assalamualaikum war wab.
Saudara pengarang,
Umurnya menghampiri 12 tahun ketika tamat darjah enam di sekolah rendah. Namun , dia telah menanamkan satu cita-cita yang sungguh murni. Cita-cita nya memang satu kelainan dalam keluarga. Amat berlainan dari bidang yang diceburi oleh kakak-kakak dan abang-abangnya yang memilih kerjaya professional seperti doktor, mekanik, business, peguam dan jurutera aeroangkasa.

“Mama! saya ingin menjadi ulama moden yang boleh berijtihad seperti Al Ustaz Prof. Dr Yusof Qardhawi”.
“Alhamdulillah, wah! ini cita-cita yang luarbiasa”, saya menjawab dengan rasa syukur. Keluarga kami sentiasa bersifat terbuka dengan anak anak kerana kami menerima ‘konsep kepelbagaian’. Mengurus kepelbagaian(managing diversity) kami guna pakai sebagai satu kaedah untuk memelihara keharmonian keluarga, rasa kebahagiaan, kreativiti dan cemerlangan anak anak. Semua ahli keluarga bebas memilih bidang yang mereka cintai dan menekuni cita-cita sehingga berjaya.
”Jadi lepas darjah 6 ni, Tame(nama manjanya) hendak kemana?” saya bertanya kepadanya.
”Tame nak masuk sekolah Tahfiz, itu adalah pra syarat kan?” Jawabnya sepontan.
Apabila dia mencapai umur 14 tahun, dia telah menghafaz kesemua 30 juzuk Al Quran dengan sempurna. Sempurna dari segi tajwid, kelancaran bacaan dan penguasaan lagu seorang qari. Setelah tamat dia dimasukkan ke sekolah menengah untuk mengambil peperiksaan PMRnya. Pada umur itu juga dia memberanikan diri memasuki musabaqah pertandingan menghafaz Quran peringkat Daerah Hulu Selangor mewakili sekolahnya. Dia menjadi naib johan. Dia merupakan peserta termuda pada ketika itu.Tahun berikutnya dia tidak menyertai musabaqah kerana dia ingin menumpukan peperiksaan PMR. Keputusan PMR nya memang amat membanggakan, 9A dalam semua matapelajaran yang diambil.
Tahun-tahun berikutnya menyaksikan kejayaannya dalam setiap pertandingan musabaqah menghafaz Al Quran di peringkat negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. Akhirnya pada tahun lepas, dia mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk pertandingan Menghafaz Al Quran peringkat Nasional yang di adakan di Paroi, Negeri Sembilan. Walaupun dia hanya mendapat hadiah saguhati, dia bersyukur kerana dalam umur yang sebegitu muda dia telah berjaya memasuki pertandingan menghafaz Al Quran sehingga ke peringkat nasional.
Pada tahun lepas (2006) dia telah mendapat 10A dalam semua mata pelajaran SPM yang diambilnya. Kawan-kawannya yang cemerlang sepertinya memancing nya agar dia mengambil kursus sains dan teknologi. Mereka memilih bidang kedoktoran, kejuruteraan, senibina arkitek dan kursus professional yang dikaitkan dengan kerjaya yang ’glamour’. Namun dia tetap dia. Dia masih kukuh memegang cita-cita idaman nya.
”Mama, lepas SPM ni Tame mesti mengambil STAM untuk ke Mesir”. Katanya penuh yakin dan bersemangat.
Alhamdulillah, keputusan STAM(Sijil Tinggi Agama) yang diumumkan semalam mengukir sejarah kejayaan nya sekali lagi. Dia mendapat 10A dalam semua matapelajaran STAM yang diambilnya.
”Mama, dulu kakak-kakak dan abang abang yang memilih bidang professional di Universiti masing-masing semuanya dapat biasiswa, dermasiswa atau PTPN dari JPA”,
Saya hanya mengangguk.
”Kawan-kawan Tame yang dapat 10A SPM tahun lepas semuanya mendapat biasiswa JPA untuk ke Australia, UK, USA, Mesir dan Jordan”.
”Ya , benar, mereka cemerlang dan memilih bidang sains dan teknologi”, saya menjawab.
”Tame cemerlang juga, cuma bidang Tame berbeza, Tame minat dan mencintai bidang ini sekaligus memenuhi keperluan umat. Jika semuanya yang cemerlang memilih bidang sains dan teknologi, apakah bidang agama tidak perlukan orang yang cemerlang? Sebagai contoh, adakah Ekonomi Islam (asas Islamic banking hub di Malaysia) yang bakal menerajui pembinaan satu tamadun gemilang tidak perlukan pelajar bidang agama yang cemerlang?
“JPA tidak memberikan biasiswa untuk pelajar cemerlang bidang agama ke luar negara sayang” . Saya menjawab ringkas.
”Jika kita hendak melahirkan ulama yang serba boleh dan mampu berijtihad dimasa yang akan datang, kinilah masanya kita galakkan remaja cemerlang bidang agama dengan insentif biasiswa seperti pelajar cemerlang yang lain”.
”Jadi Tame ni macamana dapat kah seperti mereka?. Tame bertalu-talu berhujah.
“Bolehkah agaknya JAWI (sebab kami bermastautin di KL) atau yang institusi kerajaan yang lain memberikan biasiswa untuk Tame ke Mesir?.
“Mama tidak tahu”. Sememangnya nya saya tidak tahu. Mungkin pembaca semua ada jawapan terhadap persoalan ini . Ini bukan persoalan anak saya seorang. Persoalan ini dikongsi oleh ramai lagi ibu-bapa dan pelajar-pelajar bidang agama cemerlang yang ingin melanjutkan pelajaran di luar negara.
Mereka juga punya keinginan membara untuk keluar negara seperti remaja-remaja cemerlang memilih bidang sains dan teknologi. Merasakan pengalaman merantau ke luar negara adalah hasrat semua remaja cemerlang. Saya merasakan apa yang diarsakan oleh anak saya kerana saya dulu juga begitu. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di bumi England lebih 28 tahun yang lalu, semacam rasa kepuasan dan kebahagiaan menapak dalam dada. Ia membekas sehingga kini.

Remaja cemerlang bidang agama seharusnya diberikan insentif yang sama seperti remaja cemerlang lain. Peluang dan insentif yang sama diberikan akan menghasilkan suasana yang positif dikalangan remaja. Biarkan mereka sama-sama rasakan kebahagian dan kecemerlangan mereka diraikan secara saksama. Hasilnya nanti remaja-remaja pelbagai bidang itu bakal membesar dalam suasana positif dan seimbang dalam masyarakat yang kaya dengan kecerdasan otak IQ, kecerdasan emosi, EQ dan kecerdasan spiritual, SQ. Ini menguntungkan negara dalam pembinaan modal insan yang seimbang dan serba boleh di masa yang akan datang. Negara tidak rugi malah untung melahirkan pewaris yang menguasai kedua dua bidang professional dan bidang agama. Mereka akan dapat menharmonikan kehidupan yang serba kompleks.
Tibalah masanya pihak kerajaan memberikan insentif biasiswa untuk pelajar pelajar cemerlang bidang agama agar seimbang dengan insentif yang diberikan kepada pelajar cemerlang di bidang lain. Apa yang remaja perlukan ialah peluang dan perhatian yang saksama dan keperihatinan yang tidak berbelah bagi dari orang dewasa dan pemerintah.
Ibu kepelbagaian(nama samaran)

Sunday, March 04, 2007

Musafir Sukma-part 5- pencarian maksud suara hati

Memahami takrif Suara Hati Ataupun Landasan Norani

Suara hati atau landasan norani selaras dengan apa yang selalu disebutkan dalam Al Quran. Contohnya dalam surah Al Haj:

“Apakah mereka tidak berjalan dimuka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami (merasa) atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguh nya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada dalam (rongga) dadanya” (Al Haj: ayat 46) .

“(Allah) mengilhamkan kepada jiwa(sukma) jalan kefasikan (kejahatan) dan ketakwaan(kebaikan). Sesungguh, berbahagialah siapa yang mensucikannya. Dan rugilah siapa yang mencemarkannya” ( Al Syams, ayat 8,9,10).

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan fitrah itu pada manusia. Tiada perubahan fitrah Allah. Itulah agama yang benar, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya” (Ar Rum, ayat 30).

Ketauhidan sesuai dengan fitrah manusia.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan dari anak-anak Adam dari sulbi mereka, dan Allah mengambil kesaksian (menyuruh mereka mengakui/berjanji) terhadap jiwa mereka sendiri seraya berfirman,“Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab, “Betul, engkau (Tuhan kami ) kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang sedemikian itu), agar dihari kiamat kamu tidak mengatakan :” Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (kesesaan Tuhan) (Al A’araf, ayat 172).

Bukti adanya perjanjian ini di alam realiti menurut Muhammad Abduh, ialah fitrah iman di dalam jiwa manusia.

Danah Zohar seorang Management Guru, Ahli Fizik dan pengarang beberapa buku best seller termasuk Spiritual Capital: Wealth We Can Live By and SQ - Spiritual Intelligence, The Ultimate Intelligence, menemui maksud suara hati manusia. Ia dikaitkan dengan keperluan manusia kepada nilai, visi dan makna kehidupan yang lebih ‘trancendental’. Ary Ginanjar Agustian pula mentakrifkan suara hati sebagai hembusan suara Tuhan yang terakam didalam jiwa manusia (God spot).

Untuk memahami rasa ataupun suara hati adalah suara yang berasal dari Allah (swt), Ary Ginanjar menggunakan beberapa method soal jawab, dia menyoal dengan intonasi suara yang ‘barytones’ , para peserta/pembaca menjawab dalam hati.

  1. Saat kita sedang makan dipinggir jalan, tiba-tiba ada kanak-kanak perempuan kecil berdiri tepat didepan kita sambil menatap makanan yang kita pegang, apa yang kita rasakan saat itu?
  2. Bayangkan, saat kalian berjalan ditaman bunga kalian melihat sebuah keluarga yang terdiri dari ayah, ibu dan dua anaknya yang masih kecil dan lucu. Apa yang tuan/puan rasakan saat itu?
  3. Teman sekantor dihantar oleh pihak pengurusan untuk mengikuti training komputer, dan kita tidak dipilih, apa yang suara hati kita rasakan?
  4. Setelah satu minggu, teman kita pulang dengan wajah berseri-seri sambil menunjukkan certificatenya, suara hati apa yang kita dengar?
  5. Kita berada disuatu ruangan yang bersih dengan lantai marmar berkilat, tiba-tiba ada kertas kotor yang hampir dipijak oleh kaki kita, suara hati kita menyuarakan apa?
  6. Kemudian ada pula seorang lelaki yang membuang puntung rokok seenaknya disana, suara hati kita menyuarakan apa?
  7. Didalam suatu perjalanan, kita melihat ada seorang pemuda sedang berusaha meragut beg tangan seorang wanita tua, perasaan apa yang muncul di dalam benak kita?

8. Tiba-tiba kita sedari bahawa peragut itu membawa sepucuk pistol, apa yang kita rasakan?

  1. Kita berada pada sebuah kebun yang hijau, tiba-tiba melihat sekuntum bunga berwarna merah, jingga dan ungu. Apa yang kita rasakan?
  2. Tiba-tiba ada seseorang yang memetik bunga itu dengan kasar, apa yang kita rasakan?11.

Dengan cara mengosongkan fikiran, cuba kita jawab dengan suara hati yang tulus, maka jawaban kepada sepuluh pertanyaan tersebut adalah sebagai berikut:

1. Ingin “memberi” makan kepada kanak-kanak perempuan itu

2. Rasa “kasih dan sayang” dan kita dapat menangkap ‘aura’ dan ‘rona’ kebahagiaan

3. Ingin juga “maju“ atau ‘well informed’ sehingga ingin mengikuti training

4. Ingin mengetahui “Ilmu” tersebut

5. Ingin “bersih” dan terpanggil untuk memungut sampah

6. Ada dorongan ikut “memelihara”, sehingga terpanggil untuk ‘melarang’

7. Ingin “menolong” wanita tua

8. Merasa terancam dan berkira-kira atau ‘menghitung’ mengenai ” bahaya”

9. Boleh merasakan adanya “keindahan”

10. Untuk “memelihara” dan “melindungi” bunga tersebut.

Jawaban-jawaban dari suara hati, adalah sama persis dengan sifat-sifat Allah yang terdapat didalam Al Qur’an (Asmaul Husna), seperti: Maha Penolong, Maha Pengasih dan Penyayang, Maha Ilmu, Maha Tahu, Maha Suci, Maha Pemelihara, Maha Berhitung dan Maha Melindungi.

Friday, March 02, 2007

Musafir Sukma- Part 04- Terasa ’zouq’ Cinta Rasululullah


Training ESQ sebenarnya adalah training "ketakwaan", yang dinama baru kan sebagai (ESQ) secara ilmiah oleh Ary Ginanjar dan lain lain. Kaedah yang digunakan sangat mengesankan para peserta sehingga dinilai berbaloi dengan pelaburan wang ringgit yang mereka keluarkan. Kaedah training menggunakan teknologi multimedia terkini dengan adunan music (mozart, kitaro album, instrumental, nasyid iktiraf, nashid Asmaul Husna dan bermacam-macam nashid lain).

Ramai alumni training yang mengakui "saya merasa seolah olah dilahirkan semula” dan dan "saya rasa ada semacam perasaan ‘mesti’ berubah,” dan malah ada yang benar2 berubah. Memang saya lihat outcome training berupa perubahan sikap dan perilaku alumni dalam kehidupan selepas program tersebut. Satu yang pasti, training tersebut, sangat menguja kalbu dan berjaya memancing minat orang ramai dan berjaya (kalau pun bukan 100%) mengubah visi, persepsi, bahkan sikap dan perilaku peserta, setidaknya beberapa saat setelah mereka mengakhiri training program itu.

Tujuan training ESQ ialah untuk membangkitkan sukma yang tulus ikhlas,jiwa yang sensitif terhadap Allah Tuhan pencipta, Nabinya dan sesama manusia. Ramai yang mengakui memang mengalami satu perasaan bahagia yang luarbiasa dalam beberapa babak pemusafiran sukma begini. Lain orang lain pengalamannya melalui babak yang berbeza. Memang, ’keindahan Tuhan’ ada dalam hati manusia. Apabila mencapai tahap begitu, terasa zouq’ atau nikmat tidak terperi, menurut Ary Ginanjar, saat itu mereka itu sudah meraih kecerdasan emosional dan spiritual (ESQ).

Satu yang paling istimewa saya dapati di dalam program ini semasa sukma bermusafir dalam babak ’Cinta Rasul’. Airmata mengalir shahdu apabila kisah Nabi dibacakan bersama alunan muzik-muzik latar dari koleksi album ’An ancient journey’ dan album ’Thinking of you’- Kitaro Mercury & Harmony of the Forest (oleh Kitaro yang sangat mengesankan).

[About album ancient journey - It is a wonderful glimpse into the great civilizations past through the eyes of musical pioneer and Grammy Award winning composer Kitaro. In An Ancient Journey, Kitaro takes his audience on a trek to worlds far away. Listeners embark on a mysterious crusade, witnessing "the texture, life and spirit of the world's ancient people."

Traditional Middle Eastern and Chinese instruments in addition to one of his favorite technological advances, the analog synthesizer, make An Ancient Journey a melodic voyage, which is vintage Kitaro. In addition to his signature arrangements, the recording features a new addition to Kitaro's musical family, Kristin Kanda on flute].

Who is “Kitaro”?

Mr. Takahashi, aka Composer Kitaro, winner of a Golden Globe Award (OST for the movie Heaven and Earth) and 43rd Grammy Award for Thinking of You and recipient of multiple Grammy Award nominations, is revered for his ability to embody the human spirit with music of passion and drama. He has released scores of albums and sold millions in the U.S. alone during his 30-year career. Kitaro continues to merge the finest of Eastern and Western cultures and traditions in his music.

Why Kitaro

[The music of Kitaro has a very positive influence in many people. It's not the kind of music you can listen to in every mood. But if you're feeling alone and you're not able to get the love of (an) other human being(s), than you have the impression, that the music holds you in the hands - and you feel loved.]

Penggunanan Music Kitaro membawa satu dimensi baru (dalam diri saya) dalam mencipta suasaan kesyahduan, serenity dan ketajamaan sensitiviti emotional untuk masuk ke dalam dimensi spiritual. Rasa ’cinta’ kepada Rasulullah yang tidak 'menyengat' lagi dan nyalaan kasih sayang terhadapnya kianpudar, kini asyik dan maksyuk datang semula, amat menusuk ke dalam jiwa apabila muzik instrumental Kitaro dari album ‘Thinking of you’ yang dimainkan secara berterusan. Saya bertanya dalam diri apa hubungan melodi thinking of you dengan latarbelakang kisah Rasulullah? Apabila melihat websitenya, dapat lah saya fahami mengapa mereka pilih background ini untuk mengimbau kembali momen syahdu yang hilang itu.

“You in the title signify people close to me, people who have passed away or those far away from me. I tried to speak to each one of them in musical expression."- Kitaro

Listener’s interpretations would range from,

“I feel the presence of God when listening to this music,”

“Kitaro’s music should be the background music to life,"

“His music moves my soul or spirit,"

“Occasionally I cry with joy listening to Kitaro’s music.

” While even Kitaro himself admits, “ Sometimes I cry when I listen to my music.”

Many seasoned professionals, within the music industry, have generalized; “Kitaro is a unique musician possessing an ability to embody the “human spirit” within his music”.

Jadi training spiritual mengguna pakai kaedah ini, mampu membebaskan fikiran manusia dari segala halangan intelektual dalam belenggu otak kiri. ESQ trainer mengatakan, untuk mengajak peserta masuk dalam dimensi spiritual, mereka harus menggunakat alatbantu audio visual. Melalui alatbantu audio, peserta diajak mendengar suara gelombang air dan alunan musik yang lembut. Melalui alatbantu visual pula, peserta diajak menyaksikan gugusan planet, gunung dan segala bentuk gambaran alam raya.

Kaedah ini juga mengajak peserta menberikan tumpuan sepenuhnya (full concentration) sehingga god spot dalam dimensi spiritualnya dapat bercahaya kembali. Mungkin agaknya selama ini god spot kita terbelengu. Mata hati tidak melihat. [God spot adalah tempat bernaungnya suara hati yang memiliki kandungan nilai-nilai asmaul husna].

”Untuk masuk ke dimensi spiritualitas itu, mereka kita kondisikan agar konsentrasinya tetap terjaga”.Kata salah seorang alumni ESQ yag datang dari Batam.

Proses pengkondisian ini,merupakan penerapan teknologi stimulasi otak. Teknologi ini telah dikembangkan sejak 40 tahun yang lalu. Menurut teory Brain Wave Di dalam otak, terdapat empat gelombang energi, yaitu beta, alpha, theta, dan delta. (http://www.educationalcoach.co.uk/brainwave.htm), untuk mengajak manusia pada keadaan yang santai, relax dan tenang, maka gelombang energi harus di tala ke pada 'keadaan alpha dan theta. Sebab, gelombang alpha , 7-12 Hz disebut juga alam bahwa sadar dan gelombang theta merupakan tempat intuisi manusia.

Jadi ’Cara pengkisahan’ Kisah Rasullullah dari awal sehingga wafat amat mengasyikkan/ menakjubkan. Kisah Ar Rasul sedari kecil yang menjadi yatim piatu, kisah perkahwinan, kisah kematian bapa saudara , perkahwinannya, pengorbanan isteri nya Saidatuna Khadijah sehingga akhir hayat. Dalam pengkisahan itu, minda kita dibawa ke zaman episod Mekkah dan Medinah, kita terasa rasa seolah menongkah malam pekat di padang pasir melihat manifestasi keagungan cinta Rasulullah yang amat menyintai umatnya. Ini berlaku dalam satu proses ’ mind travel’ yang sungguh menyentuh norani dan meluluhkan perasaan.

Rasa kecintaan kepada Rasulullah tiba-tiba ibarat banjir yang menderu ke dalam sangkar jiwa yang gersang terhadap cinta Rasulullah.Terasa selama ini betapa kita tidak terasa bahang yang bersemarak ’cintakan baginda ’ dan tidak menilai betapa besar dan hebatnya cinta Rasulullah kepada umatnya. Tiba tiba tersedar betapa selama ini kita tidak berupaya sungguh sungguh untuk membalas cintanya yang agung itu.

Kalau sebelumnya, apabila nama Rasulullah disebut, saya hanya teringatkan hadith nya ”mengenai sesiapa yang tidak menjawab selawat untuk nya, maka ia adalah orang paling bakhil/kedekut”. Jadi selawat nya saya semata-mata menyambut saranan itu (agar tidak menajadi umat yang bakhil) dan untuk mendapat pahala, tanpa ruh, jiwa gersang dari CINTA yang benar-benar mendalam terhadapnya. Saya dapat permata CINTA rasul dalam training ini. Alhamdulillah.Dan kini saya dapat memahami mengapa sesetengah orang yang mencintai Rasulnya dengan sebenar benar cinta akan sanggup mati apabila Rasulullah dihina dan dimalukan!

Cara pengkisahan suasana saat saat akhir kewafatan Rasulullah sungguh membelit hati norani. Dalam rintihan sakit di tangan malaikat Sakaratul maut yang menyiksa, namun demi kasih sayang nya, mulutnya masih mamapu menyebut, ”Umat ku umatku” dengan suara pilu melambangkan sungguh agung cinta Rasul kepada kita.

Dimanakah kita selama ini?, Bagaimanakah kita membalas kasih sayang baginda?

Demikian juga pengkisahan asal usul pembacaan Tahiyyat awal dan akhir di kala solat yang merupakan dialong antara Allah dengan rasulNya yang kasihi menunjukkan betapa dekatnya hati Rasulullah kepada umatnya. Semasa muda-muda dahulu pernah seorang ustazah menceratkan sejarah asal usul Tahiyyat ini, namun selepas itu ia merupakan bacaan ritual yang maknannya di baca, tapi tanpa ruh!

Jadi dialog antara Allah dan kekasihnya Rasullah semasa peristiwa Isra’ Mikraj di imbas kembali dalam memori dengan begitu qudus dalam susana hening. Ya dirasakan perasaan sayang, rindu, cinta, menyelinap dan air mata sesalan menggenang dikelopak mata(kerana selama ini mengabaikan cinta Rasulullah)

Tahiyyat adalah sebuah dialog yang sangat agung dan paling istimewa diucapkannya, namun wahai mata hati menagap selama ini kamu ia barat orang ’gila’ tidak memahami lansung maksud tersirat, kamu lalai padahal setiap solat setiap hari mulut kamu menuturkannya.

”Dalam sebuah malam yang mulia itu, Rasulullah menghadap Tuannya. Diucapkannya salam dengan penuh rindu dan cinta: "Segala keselamatan, barakah, kebahagiaan, dan kebaikan hanyalah bagi Tuanku."

Allah yang juga penuh rindu dan cinta menjawab salam kekasih Nya, "Semoga kesejahteraan dilimpahkan kepadamu, wahai kekasihKu, beserta rahmat dan berkatNya."

RAsulullah yang sungguh berhati mulia, walaupun baginda berada jauh (di lapisan lapisan atau mungkin di galaksi lain) yang berjarak trillion tahun cahaya, tidak pernah melupakan umatnya yang masih terlelap di bumi, Sepontan dengan nada kasih sayang, perihatin dan penuh ingatan "Semoga kesejahteraan dilimpahkan kepada kami dan juga kepada hamba-hambaMu yang saleh-saleh."

Para makhluk cahaya (malaikat) yang menyaksikan dan mendengar dialog itu terharu melihat kemurahan Allah dan kemuliaan hati RasulNya. Mereka pun serentak mengucapkan, "Aku bersaksi bahwa tidak ada Tuhan kecuali Allah. Dan aku bersaksi bahwa Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya."

Kemudian apabila baginda turun ke dunia, Muslimin diajar mengucapkan salawat kepada Rasulullah.

Namun, apa yang terlintas dalam hati dan pikiran saya tatkala setiap hari diucapkan perbualan agung itu? Bukankah aku tiada beza dengan orang-orang yang gersang jiwanya, apa-apa yang diucapkan tidak membawa kesan yang mendalam? Oleh kerana itulah selama ini cinta kepada Rasul tidak ’membekas’ dalam jiwa.

Yaa Rahman, Yaa Rahiim... sungguh Engkau Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dengan izin dan hidayah dariMu, diri ini mengenal dirinya denganlebih dalam dan tazkirah ini mengembalikan kenangan lama.Duhai air mata tyumpahkan lah demi kasih sayang terhadap Rasulmu, dalam sebuah sujud syukur. Seolah terdengar dengar dikuping telinga, Allah pun berkata, "HambaKu telah kembali memanggilKu."

Thursday, March 01, 2007

Musafir Sukma - part 03- Zero Mind Process

Selepas hampir setengah hari mendengar dan ber’games’ bersama sama, suasana menjadi sangat emosional sekali. Emosi peserta disentuh, esak tangis kedengaran dan tidak mampu terbendung. Malah ada yang meraung insaf. Benarlah dakwaan awalan seorang kawan yang mengajak saya ke program ini. Untuk urusan mengoyak emosi, Ary Ginanjar Agustian (Master trainer )memang expert!. Apa tidaknya ESQ training berjalan selama tiga hari mampu membuat orang yang paling keras hatinya, pegawai atasan yang angkuh dan egois, mat rempit yang terjal menangis hiba, teresak-esak malah ada wanita yang tersungkur pengsan!. Mata saya bengkak sepanjang 3 hari sejak dari hari pertama. Saya hairan, sebab tidak pernah menangis seteruk itu. Namun anak anak tidak hairan sebab katanya ”Alahhhh mama memang kememeh, sedangkan tengok drama sedih sikit pun pun dah menangis apalagi lah kalau dah jalani training macam tu. Adat lah mata mama bengkak!”


Dalam kesejukan ruangan Ballroom hotel dengan jumlah peserta lebih kurang seramai 360 orang, dipasang 3 layar raksasa yang lengkap dengan sound system yang menggegar jantung . Mereka merasakan pengalaman spiritual yang luar biasa. Angkatan Ke- 4 ini (dinamakan kumpulan Badar kerana bilangan peserta yang hampir sama dengan bilangan pahlawan Badar) menjadi saksi kesedaran spiritual yang mencairkan ’kebekuan hati’. Bilangan seramai 360 orang peserta untuk training adalah sesuatu yang biasa dibuat oleh ESQ 165, malah di Jakarta peserta untuk sekali training ialah 500-1000 orang. Satu pemikiran kaedah pelaksanan training di ’luar kotak’(out of the box).

Peserta terkesima menyaksikan gambar gambar (animasi yang dibantu teknologi digital yang canggih) yang diambil dari telescope Hubble dan berbagai gambar lain yang menakjubkan , betapa luasnya alam semesta, berbillion galaksi, matahari dan planet yang Milky way hanyalah setitik dalam gugusan bintang binatang yang berputar menurut orbit masing masing.Kita di sedarkan betapa sangat kecilnya (paling insignificance) manusia dibandingkan dengan ciptaan Allah lainnya, galaksi yang begitu luas. (Background music yang penuh serenity apabila ditayangkan gambar seorang lelaki dengan yang sedang berbaring. Jasadnya dikecilkan dan semakin kecil dibandingkan dengan katilnya, buminya, negaranya, benuanya, bumi yang bulat semakin mengencil, sistem solarnya, sistem galaksinya dan MasyaALlah....terasa kecilnya kita!.Perasaan itu menggigit jantung hati! Kemudian lapisan kulit dari tubuh itu di magnify liang romanya, salur salur darahnya, zarah zarah dalam darahnya, atom, dan sehingga sekecil-kecil hatta atom, nucleas dan neutron....Subhanallah, Allah Akbar, Maha Suci Allah yang menciptakan semua itu dengan tidak sisa-sia untuk orang yang berfikir. Situasi hati ketika itu disebut ‘zero mind process’.

Alam semesta bertasbih pada Allah. Kenapa manusia masih angkuh? Padahal, sesungguhnya dalam diri sudah ada fitrah untuk tunduk pada Maha Pencipta (Godspot). Vokal Pak Ary yang ‘barytones’, dengan bantuan audiovisual raksasa, mengoyak emosi. Salawat Nabi yang dikumandangkan menambah batin bergetar.

Saya semakin sedar dan merasa-merasa tentang betapa besar nya kekuasaan Allah dan betapa beraninya saya “mengecilkan” Allah. Sudah lama saya tidak menangis kerana ingatkan Allah, saya tidak merasa malu untuk menangis semau-mauny ketika itu kerana menyadari betapa zalimnya diri saya ini.

Seorang remaja yang kaki lepak menceritakan kesan ’zero mind proses’ terhadap dirinya;

” Alhamdulillah, Allah membuka hati saya. Allah memberikan hidayah melalui training itu. Pada asalnya saya enggan , tetapi telah dipaksa oleh emak ayah maka saya pun pergi. Rupanya apa yang saya dapati dari hadiah ini ialah ’hidayah’ dari Allah kerana saya taat kepada ibu bapa saya. Disini saya mula mengenali diri saya, saya sadar betapa besar kekuasaan Allah dan betapa beraninya saya menghindari Allah, betapa beraninya saya melanggar larangan Allah dan tidak mentaati perintah-perintahNya. Saya tidak pernah merasa apa-apa apabila disebut nama Allah apalagi untuk menangis, tetapi di training itu, saya tidak lagi menghuiraukan orang lain, saya menangis sehingga kadang-kadang meraung kerana menyedari betapa ’jahat’ saya ini dengan melakukan perkara perkara sia-sia yang merosakkan masa depan saya.

Perubahan drastik saya rasakan selepas itu, saya merasa seronok ketika solat. Kalau dulu saya hanya sembahyang bila disuruh oleh emak ayah. Kawan-kawan saya kata, ”Tuhan kamu tu emak ayah kamu, bila depan mereka kamu sembahyang, lepas tu kau jadi ’hantu’” . Solat saya pun dilakukan dalam keadaan terbutu-buru dan bagaikan patuk patuk ayam sahaja. Sekarang ini saya suka berlama-lama dalam solat, menyimak setiap patah ayat yang dilafazkan, kadang-kadang saya sering menangis di dalam sholat seolah-olah saya merasa Allah yang Maha Kuasa berada di depan saya. Saya jadi rajin untuk solat berjamaah di surau terdekat. Kawan-kawan saya melihat perubahan di dalam diri saya. Terutama ketika sedang bermain ’Ragnaroks On line’ (sejenis computer games ) atau semasa bermain ’Playstation’ bersama-sama’, saya minta izin berhenti sekejap untuk ke surau (solat berjamaah) sebaik sahaja azan berkumandang. Setelah pulang dari surau, sambung balik dengan game lagi. melanjutkan main lagi.

Perubahan ini juga sebenarnya menghairankan saya sendiri. Betapa luar biasanya hidayah yang datang kepada saya, sehingga saya dapat rasakan kehadiran Allah walau di manapun saya berada. Saya merasa Allah berada di depan saya dan selalu mengawasi setiap tingkahlaku saya. Namun dalam bab pergaulan kawan saya tetap seperti biasa. Perspektif saya terhadap kawan kawan lebih ’soft’ dan bertimbangrasa. Saya mudah mengalah, padahal dahulu saya suka bertegang urat walau pun pada perkara-perkara yang kecil kecil”.

Rata-rata peserta teruja dengan gambar dan alunan musik kitaro yang kadang-kadang kuat menendang gegendang telinga sekaligus menghentak jantung diselangseli dengan muzik suara later yang lembut mengusik kalbu. Ketika batin sudah hening, mereka diajak untuk merefleksi, ingat akan dosa, keributan hari akhir, kebesaran Maha Pencipta. Semua di insafkan dengan persoalan persoalan ”apa arti hidup”, ”apa yang kita mahu dalam kehidupan” dan ”ke mana dan kepada siapa” kita akan kembali. Training ESQ Memang sunguh mengharukan. Efeknya masih terasa hingga sekarang.