PERUTUSAN HARI IBU 2015
WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
IBU PENCORAK KEPERIBADIAN GENERASI
1. Hari ini seluruh dunia merayakan Hari Ibu. Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada semua ibu-ibu di mana jua mereka berada.
2. Hakikatnya hari-hari adalah hari ibu bagi semua kita. Kita mengambil iktibar dari dari kisah ‘Abd Allah ibn ‘Amr radhiallahu 'anhu yang menerangkan bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata:
“Sesungguhnya aku datang untuk memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada engkau untuk berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang tuaku dalam keadaan menangis.” Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepadanya: “Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis.” Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai.
Marilah kita tunjukkan kasih sayang dan penghargaan kepada ibu yang telah banyak berjasa melalui bakti dan bahasa kasih yang paling tulus dapat dirasakan oleh ibu kita.
3. Sambutan Hari Ibu tahun ini kita rayakan dalam suasana terkejut dan terharu dengan berita salah seorang anak bangsa kita pelajar genius matematik yang dipenjara lima tahun di London kerana memiliki 30 ribu bahan lucah kanak-kanak.
4. Kami melihat peristiwa ini sebagai satu petanda ancaman kecelaruan seksual songsang yang sedang melanda masyarakat khususnya anak-anak kita. Ibubapa hari ini, perlu secara sedar peka kepada cabaran dan ancaman yang sedang dihadapi dalam mendidik generasi hari ini. Kita perlu terus berusaha menjalankan tugas-tugas pencegahan mendidik anak-anak kita melalui pendidikan reproduksi dan seksual berteraskan lunas-lunas agama bermula di rumah . Anak-anak perlu diawasi kecenderungan seksual mereka di semua peringkat kehidupan. Secara umum pedofilia (kecenderungan seksual kepada kanak-kanak) lebih mudah terjadi kepada orang lelaki maka ibu dan bapa mestilah berganding bahu dalam memainkan peranan mendidik dan menghalakan perkembangan seksual anak lelaki kita secara sihat. Hanya pendidikan holistik menekankan aspek spiritual dan keimanan , emosi, intelek, sosial dan fizikal yang akan membantu anak-anak berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan hari ini.
5. Pihak berkuasa dan anggota masyarakat juga digesa untuk meningkatkan usaha dalam membenteras pornografi dan kelucahan dalam semua media. Pada tahun 2013 pakar perlindungan anak mengingatkan adanya trend pedofilia di internet yang menggunakan webcam yang dihubungkan internet untuk mengakses anak-anak di Negara yang membangun. Pusat perlindungan Eksploitasi Anak dan Online (Child Exploitation and Online Protection Centre) yang berpengkalan di United Kingdom pada tahun 2012 menerima laporan berkaitan 70 ribu video dan gambar lucah kanak-kanak yang disebarkan di internet , atau dua kali ganda dari tahun sebelumnya).
6. Wahai Ibu bukankah wajar untuk kita juga melipatgandakan penguatkuasaan peraturan dan pemantauan gajet dan akses internet anak-anak bermula di rumah kita.
7. Akhirnya untuk sambutan hari Ibu 2015, Wanita IKRAM Pusat menyatakan sokongan kepada aktiviti sambutan Hari Ibu yang dijalankan Wanita IKRAM peringkat Negeri dan Daerah mengikut kreativiti masing-masing . Secara khusus kami menyatakan sokongan kepada usaha pembelaan nasib masyarakat terpinggir termasuk ibu tunggal dan ibu tinggal seperti usaha yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Pemuda GEMA Selangor meraikan ibu-ibu yang kurang bernasib baik dalam HiTea Istimewa Hari Ibu .
8. Selamat Hari Ibu . Kitalah Pencorak Keperibadian Generasi.
Datin Paduka Hajjah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
10/5/2015
Media Wanita IKRAM🌹
No comments:
Post a Comment