Friday, March 13, 2015

GST oh GST

Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
12 Mac 2015 bersamaan 21 Jamadilawal 1436H

IKRAM Saran Kerajaan Bina Ekonomi Negara Atas Landasan Syariah

Kerajaan Malaysia akan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April 2015 pada kadar enam peratus untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan. Sistem cukai yang akan dilaksanakan ini telah dibentangkan dalam Bajet 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 25 Oktober 2013.

Secara umumnya, kita mengetahui perbelanjaan negara kita belakangan ini tidak diurus dengan baik. Ini mendorong kerajaan Malaysia untuk mengenakan GST. Namun begitu, sekiranya perbelanjaan umum tidak dapat dikawal dengan baik, GST tidak akan mampu menyelesaikan masalah kewangan negara dalam jangka masa panjang. Kita telah dapat melihat pelbagai reaksi berkaitan keputusan kerajaan ini.

Pertubuhan IKRAM Malaysia berpandangan bahawa GST itu tidak haram secara mutlak. Ia dibolehkan dalam beberapa keadaan. GST perlu dinilai daripada aspek prosedur dan kesan pelaksanaannya sama ada ia patuh syariah atau sebaliknya.

Terdapat lapan syarat yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan sebelum memungut cukai daripada rakyat berdasarkan pandangan Imam al-Syatibi dalam kitabnya Al-I’tisam dan Imam al-Haramain al-Juwainy dalam kitabnya Al-Ghiyasi, iaitu:

1.       Wujud keperluan umum yang mendesak dari sudut pandangan syarak.

2.       Perbendaharaan negara tidak mampu memenuhi keperluan ini atau dijangka tidak mampu memenuhinya.

3.       Sesudah perbelanjaan mewah atau pembaziran dihentikan terlebih dahulu.

4.       Setelah masyarakat digalakkan untuk menyumbang.

5.       Pungutan cukai mestilah sekadar keperluan.

6.       Pungutan cukai hendaklah dilakukan secara adil dan saksama.

7.      Ia diambil dari lebihan keperluan setahun orang yang dicukai.

8.      Ia dibelanjakan untuk tujuan ianya telah dipungut.

Pertubuhan IKRAM Malaysia menyarankan kerajaan Malaysia untuk mengawal perbelanjaan dengan lebih teliti dan bijaksana. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia perlu diberi pendidikan dan kesedaran untuk membantu kerajaan mengawal perbelanjaan.

Pada jangka masa panjang, kita mengharapkan nilai-nilai Islam diterima ramai dan mewarnai kehidupan rakyat Malaysia yang mana rakyat berlumba-lumba untuk menyumbang secara sukarela untuk membantu kerajaan sehinggakan tidak perlu lagi kepada pungutan cukai.

IKRAM mengakui bahawa sistem ekonomi dan kewangan Malaysia mempunyai keupayaan yang mapan dan kemas tetapi ia perlu mengutamakan prinsip-prinsip syariah dalam pengurusannya terlebih dahulu untuk memberi kesan yang positif kepada rakyat.

Pelaksanaan ini memerlukan pentadbir awam yang berdisiplin dan amanah untuk menghasilkan kesan yang baik kepada negara dan menyebarkan kebaikan keatas seluruh rakyat. Malaysia perlu mengembangkan keupayaan dan daya (capability & ability) yang didukung oleh prinsip-prinsip syariah kepada yang lebih baik untuk menjadi negara contoh.

Adalah menjadi harapan kami bahawa usaha-usaha memperbaiki sistem yang didukung oleh prinsip syariah akan menghasilkan ekonomi negara yang stabil.

Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad

Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments: