Sunday, May 11, 2008

KASIH IBU CINTAI ALAM SEKITAR

Beberapa orang ibu yang meraikan hari ibu- Kasih Ibu Cintai Alam Sekitar

Sedang mencari nama nama pelbagai tumbuhan di taman mini taman botani

Imang - an engineer cum professional camera women using DSLR

Mama & team untuk mencari nama-nama tumbuhan sekitar taman botani

Aalaa' , Imang & team among the earlier to come

Semalam 11 Mei mama menyertai team Wjim Pusat merayakan Sambutan hari ibu bertemakan Kasih Ibu Cintai Alam Sekitar di Taman Botani Putra Jaya. Laporan bergambar lebih lanjut mama boleh di layari di blog wanita JIM Ceria yang mama jadi ownernya.

Mama seronok sebab kedua orang anak perempuan (Aalaa' & Naeeimah) yang mama cintai menemani dan sama sama meraikan hari itu sebagai hadiah untuk mama. Walaupun Aalaa' dan Naeeimah aka Imang belum hilang penat mengemaskan barang barang dari kampus USM..(ye yeh imang dah habis belajar dengan B SC Aerospacenya- tak tahu nak kerja aper & dimana ).

Terima kasih, jazakallah khairan dan a BIG TQ kerana memahami! Mama tidak harapkan hadiah yang mahal mahal (yang hanya akan menguntungkan penjual kad dan memorabilia), mama hanya perlukan kasih sayang berpanjangan, pemahaman sepanjang hayat, dan paling utama berniat untuk bersama sama mengamalkan Islam dan nilai unggul universal untuk keselamatan manusia dan alam. Hanya dengan syariat kita mampu berbuat demikian.

Mari kita hayati ucapa perasmian ini dibacakan oleh Tiumbalan Ketua Wanita, Puan Che Asmah

Teks Ucapan Perasmian Ketua Wanita JIM Pusat sempena Sambutan Hari Ibu 2008 (11 Mei 2008 )

Tema : Kasih Ibu Cintai Alam

Assalamualaikum warahmarullahi wabarakatuh

Selawat dan salam untuk Junjungan Besar, Muhammad SAW

Alhamdulillah, di pagi yang mulia dan berbahagia ini, Allah SWT telah menghimpunkan kita semua di dalam suatu majlis yang aman makmur, untuk sama-sama menyambut sebuah hari yang besar maknanya kepada semua wanita bergelar ibu.

Izinkan saya mengalu-alukan kehadiran semua hadirin dan hadirat yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kami pada hari ini. Saya memohon berbanyak ampun dan maaf kerana tidak dapat bersama secara fizikal dengan sidang hadirin sekelian kerana terpaksa bertolak ke Bandung atas urusan kerja pagi ini. Namun saya yakin, penganjuran dan pengendalian majlis yang cekap dan rapi, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Wanita JIM Pusat, dengan kerjasama padu Wanita JIM Selangor kali ini akan memastikan perjalanan majlis Sambutan Hari Ibu yang paling bersejarah dan bererti untuk kita semua. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada komitmen dan susah payah mereka dalam menjayakan program ini.

Hari Ibu di Malaysia biasanya disambut setiap tahun pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Selain menjadi hari yang diperuntukkan untuk mengenang jasa dan pengorbanan para ibu, hari ini sambutan Hari Ibu menjadi satu `trend’ yang sering diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk mendapatkan keuntungan komersial yang berlipat kali ganda. Gedung-gedung membeli-belah, restoran-restoran dan hotel-hotel mewah menawarkan pekej-pekej istimewa sambutan Hari Ibu yang lebih bertujuan mengaut dan memancing komitmen kewangan dari anak-anak yang tidak kisah bergolok dan bergadai demi untuk `membuktikan’ penghargaan mereka kepada ibu yang mereka kasihi. Eksploitasi ini dibimbangi, akan mengikis erti dan makna sebenar mengapa diperuntukkan sebuah hari yang khusus untuk mengenang jasa dan sumbangan kaum ibu selama ini.

Untuk memastikan Hari Ibu disambut dengan pengertian yang benar lagi tulus, Wanita JIM Pusat memilih untuk memberikan penekanan kepada suatu aspek yang belum mendapat perhatian serius umat Islam di negara ini. Kesedaran untuk mencintai alam sekitar dan usaha mengurangkan pencemaran dan kerosakan yang berpunca dari tangan manusia sendiri masih agak kurang mendapat tempat atau prioriti. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan isu penjagaan alam sekitar belum dijadikan agenda utama dalam perancangan strategi organisasi-organisasi Islam di kalangan kita.

Dengan memilih tema : ` Kasih Ibu Cintai Alam Sekitar ’ untuk sambutan Hari Ibu tahun ini, Wanita JIM memberikan fokus kepada peranan dan sumbangan besar yang boleh dimainkan oleh para ibu dalam memastikan penjagaan alam sekitar bermula di rumah. Keprihatinan terhadap isu alam sekitar mestilah menjadi budaya dalam kehidupan setiap keluarga dan kelompok masyarakat. Nilai dan penghargaan yang tinggi kepada suasana alam sekitar yang bersih dan tidak tercemar mestilah disemai dari alam kanak-kanak lagi. Ibu mempunyai pengaruh yang besar terhadap anak-anak mereka dalam membentuk sikap yang betul dan keprihatinan yang tinggi terhadap penjagaan alam sekitar.

Program Sambutan yang diadakan di Taman Botani ini sekaligus bertujuan mengajak para ibu dan keluarga mereka mendekatkan diri secara langsung kepada suasana alam sekitar yang bersih dan tidak tercemar. Dengan beberapa aktiviti yang dirancang, diharapkan kesedaran ini dapat mencetuskan satu komitmen baru dalam minda dan kehidupan para ibu terhadap perihal pentingnya menjadi `agen’ yang turut memainkan peranan besar dalam aspek penjagaan alam sekitar. Suasana iklim dunia yang semakin tidak menentu kerana pengaruh pemanasan global ( global warming) – akan tetap memberikan kesan kepada kehidupan kita semua, di mana jua kita berada di atas muka bumi ini.

Saya menyeru kepada semua ibu di Malaysia khususnya dan di dunia amnya sempena Hari Ibu 2008 ini, untuk melaksanakan secara serius tanggungjawab menyemai kesedaran terhadap alam sekitar di kalangan anak-anak, keluarga, kejiranan dan di peringkat negara. Mereka juga haruslah memainkan peranan yang lebih efektif dengan melaksanakan sendiri amalan-amalan yang menekankan ciri-ciri mesra alam di dalam urusan seharian di rumah dan lingkungan persekitaran mereka sendiri. Marilah kita mengambil pengajaran dari apa yang dinukilkan di dalam Surah Ar-Rum, ayat 41 :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Mafhumnya :

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

MAKA, dengan lafaz yang mulia : Basmallah – saya merasmikan Sambutan Hari Ibu Wanita JIM 2008 ini.

No comments: