Calon Isteri untuk Calon Usahawan
Calon usahawan perlukan calon isteri yang sesuai kerana isteri mempunyai pengaruh besar pada kejayaannya. Tuan Zainuddin adalah peguam terkenal di Kuala Lumpur. Anak-anak guamnya terdiri daripada semua bangsa dan kebanyakan mereka adalah orang bisnes. Salah seorang anak guamnya adalah Encik Tan, usahawan Cina yang berjaya.Tuan Zainuddin menceritakan apa yang pernah didengar daripada usahawan Cina itu berkenaan persediaan menjadi usahawan. Menurut Encik Tan, di kalangan orang Cina, mereka mempunyai semacam petua memilih perempuan yang bagaimana yang lebih sesuai bagi lelaki yang hendak menjadi usahawan.Menurut Encik Tan, bagi calon usahawan Cina, berkahwin dengan gadis yang lulus sekolah aliran Cina adalah pilihan lebih baik, berbanding gadis yang lulus aliran Inggeris. Rasional di sebalik pilihan gadis aliran Cina ataupun Inggeris adalah mereka mempunyai pengharapan berbeza ke atas tingkah laku suami-suami mereka. Mengikut Encik Tan, gadis-gadis Cina yang berpendidikan Inggeris mempunyai nilai-nilai kekeluargaan seperti wanita-wanita kulit putih, iaitu mereka mahu suami-suami mereka bekerja seperti orang yang bertugas di korporat antarabangsa, iaitu kerja ikut waktu, pulang kerja cepat, malam mesti berada di rumah dan hujung minggu bersiar-siar dengan isteri dan anak-anak.Berbeza dengan gadis-gadis yang mendapat pendidikan aliran Cina, mereka ini kurang mengharapkan suami-suami mereka pulang cepat, apa yang penting suami-suami mereka pulang membawa wang yang banyak untuk keluarga. Petua yang serupa juga digalakkan bagi mereka yang terlibat dengan profesion kejurujualan, khususnya kejurujualan dalam sektor produk-produk harga tinggi dan mahal seperti kereta, rumah, hartanah dan lain-lain yang seumpama itu. Bakal pembeli produk-produk seperti itu pergi ke showroom ataupun membuat lawatan ke lokasi selepas waktu pejabat, pada hari-hari cuti dan hujung minggu. Bagaimana pula jikalau saudara seorang pemuda Melayu? Saudara digalakkan supaya memilih gadis yang datang daripada keluarga usahawan. Nabi Muhammad menggalakkan umatnya berkahwin dengan orang yang sekufu, ertinya orang yang banyak persamaan.
No comments:
Post a Comment