Wednesday, September 14, 2011

Dedikasi buat anak lelaki ku yang akan bernikah esok


InsyaAllah anak lelaki ku yang ke enam Ustaz Ahmad Syamil (DOB 1hb July 1987) akan berrnikah di Kaherah, Mesir pada hari esok, 15hb September 2011. Hati mama ini sungguh terasa bangga bercampur pilu setiap bertambah hampirnya hari hari bahagia pasangan ini.

Mama bangga kerana kamu anakku telah berjaya melunaskan janjimu kepada kedua orang tua mu, bahawa kamu hanya akan bernikah setelah lulus dalam Peperiksaaan Ijazah Sarjana Muda (Syariah) dari Universiti Al Azhar mu di Tanta, Mesir. Walaupun sebenarnya kamu telah menyatakan hasrat dan keinginannya untuk bernikah semasa dia berada di tahun dua lagi.

Sebaik sahaja kamu memaklumkan kepada mama bahawa kamu telah lulus dengan keputusan ‘Jayyid Jiddan’, hati mama berbunga bangga. Alhamdulillah, mama memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah, mama rasa lega. Sebenarnya ada terselit sedikit rasa terkilan kerana kamu tidak mendapatkan keputusan Mumtaz. Mama difahamkan tiada seorang pun Non Arab yang mendapat Mumtaz dalam peperiksaan itu dan yang sewaktu dengannya. Pun begitu mama bersyukur dan berkata Alhamdulillah, “its good”…dalam hati mama sentiasa berdoa malah mempercayai bahwa anak ini mempunyai potensi yang tinggi untuk lebih berjaya di masa depan. Bakal peneraju satu perubahan.

Mama dan papa lantas berkongsi rasa bahagia dan menganugerahkannya sebuah restu ‘ayah bonda’ membenarkan bernikah dengan gadis ‘solehah’ pilihan hatimu yang juga dipersetujui oleh setiap ahli dalam keluarga. Restu ayah bonda adalah resepi pertama dan utama terhadap ‘kekukuhan alam rumahtangga” dan “kebahagaian keluarga” di duniadan di akhirat yang membawa ke syurga. Inilah kata kunci kebahagian abadi.

Hati mama berbisik, inilah ‘rijal’ lelaki gagah yang telah berjaya menewaskan ghairah ‘kahwin terlalu muda’. Syabbas anakku kerana memegang erat pesanan papa, yang sentiasa mengulang ulang dalam tazkirah via telefon dan smsnya, tanpa jemu mengingatkan kamu tentang ‘priority amal@ awlawiyaat betapa besar dan beratnya tugas utama seorang pelajar, seorang jundullah dalam pencarian ilmu di bumi anbiya’.

Papa tanpa lelah menekankan penting nya pemahaman dan penghayatan “priority amal’ dengan menyibukkan dirimu dengan aktiviti tarbiyah, pembinaan dan pembentukaan, tazkiyatunnafs, ber “tallaqqi” dengan para ilmuan, syeikh-syeikh dan fuqahak dakwah dan tarbiyah. Inilah masa masa nya sementara kamu berada di bumi anbiya’, gunakan peluang keemasan yang hanya datang sekali dalam hidupmu. Apabila hari hari kamu (jasad dan minda) disibukkan dan di penuhi dengan dengan aktiviti ini maka tidak ada lagi ruang untuk “memasang angan angan berkahwin” selagi belum memegang segulung ijazah asas. Apabila kamu di disibukkan dengan matlamat perjuangan ‘seorang pelajar dan jundullah” maka di saat itu kamu memang merasa-rasa kebenaran kata kata Al Banna bahawa “kewajipan lebih banyak dari waktu”….Al waajibaatu aktharu minal awqaattt…”.

Mama rasa seronok apabila kamu mengamalkan tips yang kami berikan dalam menangani badai ‘ghirah’ yang melanda jiwa mudamu, setiap keresahan yang datang bertamu kamu adukan kepada kami dan kami berikan preskripsi ubatnya, ALhamdulillah kamu menggunakan preskripsi itua. Namun usah terlalu bangga wahai anakku kerana semua kakak dan abang mu bernikah apabila mereka telah memegang ijazah atau diploma masing-masing (pendeknya mereka telah tamat belajar). Pun begitu mama dan papa amat memahami hakikat bahawa belajar di luar Negara, jauh diperantauan dan perpisahan antara kita memang amat sukar bagi mu dalam perjuangan pencarian ilmu dan dalam masa yang sama bertarung dengan ghirah perasaan dan gejolak anak muda. Memang hebat perjuangan itu. Itu sebabnyaa papa dan mama walau betapa sibuk mana pun tidak akan meninggalkan atau membiarkan kamu dalam keresahan dan kedukaan yang berpanjangan. We are always there with you….in mind and spirit. The feeling is mutual. We are spiritually bound to each other, by blood and by aspiration. Kami percaya bahawa Allah menyayangi mu dengan menjaga maruahmu kerana martabatmu sebagai Ibnu Sabil…Allah is always with you.

Nah kini kamu akan melangkah ke satu alam baru, alam pernikahan dan alam perkahwinan…

Ingatkah apa pesanan dan tips papa mengenai persediaan seorang mempelai lelaki yang perlu kamu sediakan?

Pertama & Utama : Doa, pastikan doa doa utama yang perlu kamu hafazkan. Mama tidak meragui keupayaanmu untuk mengetahui, memahami dan menghafaz doa doa menuju alam pernikahan dan berkeluarga, sementelahan kamu seorang ‘al hafiz’ dan seorang ustaz. Namun mama ingin mengingatkan kamu mengenai doa yang ‘perlu’ dibacakan sambil memegang ubun-ubun/dahi isteri mu sebaik sahaja selesai upacara akad nikah. Tidak ramai orang mengamalkan sunnah ini.

Bacalah doa ini sambil menyentuh atau meletakkan tanganmu diubun-ubun / dahi isterimu selepas akad nikah, ini disunnahkan sebagaimana yang tersebut dalam hadith:

"Apabila salah seorang dari kamu bernikah dengan seorang wanita, hendaklah dia memegang bahagian depan kepalanya (isteri) sambil menyebut nama Allah dan mendoakan keberkatan baginya dan hendaklah mengucapkan: 'Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.' " (Riwayat Abu Daud). Transliterasi bahasa Arabnya kamu mesti tahu kan….

Mama teringat lebih tiga pupuh tahun yang lalu, apabila papa membacakan doa ini di dahi mama sebaik sahaja mama dan papa diijabkabulkan. Sebaik sahaja papa tamat membaca doa itu, seorang nenek saudara menjerit kegembiraan sambil berkata:” Inilah yang aku tunggu tunggu selama ini”…..mama pun diberitahuinya bahwa dia lama tak dengar orang baca seperti itu, tak ramai yang amalkan doa ini…itu 30 tahun yang lalu , bagaiman masa kini pula….!!!...”

Kemudian diikuti dengan solat sunnat dua rakaat selepas nikah , ini kamu pun tahu…

Mama rasa terasa sungguh pilu tidak dapat hadir di hari perkahwinan mu yang jauh di pertantauan, namun mama tetap mendoakan dari jauh agar perkahwinan ini diberkati Allah, dilimpahi Mawaddah wa Rahmah dan di Redhai Allah dan terus bercinta membawa ke Syurga. Mama percaya Allah meredhai hambanya yang taat dan berbaik sangka dan meredhai kedua ibu bapanya dan kedua ibubapanya merestui dan meredhainya. Redhallah fi rdhail wallidaini.

Perkara asas Islam sebagai suami itu memanglah sudah makruf, umpamanya sentiasa menjadi imam (solat berjemaah dgn isteri) apabila tidak ke mesjid atau ke surau). Selalu mengadakan usrah suami isteri( usrah atas katil pun jadi).

Jadi mama ingin kongsikan beberapa tips psikologi bersuami isteri melayari bahtera rumantangga;

Cara terbaik untuk menjadi seorang suami yang baik adalah menjadi pasangan yang sempurna dimata isteri kamu (bukan mata perempuan lain). Kamu perlu menjadi seorang ketua (bukan sulkthan yang berkuku besi) dan dalam masa yang sama menjadi seorang teman hidup yang baik dan prihatin. Semasa kamu bujang, kamu lebih fokus pada diri kamu sendiri. Sekarang, apabila kamu sudah berkahwin, kamu perlu fokus pada kehendak/impian pasangan kamu dahulu sebelum fokus pada diri kamu sendiri.

Berikut adalah tips-tips untuk menjadi seorang teman yang baik di mata isteri tersayang kamu.

TIPS 1: Menjadi seorang pendengar yang baik

Jadi seorang pendengar yang baik, untuk mengelakkan diri daripada bergaduh serta berselisihan faham, bergaduh itu perkara yang sia – sia dan perabis beras sahaja. Kadangkala walaupun wanita suka berleter atau suka bercerita, tidak bermakna dia marah pada kamu, tetapi dia mahukan perhatian kamu. She needs attention and love. Wanita memang suka meluahkan apa yang mereka rasa melalui bercerita atau berleter.

Sebagai suami yang baik, kamu kena dengar sahaja sehingga habis dan ambil berat apa yang isteri kamu utarakan. Fahami sepenuhnya apa yang dia sampaikan dengan penuh sabar, kemudian barulah anda memberi respon berdasarkan perkara yang di adu. Kadang kadangkala kamu tidak perlu berikan apa apa jawapan pun.

TIPS 2: Sentiasa terbuka untuk menerima-pakai pandangan isteri

Apabila isteri menyuarakan pendapat mengenai sesuatu, kamu dengar apa yang hendak di sampaikan oleh dia. Kadangkala, pandangan isteri lebih bagus dari buah fikiran kamu sendiri. Sebagai lelaki, kamu lebih suka bertindak bersendirian. Tetapi sebagai teman yang baik, kamu perlu tahu pendapat isteri kamu sebelum anda memulakan sebarang tindakan. Ingat perlu berkongsi tindakan bersama dan sejalan

Ini kerana wanita walaupun dia berfikir jangka pendek, mereka berfikir semua perkara serentak (sifat wanita yang multi-tasking memang dibahaskan oleh banyak psikologis) dan ia berbeza dengan lelaki yang berfikir panjang tetapi hanya berkisar pada satu matlamat sahaja. Jika masalah itu rumit, dapatkan bantuan isteri kamu untuk sama-sama menyelesaikan masalah tersebut. Isteri sebenarnya sangat suka membantu lelaki yang mereka sayang. Namun tidak semua pandangan nya kamu kena ikut 100%, dengar sahaja dahulu dan kemudian tapis gunakan hikmah, harapkan ilham dari ALlah dan gunakan kecerdikan kamu, timbangkan mana lebih manfaat dan mafsadahnya, mana banyak pro dan kontra nya.

TIPS 3: Sentiasa bermain cinta

Setiap hari kamu perlu menggoda dan ‘mengorat’ isteri kamu. Ini kerana cinta yang hebat adalah percintaan yang berlaku berulang–ulang kali dan tidak mengenal usia. Kata Dr Fadzhilah Kamsah peluk lah isteri kamu paling kurang sepuluh kali sehari…pandai pandailah memilih masa ikut kesuaian tempat dan waktu. Selalau lah memebri pujian dimana mana yang patut, terutama masakannya dan pakaianya dna cara dia berpakaian

Kalau hendak menegur jangan tegur secara direct, tetapi disulami dengan cerita dari kisah kehidupanan ayah bonda. Bak kata Abang Ngah kepada papa dalam beberapa occasion, “ Bangah hanya lihat apa yang papa buat bukan pada apa yang papa katakan!....Mama bangga dengan kenyataan Abnag Ngah kerana dia kini sedang amalkan apa yang apa papa telah tunjukkan dalam kenyataan kehiduopan seharian.

Kamu hidup bersama kami mama dan papa lebih 20 tahun , sudah semestinya kamu melihat bgaimana papa kamu amat menghormati mama, papa tidak pernah memperlecehkan atau menjatuhkan air muka mama di depan sesiapa sahaja, apa tahlagi di depan anak-anak, papa tidak pernah memarahi mama secara terang terangan. Ingatkah kamu bila orang orang sibuk bercerita mengenai isu poligami, papa tidak pernah tumpang tui atau ambil peluang, paling banyak papa akan kata, orang yang mampu persilakan , buatlah, namun papa satu ni pun dah tak larat dahhhh…. Sebab papa tahu itu adalah isu sensisitif…Kerana papa amat memahami garis garis ‘sensitiviti kewanitaan’ bahawa mama adalah ibu kepada anaknya yang tujuh orang itu. Anak-anak itu adalah pewaris perjuangan dan pemimpin perubahan masa depan. .

TIPS 4: Sanggup berkerjasama sepenuh jiwa dan raga

Perkahwinan adalah hubungan give and take. Belajar untuk bekerjasama dengan isteri kamu. Ada masa-masa kamu kena mengalah dan ada masa-masa nya isteri kamu juga akan mengalah (kamu kena kena bijak memainkan peranan) . It takes two to tango.

Menjadi suami yang baik tidak sukar jika kita sedia untuk menjadi seorang teman hidup yang baik dan berlebih kurang pada isteri kamu. Fokus pada isteri kamu dan kamu akan menjadi suami yang baik secara tidak langsung.

Kerja-kerja rutin dalam rumahtangga bukan tangungjawab isteri, maksudnya jika isteri tidak lakukan maka dia tidak berdosa. Tetapi isteri bertangungjawab melayani suami dan memberi didikan anak anaknya. Isteri hanya membantu dalam kerja kerja rutin rumahtangga untuk mendapat pahala kebajikan kepada suami.

Oleh itu mama tidak mahu melihat kamu membaca akhbar goyang kaki sambil memerintah kan isteri buat itu dan ini sedangkan dia seorang diri berperang dengan pinggan mangkok periuk belanga dan penyapu di dapur dan sekitar rumah hatta dnegan anak anak nanti dimasa depan.

Sebab lelaki adalah pelindung wanita, seorang suami payung kepada isterinya bukan seorang sultan yang menunjukkan kuasanya secara kuku besi. Maka sayangilah, cintailah dan hormatilah isreri kamu sebagai seorang wanita, sama seperti mana kamu menyayangi dan menyanjungi mama kamu, macik makcik kamu dan akak kakak kamu.

Dalam kemeriahan dan kegembiraan di hari pernikahan kamu, bawa bersama lah cinta mama, sendu dan rindu dari mama dan papa yang kejauhahan ini, what’s more important you have my 100% doa dan restu from now on. On you mark get set go….

“Barakallah laka, wa barakallah alaika wajamaaa bainakuma fi kulli khairr”….Aminnn….

2 comments:

Kyan said...

salam kak endok, mohon share utk anak ana bole kan

Mama said...

Semoga ia bermanfaat