Tuesday, November 04, 2008

Emak saya adalah adalah ‘a woman of substances’


(artikel ini adalah sebahagian dari isi buku projek penulisan buku Wanita JIM yang bakal terbit dengan tajuk: " Ibu madrasah pertamaku ")


Emak sumber inspirasi saya

Sudah terlalu lama saya pendamkan niat ini.Niat untuk menulis tentang emak. Namun kini adalah masa terbaik untuk merakamkannya. Semasa artikel ini ditulis, saya sedang terlantar sakit kerana menjalani rawatan dan proses pemulihan dari serangan asthma yang terjadi seminggu yang lepas.Sambil berbaring di katil teruja fikiran untuk mula menulis. Masa ini lah saya terasa benar benar memerlukan kehadiran emak di sisi Teringat zaman kanak kanak dan remaja,masa sakit lah emak terlalu dekat dengan kita. Rasa sakit, terpinggir, keseorangan, kesepian dan kesedihan ini membolehkan saya menulis sesuatu. Ilham dan bayangan masa lalu datang bertindih tindih. Jelas wajah kasih sayang emak, wajah simpati emak, terasa kelembutan sentuhan, emak,terasa motivasi emak mengalir dalam diri.
Perjuangan masa lalu emak menanamkan iman dan semangat dan menggilap potensi saya sejak dari kecil hingga dewasa malah semakin terkesan dalam rumahtangga apabila usia semakin senja.Emak adalah idola dan mentor dalam membentuk jatidiri, membina kerjaya, melayari bahtera rumahtangga, menyusur alunan ombak kehidupan yang silih berganti antara susah dan senang.


Emak bersuamikan seorang pejuang revolusi.


Kedatangan seorang ‘Guru’ dan Pejuang Revolusi dari Makassar Indonesia ke Tanah Melayu tahun 1948 menjadi buah mulut suku kaum Bugis yang telah bermastautin sejak abad ke 19 di Benut, Johor. Perawakan ‘kiyai’ dan keilmuan Islamnya yang terserlah memancing minat sepasang keluarga ‘berada’ kacukan Bugis-Banjar di Sg.Pulai Muar. Pasangan itu ialah datuk dan nenek saya. Mereka amat berkenan dengan semangat keislaman yang berkobar-kobar, kelakuan bersopan santun serta gaya pertuturan ’guru’ itu yang kemudiannya menjadikan ayah saya menantu mereka. Pada tahun 1949 ayah saya menjadi menantu idaman datuk saya. Emak saya, Sakinah Binti Abdul Hamid menjadi isteri seorang pejuang revolusi semasa ia masih bersekolah dalam darjah 4 di sekolah rendah. Umur emak dikala itu ialah 10 tahun. Menjadi isteri seorang pejuang revolusi bermakna menempah ranjau perjuangan yang penuh kesusahan. Gadis kecil semuda itu ( anak orang berada yang serba cukup) tidak pernah terfikir risiko bersuamikan seorang yang berjiwa revolusioner. Emak seperti gadis-gadis di zaman nya bukan tidak punya pilihan, tetapi mereka terlalu muda untuk memilih. Kedua ibu bapa merekalah yang memilih dan menentukan calon pasangan hidup mereka.


Sepatah kata emak takdir telah menemukan emak dengan ayah kerana ada satu ’tujuan’ khusus. Emak telah dipilih Allah menjadi isteri ayah kerana ada maksud yang tersembunyi dan tersirat, yang hanya Allah sahaja yang Maha mengetahui.Tujuan itu pada mulanya tidak emak fahami. Namun kehidupan bersama ayah selama hampir 45 tahun membuktikan semuanya. Kesusahan, penderitaan, kelaparan dan kesempitan dalam perjuangan menghidupkan dan mendidik anak anak itu semuanya tidak sia sia. Gelombang kehidupan bersama ayah menjadikan emak juga seorang ’pejuang kehidupan’ yang cekal dan tabah serta tidak pernah mengaku kalah dan pantang berundur. Emak melihat perkahwinan bersama ayah bertujuan untuk melakar satu sejarah perjuangan yang menyambung sejarah perjuangan yang tidak ada penghujungnya sehinggalah dijemput malaikat maut. Perjuangan kemerdekaan jiwa dan bekerja untuk Islam sehingga mati tanpa rehat. Tidak ada istilah pencen dalam diari kehidupan pasangan berjiwa merdeka ini.


Emak umpama ’Aisyah’ tapi ’ibu beranak ramai’


Perjuangan emak sepanjang masa mudanya ialah perjuangan melahirkan anak sebanyak 17 kali, membesarkan dan mendidik anak seramai 13 orang sehingga dewasa. Dalam usia yang teramat muda, emak telah merasa erti pahitnya ’kehilangan’ apabila 3 orang puteranya meninggal dunia semasa kecil. Putera pertama, kedua dan ketiga dilahirkan sempurna dan hidup untuk beberapa bulan namun kemudian meninggal dunia satu persatu dikala emak berumur bawah 14 tahun. Bayangkan kepiluan dan kekosongan hati seorang ibu muda. Ibu muda ini sebenarnya telah bertekad untuk memikul tugas besar seorang ’ibu’ muslimah. Suaminya pernah berkata, bahwa ’wanita terbaik ialah wanita yang paling ramai anaknya. Anak perlu ramai untuk menggandakan tentera Allah memperjuangkan agamaNya. Islam perlu umat yang ramai. Kekuatan politik sesuatu bangsa terletak pada bilangan ramai umatnya. Dalam kekecewaan emak, ayah membawa emak menunaikan fardu haji ke Mekah semasa emak berumur 14 tahun. Emak berdoa hanya satu. Emak berdoa agar dia dikurniakan anak yang ramai dan mohon Allah gantikan anak-anaknya yang telah diambil pergi. Emak genggam kemas kemas cita-citanya yang satu itu, demi memegang amanat seorang ’guru’. Ayah terus memberikan kata semangat dan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada isteri nya yang teramat muda itu.
Emak tidak pernah kenal lelaki lain dalam erti kata jejaka pujaan sejak dari mula lagi. Emak tidak merasa zaman anak dara dan tidak pernah mengenal cinta sebelum kahwin. Kedudukan ayah saya dihati emak adalah, dia suami nya,bapanya, gurunya dan kekasihnya. Ayah mendidik emak ibarat Rasulullah mendidik ‘Aisyah’ dalam memaknai kehidupan sebagai isteri, ibu, kekasih dan ’murid’. Emak pandai memasak, menjahit, menjadi guru Qu’an ditangan ayah. Emak tahu makna perjuangan Islam dari mulut dan lidah ayah. Semangat ayah mengalir dalam setiap urat darah emak. Oleh itu berani saya katakan Cinta emak kepada ayah ialah cinta buta. Kasih sayang emak terangkum dalam perkataan ‘pengorbanan’ tanpa syarat. Emak memegang amanat ayah kuat kuat bahwa wanita yang terbaik yang masuk syurga ialah wanita yang paling ramai anaknya.
Sekembalinya emak dari Mekah, doa emak terkabul. Emak melahirkan putera keempatnya, Abang Long pada masa emak berumur 16, anak ke lima,saya Kak Ngah, dilahirkan pada usia emak 17 tahun. Seterusnya emak melahirkan anak-anaknya setiap dua atau 3 tahun sekali dan ketika usia emak mencecah 44 tahun emak melahirkan anak bungsunya yang merupakan anak ke 17. Ketika usia emak mencecah 32 tahun emak kehilangan lagi seorang puteranya yang berumur 7 tahun kerana penyakit ketumbuhan otak. Emak berendam duka seketika tetapi tetap tabah dengan musibah kehilangan. Hatinya kental dan jiwa nya bertambah pasrah.
Emak membesarkan 7 anak perempuan dan 6 anak lelaki dengan air mata, keringat dan doa. Semua anak perempuannya berjaya ke IPT (luar dan dalam negeri) beberapa anak lelakinya juga begitu. Namun menurut emak emak anak lelaki nya yang tidak berjaya ke IPT bukan bermakna gagal, tetapi itu adalah kelainan dalam melilih jalan hidup masing masing. Emak sentiasa positif terhadap apa-apa pencapaian anak- anaknya.

Air mata dan keringat emak sekudus legasi Siti Hajar.


Ayah seorang imam, guru, pemimpin masyarakat dan menjiwai perjuangan dan kemerdekaan diri. Ayah adalah tokoh agama yang fasih berbahasa arab, satu satunya guru agama yang tahu bahasa arab dikala itu. Ayah selalu dijadikan pakar rujuk tidak resmi dikampungnya dan dikampung sekitarnya. Oleh itu beliau selalu dipanggil untuk mengetuai atau memulai sesuatu projek membina atau membuka sekolah agama agama rakyat. Atas misi ini ayah dan emak sering berpindah randah kerana dipanggil untuk menjadi pelopor membuka beberapa buah sekolah agama rakyat. Setiap kali ayah berpindah utnuk mengasaskan dan membuka sekolah baru setiap kali air mata emak tumpah. Emak amat tahu bahwa apabila berpindah ditempat baru, bermakna perjuangan baru bermula, pengorbanan dan cabaran baru akan bermula. Emak mula merasa perubahan gaya hidup dari kehidupan selesa kepada kehidupan yang susah sedikit demi sedikit. Emak pernah bercerita bahwa ada ketika tiada beras di dapur untuk dimasak, emak dengan rasa yang teramat malu meminta bantuan dari AJK sekolah.
Namun air mata emak menjadi penambah semangat ayah. Kata ayah air mata emak itu air mata yang membawa ke syurga, apabila dibumbui dengan niat yang ikhlas. Ia sesuci air mata dan keringat Siti Hajar di gurun tandus meneroka dan memakmurkan kota Mekah bersama Ismail(as). Siri Hajar adalah model yang emak ikuti. Cerita ayah mengenai Legasi air mata dan keringat Siti Hajar yang membesarkan Ismail seorang diri di tanah gersang Jurhum menjadi sumber inspirasi emak. Menurut ayah misi membina sekolah agama rakyat yang bermula dari kosong bukan kerja mudah. Misi ini adalah misi hebat dan mulia, hampir mustahil dilakukan oleh manusia biasa. Oleh itu ayah perlukan wanita luarbiasa seperti emak untuk sama-sama mendokong misi ini. Emak amat percaya dan menaruh kepercayaan 100 % kepada misi ayah. Ini adalah antara rencah rencah kehidupan pejuang. Menurut emak, sepanjang hidup bersama ayah, mereka telah menubuhkan 8 buah sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz, ia itu Arabiah Parit Makuaseng Benut, Arabiah Buqqisiyah Tampok Pontian, Arabiah Sungai Baru Melaka, Masriyah Simpang Renggam, Abbasiah di Bakri, At Tannuriah Parit Jawa dan akhir sekali At Tarbiyah Sungai Pulai,Muar. Ayah meninggal dunia semasa projek terakhir ini baru hendak bermula. Namun emak dengan semangat yang tidak pernah padam dan pengalaman lalu telah meneruskan perjuangan ayah dan kini sekolah itu telah beroperasi sepenuhnya. Emak adalah pengasas, pelopor dan penerus sekolah tahfiz At tarbiyah Islamiyah di Sg Pulai, Muar.


Emak korbankan kebun untuk perjuangan politik ayah.


Semasa emak baru berkahwin, Datuk menghadiahkan emak sepuloh ekar kebun kelapa ’kopra’.sebagai tanda kasih ingatan seorang bapa kepada anaknya. Bermula dengan kebun sepuloh ekar ini mereka berdua meneroka dan membuka kebun baru sehingga berbelas-belas ekar. Emak dan ayah mengupah beberapa pekerja untuk menolongnya mengusahakan kebun kelapa mereka. Dalam masa yang sama ayah menjadi imam, guru agama kepada anak anak dikampung dan kelas dewasa. Pekerja pekerja kebun kelapa ayah juga menjadi anak murid ayah. Emak menjadi guru kepada gadis-gadis dan suri suri rumah yang menjadi jiran sekampung atas bimbingan ayah.
Menjelang era merdeka, kehidupan perjuangan kemerdekaan dan ’intrigue’ politik melayu Islam mewarnai kehidupan emak dan ayah. Ayah memilih parti Islam sebagai wadah perjuangannya. Johor adalah daerah hitam untuk perjuangan politik berwadah ’agama’ aka Islam terutama dalam tahun 50-60an kerana wadah ’nasionalisma’ pekat lahir di negeri ini. Ayah seorang pejuang revolusi tidak gentar malah dengan yakin menjadi pengasas pembentukan parti itu di negeri Johor. Ayah bertekad memulakan perjuangan politik Islam di daerah yang hitam pekat itu. Ayah memulakannya dari kosong, kerana kalau tidak dia yang memulakannya, siapa lagi?. Ayah tahu risiko yang bakal dihadapi dalam perjuangan yang tidak popular begitu. Ternyata kemudiannya ayah ’syahid politik’ setelah 2 kali kalah dalam pilihanraya umum tahun 1959.


Ayah menjadi calon dan kalah dalam dua tempat (DUN & Parlimen) dalam pilihanraya umum 1959. Dalam politik tidak popular itu, ayah berkorban habis habisan dalam menyediakan dana pilihanraya. Bermula dari memberi makan pekerja pekerja parti, menyediakan kenderaan-kenderaan perayu undi, menempah sepanduk sepanduk calon dan bahan kempen, menyediakan dana untuk bahan dan penceramah di program kempen dan rapat umum, hampir semuanya ditangung sendiri. Emak membayar dengan harga yang mahal terhadap kesetiaan tidak berbelah bagi kepada suami dan perjuangannya. Apabila kebun kebun ayah habis terjual, kebun pusaka emak juga akhirnya dikorbankan juga demi menyambung kelansungan hidup keluarga. Namun ayah dan emak tidak mengalah atau undur. Apabila kebun telah habis, mereka keluar dari kampung, merantau ke bandar untuk mencuba penghidupan baru. Ayah bekerja sebagai sebagai guru agama dan bahasa Arab dan dalam masa yang sama emak berniaga kecil kecilan untuk menampung perbelanjaan keluarga besar yang berpendapatan kecil itu.


Emak adalah ‘women of substances’


Emak tidak pernah tahu mengenai novel popular tahun tahun 1990an, yang bertajuk ”A women of Substances” hasil karangan novelis Barbara Taylor Bradford. Tapi saya melihat emak menghayati watak hebat Emma Hearts yang menjadi watak utama dalam cerita tersebut. Kisah itu menggambarkan perjuangan jatuh bangun seorang wanita perkasa menjalani 6 dekad kehidupan yang penuh pancaroba. Perjuangan yang bermula dari lembah kemiskinan tegar kepada mercu kejayaan kehidupan korporat yang sangat berjaya. Berani saya katakan memang emak adalah A woman of substance dalam sekala yang sederhana kerana emak adalah woman of substance versi kami.


Segala jenis kerja emak telah lakukannya dalam membesarkan kami 13 beradik.


Merantau di Endau, Pahang.


Emak pernah menjadi pemetik kangkung dengan mengharung air separas dada di sawah orang dan kemudian menjual sayur kangkung dipasar, Rompin Pahang. Bayangkan dikala itu emak sedang mengandung sarat 8 bulan, mengandung anak ke 9.atau ke 6 (yang hidup).


Emak pernah menjadi pengusaha bela ayam semasa di Pahang . Seingat saya semasa emak dan ayah menjayakan projek bela ayam, reban ayam yang menaungi beratus ekor ayam jauh lebih besar dari rumah kami sendiri yang berpintukan guni beras. Saya tidak tidak ingat bagaimana penyakit ayam melanda dan perusahaan mereka gagal. Pegawai pejabat pertanian hanya melawat reban mereka sekali sahaja.


Saya masih ingat bagaimana emak menangis sepanjang malam apabila perusahaan menanam tembikai Korea nya tidak menghasilkan seperti yang dijangkakan. Beberapa ekar tembikai yang ditanamnya memang menjadi, manis, berkaca kaca dan terasa berpasir pasir. Sayang buah tembikai yang berkualiti tinggi tetapi terpaksa dijual lelong dengan harga yang teramat murah, kerana bekalan tembikai melebihi dari permintaan. Ayah terpaksa menyewa lori ke Singapura untuk mencari pasaran, namun segalanya agak terlambat.


Hidup baru di Kluang, Johor


Semasa ayah mengajar di Sekolah Menegah Arab/ Agama di Kluang, emak berniaga di kantin kecil sekolah. Aktiviti emak bermula seawal 4 pagi pergi ke pasar membeli barangan untuk keperluan kantin sekolah. Setelah memasak dan aktiviti jualan dikantin selesai, emak keluar pula untuk menjual dan menjaja kain ela dan tikar keliling bandar dan kampung. Satu perkara yang saya perhatikan emak ialah emak suka membaca. Setiap kali balik dari pasar, emak mesti membawa balik suratkhabar dan majalah. Waktu rehat tengahari emak hiburkan dirinya dengan membaca. Rumah kami tidak ada TV. Ayah tidak suka TV di rumah. Majalah kesukaan emak masa itu ialah Majalah Dian dan Mastika.


Emak mengikuti kelas jahitan di sekolah jahitan bangsa China dan kemjudian emak mengambil upah menjahit baju dan langsir. Kami hanya memerhatikan emak menjahit sehingga larut malam. Apabila emak tidak menggunakan mesin jahitnya, kami anak anak perempuan belajar sendiri dan akhirnya kebanyakan kami pandai menjahit baju sendiri..


Ada satu ketika semasa musim citi sekolah, kantin tidak beroperasi, emak pernah membuka warung menjual nasi campur mee dan pelbagai makanan di bandar Kluang. Tetapi emak tidak tahan dengan gangguan lelaki mata keranjang, maka emak berhenti berniaga warung. Perniagaan itu tidak sesuai dengan fitrah emak.


Fasa pencen di Muar


Apabila ayah telah pencen dan menamat perkhidmatan sebagai guru, ayah dan emak balik ke kampung meneroka tanah baru. Emak bersama ayah membuka kebun baru dalam usia ’pencen’ sehinggalah ayah meninggal dunia pada tahun 1994. Kini emak yang telah berumur hampir 70 tahun, namun masih kuat dan bertenaga meneruskan usaha ayah dan menguruskan kebun kelapa sawitnya seluas 20 ekar. Dengan bantuan beberapa pekerja, pendapatan kelapa sawit emak selalu melebihi gaji seorang pengurus di bandar, kadangkala pendapatan mak mencapai berbelas ribu ringgit sebulan. Pendapatan emak dari kebun kelapa sawitnya itu digunakan kan untuk membantu ekonomi anak-anak yang kurang bernasib baik dan mengalami masalah dan juga membiayai perjalanan sekolah yang diasaskan tadi. Menurut emak inilah wakaf nya dan saham akhiratnya. Tiada rehat dan pencen dalam perjuangan. Emak akan terus berjuang hingga Allah memanggilnya pergi.


Emak sebagai prime mover bukan setakat ’sumber ilham’ karya ayah.


Ayah seorang penulis dan aktiviti utama penulisan ayah ialah menterjemahkan karya bahasa Arab kepada bahasa Melayu. Kebanyakan buku buku yang ayah terjemahkan ialah buku-buku bertemakan ’Gerakan Islam’. Tema gerakan Islam ialah tema kecintaan ayah kerana ayah seorang aktivis gerakan Islam sejak remaja hingga ke akhir hayatnya. Ayah selalu mengatakan bahwa tanpa emak disisi ayah tidak mungkin boleh menulis dan tiada karya ayah akan terbit tanpa campurtangan emak. Emak bukan sahaja sumber ilham ayah malah menjadi ‘prime mover’ terhadap penerbitan buku-buku ayah. Bukan hanya setakat air kopi untuk ayah setiap malam yang menjadi pemangkin curahan idea ayah, malah kebersamaan emak menemani ayah sepanjang malam semasa menulis menyuntik kekuatan dalaman bagi ayah untuk terus berkarya.
Ayah menterjemah dan menulis dan dalam tulisan jawi mengunakan ‘khat req’aah yang sangat klasik yang ditulis dengan sangat laju. Khat req’aah nya yang kompleks dengan huruf sin tanpa gigi, huruf haa yang lepas lalu, dan huruf nun dan yaa tanpa titik, menunjukkan betapa uniknya tukisan jawi ayah. Tidak ramai orang yang boleh membaca tulisan ayah. Namun emak sangat mahir membaca tulisan jawi ayah. Hanya emak yang boleh membaca dengan lancar dan laju setiap patah perkatan yang ayah tulis. Apabila penulisan ayah hendak dibukukan, ia perlu ditaip dan ditransliterasikan dari tulisan jawi kepada rumi. Emaklah yang membacakannya dengan suara nya penuh irama kepada anak anak atau jurutaip semasa proses transliterasi berjalan.


Setelah siap ditaip dan di edit karya nya dihantar untuk diterbitikan. Akhirnya lebih kurang 20 buah buku karya terjemahan ayah telah diterbitkan oleh Pustaka Salam (Kuala Lumpur), Pustaka Aman Press (Kelantan) dan Pustaka ikhwan (Alor Star Kedah). Buku-buku itu terbit sepanjang tahun 1980-1990an. Antara buku-buku itu yang dikenali ramai ialah ”Hari hari dalam hidupku”, oleh Zainab Al Ghazali al Jubaili, Bekalan Jalan Dakwah, dan Jalan Dakwah oleh Mustafa Masyhur, Keperibadian Muslim (jilid 1 dan 2) oleh Mohd Ali Hashimi. Cinta oleh Abbas As Sisi, Antara Ulama Umarak, dan lain lain lagi.


Emak mengajar bagaimana ’memuaskan suami’


Semasa saya baru berkahwin, emak hanya berpesan, bahwa amat mudah memuaskan suami. Pertama tanamkan rapat rapat dalam benakmu, itulah suamimu dunia dan akhirat dan kamu kahwin hanya sekali. Setia bukan ucapan tetapi perbuatan yang dibuktikan. Jaga tempat tidurnya, jaga makannya dan jaga egonya. Apabila suami kamu marah kamu harus diam, nanti apabila suami kamu dah sejuk baru boleh cakap apa yang terbuku di hati.


Ganti cadarnya seminggu dua kali jangan sekali kali biarkan suamimu mencium bau hancing dan busuk di tilamnya.


Bangun pagi untuk suamimu dan anak anakmu. Sediakan sarapan pagi untuk mereka. Memasak untuk suami bukan kerana menghambakan dirimu tetapi itu adalah cara menambat hati suami. Dengan cara itu membuat suami mu rindukan masakanmu. Apabila suami rindukan masakan isteri dia tidak akan mencari masakan wanita lain. Amalkan makan jamu setiap kali selepas bersalin. Untuk kesegaran badan, awet muda dan keseronokkan bersama suami.


Man talaba ’uula sahira llayali


Emak selalu mengingatkan bahwa ’sembahyang malam’ membawa kemuliaan . Bak pepatah arab mengatakan;” Man talaba ’uula sahira llayali- bermakna: Sesiapa yang inginkan kemulian dan ketinggiian maka berjagalah malam. Hampir 7 dekad kehidupan emak membuktkan bahwa pepatah ini adalah benar.


Kata kata emak yang tidak akan saya lupa ialah : Tiada rehat selagi hidup, tiada pencen sebelum mati. Kerana hidup kita sentiasa berjuang dan kita mesti kaya untuk menolong orang lain.

No comments: