Saturday, November 29, 2014

Motivasi Di Atas Jalan Dakwah

Sharing from blog," Angel wears Gucci".........

Motivasi Di Atas Jalan Dakwah

Apabila kita mula berasa penat dengan kerja-kerja dakwah kita; sering pulang lewat malam kerana banyaknya bulatan gembira yang dibawa, dengan entah pelbagai isu tarbiyah dan dakwah yang perlu ditangani, jemputan-jemputan mengisi di konferens riang yang tidak berhenti, belum dihitung campur perangai hadek-hadek yang entah beraneka rupa, juga dengan pelbagai masalah peribadi...

Ketahuilah bahawa rehat yang abadi hanya di sorga sana.

Tatkala kita mula berasa mahu berputus-asa dengan dakwah ini dek keberhasilan dakwah yang cukup mengecewakan, mad'u yang lari angkat kaki, ikhwah akhawat yang sering bertengkar dan berperang waksep hanya kerana perkara-perkara remeh dan temeh, masalaah taadud jemaah yang sentiasa pasang dan tidak pernah surut...

Ketahuilah bahawa masih ramai lagi manusia di luar sana yang memerlukan sentuhan rabbani menerusi tangan-tangan kita.

Ketika mana kita mula berasa 'mahalnya' pengorbanan kita di atas jalan dakwah ini; duit yang terpaksa dibelanjakan untuk minyak dan kereta, tenaga yang dihabiskan untuk amal-amal menyantuni masyarakat, masa yang diluangkan untuk bermuayasyah bersama mad'u sedangkan keluarga sendiri entah ke mana, jawatan atau kedudukan yang terpaksa kita lepaskan, emosi yang terpaksa ditahan dan dijinakkan hanya kerana mahu itsar pada ikhwah dan akhawat yang lainnya...

Ketahuilah sorga itu sememangnya mahal, amat mahal harganya.

Di kala kita merasakan bahawa kita tidak memperoleh apa-apa daripada dakwah ini; hanya ejekan dan jelingan yang diterima, tiada bonus atau ganjaran yang menjadi pembakar semangat untuk lebih kuat bekerja, tiada juga pujian atau penghargaan daripada sesiapa, malah terpaksa pula menanggung pelbagai ujian baik dari segi harta, keluarga mahupon kerjaya...

Ketahuilah, dakwah ini sememangnya tidak memerlukan kita.

Tika mana kita membandingkan diri kita dengan mereka yang tidak bersama-sama dengan gerabak dakwah ini dan berasa cemburu dengan mereka; cemburu pada harta yang mereka berjaya kumpulkan, cemburu pada tempat-tempat pelancongan yang pernah mereka lawati, cemburu pada jawatan dan kedudukan yang mereka pegang, kecewa dengan pencapaian akademik dan kokurikulum mereka...

Ketahuilah bahawa kerja-kerja dakwah yang sedang anda lakukan itu lebih besar nilainya dari seluruh dunia dan seisinya.

Pabila kita sudah tidak tertahan lagi dengan ujian dan mehnah di atas jalan dakwah ini, terasa terpukul dengan cubaan yang datang bertubi-tubi, terduduk dengan entah beraneka tribulasi yang tidak henti-henti, naik stress dan migran dengan entah bermacam macam masalah yang perlu ditangani, mahu muntah dengan entah apa-apa yang memakan dan menyeksa diri...

Ketahuilah Rasulullah, para sahabat dan generasi awal telah melaluinya malah lebih teruk dan dahsyat lagi. 

Apabila kita merasakan diri kita mahu futur daripada jalan ini, berasa muak dan rimas dengan kerja-kerja tarbiyah dan dakwah yang dirasakan rutin itu, sudah bosan menjadi 'orang baik', sudah tidak berasa basah lagi dengan pengisian-pengisian ruhiyah yang dahulunya menggugah jiwa, tidak terasa lagi dengan kehangatan ukhuwwah...

Ketahuilah dakwah ini tidak akan rugi apa-apa dengan gugurnya kita di atas jalan ini. 

Tatkala kita berasa semakin jauh dari Allah, malu dengan jahiliyyah dan dosa-dosa yang masih belum kita tinggalkan, merasakan diri tidak layak lagi untuk bersama-sama dengan gerabak dakwah ini, berasa lemah dan sakit untuk meneruskan perjuangan di atas jalan ini...

Ketahuilah Allah itu sentiasa ada, sentiasa dekat di sisi kita, sentiasa menanti-nanti agar kita kembali.

Bergembiralah kerana yang kita kejar adalah redhaNya, bukan redha manusia. 

Bergembiralah kerana menyambung mata rantai dakwah yang ditinggalkan Nabi.

Bergembiralah kerana kita sebenarnya sedang menyelusuri jalan yang sama yang pernah dilalui oleh para Nabi.  

Bergembiralah kerana kita punya akaun saham-saham sorga yang harganya menaik saban hari.

Bergembiralah kerana dengan ujian dan mehnah yang kita lalui, Allah sedang menaikkan darjat kita.

Bergembiralah dengan pengorbanan kita yang sedikit
itu, kerana ia adalah tiket kita ke sorga.

Bergembiralah kerana menjadi dai'e, suatu gelaran yang amat mulia di seluruh galaksi Bimasakti.

Bergembiralah kerana telah dipilihNya untuk berada di atas jalan ini. Bergembiralah!

"Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan demikian itu adalah kemenangan yang agung."
[at-Taubah, 9:111]

-gabbana-
: (Fuşşilat):54 - Ingatlah bahwa sesungguhnya mereka adalah dalam keraguan tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah bahwa sesungguhnya Dia Maha Meliputi segala sesuatu.
Alhamdulillah; berjaya syer satu artikel yg bagus utk tatapan para daie.👍

No comments: