Friday, June 27, 2014

Surah Maryam

Surah Maryam dan Rindu Ramadhan

InsyaALlah Lusa hari Ahad 29hb Jun 2014 kita akan bertemu Ramadhan. Maka sama-samalah kita berdoa dan mengaminkan doa  orang orang soleh  menjelang Ramadhan,

“Ya Allah selamatkan lah aku di bulan Ramadhan,  dan selamatkanlah Ramadhan  bagiku dan terimalah Ramadhan itu bagiku”.(Imam Yahya ibn Abi Kathir rahimahullah, wafat 130H dan guru kepada Imam al-Awza`ei rahimahullah).

Oleh kerana itu,  enam bulan sebelum datangnya Ramadhan, para salafussoleh dahulu, memohon kepada Allah agar mereka ditemukan dengan Ramadhan. Kemudian selama enam bulan selepas itu bakinya, ia memohon dan berdo’a agar amal-amal mereka di bulan Ramadhan diterima oleh Allah. Jadi tiada hari yang berlalu tanpa kerinduan. Tiada bulan yang terlepas tanpa permohonan. Untuk sebuah bulan yang sangat mulia yang bernama  Ramadhan.

Rasa rindu akan kehadiran momen-momen istimewa seperti itu, memberikan kita rasa ghairah untuk terus berharap, terus meminta ampun, terus memohon rahmah dan maghfirah. Hubungan kita dengan Allah tidak terputus. Kita bertekad menyediakan diri untuk kedatangan saat-saat istimewa tersebut.
Cinta kepada Allah, sebagai focus utama, maka kita aktifkan  minda suci, segarkan & perbaharui iman dan gandakan amal soleh kita untuk ditujukan dan ditunjukkan kepada Allah. Iman dan amal soleh itu kedua-duanya mesti bergandingan. Jika salah satu tidak ada, sia-sia jadinya
Satu ketika dahulu, ada seorang yang soleh  yang mengisi malam-malam di bulan Ramadhan dengan membaca AI-Qur’an. Ketika bacaannya sampai pada ayat 96 di surah Maryam yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang,”.  Terus menerus beliau mengulangi ayat tersebut hingga subuh tiba. Tanpa disedari, seorang muridnya, menyaksikan gurunya itu sejak semula dan hairan, mengapa ayat itu ia baca berulang-ulang hingga subuh. Dengan rasa ingin tahu yang tinggi dia menemui gurunya untuk bertanya.
“Berjanjilah kepadaku bahwa kamu tidak akan menyampaikan rahsia ku ini kepada orang lain, mengapa aku melakukan ini,” jawab gurunya ketika murid itu bertanya.
“Ya, aku berjanji untuk merahsiakan nya, selagi tuan masih hidup, jadi beritahu lah kepada aku apa yang engkau rasakan dengan mengulang-ulang ayat itu,” Ianjut muridnya.
“Ketika aku mengulang ayat itu, terasa di dalam hatiku perasaan cinta antara hamba dengan Tuhannya. Maka aku begitu menikmati perasaan itu. Dan, setiap kali aku mengulang lagi ayat itu, bertambah pula perasaan cinta dan nikmatnya itu di dalam hatiku.”
Siapa sahaja yang sampai ke tahap begini, akan merasakan kehangatan cinta dan asyik dengan situasi ini, pasti merindukan saat-saat seperti itu tetap terjadi. Siapa sahaja yang merasakan cinta dari dan untuk Allah, akan terus mengulang-ulang ayat cinta di surah Maryam itu di malam-malam Ramadhan yang penuh barakah.
Jika terbaca surah ini sebelum Ramadhan, dia  akan tersangat rindu untuk menemui  Ramadhan.
Tidak ada orang yang merasa rugi, selagi mereka memiliki rasa rindu untunk melakukan aktiviti dalam pesta ibadah bulan Ramadhan. Rindu Ramadhan kerana rindukan kasih cinta Allah.
Di hujung kerinduan terbesar seorang Mukmin yang terus dipupuk, adalah kerinduan untuk berjumpa dengan Allah, dalam keadaan beriman, berhati bersih, dan dapat melihat Nya dengan mata ketika di Syurga kelak.
Kita perlu membiasakan diri memupuk rasa rindu itu. Menguatkan rasa harap. Membesar keinginan untuk menikmati saat-saat indah dalam beribadah. Hati kita punya karakter sendiri. Jiwa kita punya rasa tersendiri. Santapan rohani kita penuhi dengan ibadah dan mendekatkan diri kepada penciptanya. Agar kita tidak sampai lapar jiwa dan dahaga hati, kerana kita tidak memberikan makanan untuknya.
Rasakan lah hari ini seakan sudah Ramadhan, inilah cara sederhana kita untuk membuktikan cinta kita kepada Allah. Kita mengharapkan pengakhiran yang lebih besar, rindu dan cinta untuk bersua dengan Allah, melihat wajah-Nya, tanpa ada aral dan fitnah yang menghalang.
Adaptasi dari Majalah Tarbawi Syaaban 1431


Friday, June 20, 2014

Menangislah.......kerana .....

Assalamualaikum wr wb.

Dear all yang dirahmati Allah,

Adakah hari yang terbaik dalam seminggu kecuali hari Jumaat. Hari jumaat menjadi  terbaik ketika kita mengamalkan amalan-amalan sunat hari Jumaat termasuk membaca  surah Al Kahfi.
Kadangkala apabila kita membaca surah Al Akhfi kita akan merasa sebak dan menitis airmtaa apabila kita terbaca beberapa ayat yang amat menyentuh dan hampir kepada diri kita.
Menangislah ! kerana menangis bukan kerana lemah tetapi kerana kita punya HATI.

Menangis adalah sebuah ekspresi jiwa manusia yang berbagai wajah dan rasa.
Kita perlu menangis, bukan kerana lemah, tapi kerana kita mempunyai hati yang mampu memberi respon terhadap  segala keadaan dan peristiwa dalam kehidupan ini. Menangislah kerana kita punya hati yang membuktikan bahwa kita manusia yang masih mempunya rasa.

1.            Menangislah, kerana hati mempunya rasa duka

Rasulullah SAW berjiwa kukuh melebihi batu karang, pendirian baginda lebih kuat  dari gunung-ganang dan kesabaran baginda hebat melebihi dari yang dimiliki oleh semua makhluk yang ada. Namun baginda juga berduka.Baginda menitiskan airmata setiapkali teringatkan bondanya Siti Aminah yang wafat semasa baginda masih kecil. Airmata duka mengalir yang deras ketika Ibrahim putera beliau meninggal dunia. Sehingga Abdurahman bin Auf  menegur "Engkau menangis, wahai Rasulullah?". Beliau menjawab, "Sungguh, ini merupakan rahmat Allah. Mata menangis dan hati berduka, dan kita hanya mengatakan apa-apa yang diredhai Allah."

Kita menangis bukan kerana lemah, tapi kerana kita memiliki hati yang mampu berduka. Ketika merasa sedih menangislah untuk kesedihan itu, tetapi tidaklah  berlebihan, kerana ungkapan hukama, “khairul umuri awsathuha”, sebaik sebaik urusan adalah pertengahan (tidak berlebihan). Setelah menangis kita akan dapat  kembalikan kesegaran jiwa yang dipenuhi keikhlasan dan ketulusan.

2. Menangislah, kerana hati ada rasa  Empati

Hati yang jernih tidak tergamak melihat kesusahan yang dideritai oleh orang lain. Hati yang bersih seringkali mudah terbawa oleh kesulitan orang lain. Acapkali kita melihat pemimpin yang mempunya hati, menyeka air mata bila melihat rakyatnya hidup sengsara. Orang kaya yang budiman menitiskan air mata bila  melihat penderitaan insan yang melarat. Pejuang keadilan tidak akan membiarkan orang lemah hidup tertindas, terpenjara dalam ketidakadilan.
Umar bin Khatab ra, adalah sahabat yang dikenali mempunyai peribadinya yang garang, berani, tegas dan keras. Namun air matanya begitu mudah terburai sehingga air matanya mengukir garis hitam di wajahnya, yang kelihatan seperti air sungai dari sebuah sumber mata air.

3. Menangislah, kerana hati memahami betapa beratnya beban “ Tanggung Jawab”

Kadangkala kita lupa bahwa jawatan yang kita pegang dalam apa bentuk sekalipun adalah “tanggung jawab” yang boleh menjadi bara api dalam kehidupan dunia dan akhirat. Sering kali kita memandang nya sebagai sesuatu prestij atau anugerah kerana kehebatan kita. Namun itu bukan hakikatnya. Oleh kerana itu insan soleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz menangis ketika dilantik menjadi khalifah. Sehingga ditegur oleh isterinya "Apa yang Engkau tangiskan?", beliau menjawab, "Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jawatan ini, dan aku kini terbayang wajah wajah orang yang miskin, ibu-ibu yang menjadi janda, anak mereka banyak, harta mereka sediki, aku teringat orang-orang yang dalam tawanan, para fuqara kaum muslimin, aku tahu mereka semua ini akan menuntut dariku di akhirat kelak, dan aku bimbang tidak dapat menjawab hujah-hujah mereka sebagai khilafah sebab aku tahu yang menjadi pembela mereka disana adalah Rasulullah saw."

Tangisannya adalah tangisan rasa tanggung jawab yang keluar dari hati yang tulus dan mengerti betapa beratnya tanggung jawab itu. Umar bin Abdul Aziz yang dikala itu baru berusia 36 tahun. Namun hanya dalam masa 2 tahun 5 bulan 5 hari pemerintahannya, ia mampu memperlihatkan hasil (KRA & KPI)  yang luar biasa.
Pemerintahannya membawa kesejahteraan, sehingga tidak ada lagi orang Islam yang menerima zakat, sebab kehidupan mereka sejahtera dan makmur.

Beliau menangis kerana mempunya hati yang memahami dan meresapi bahwa beban dari tanggungjawab itu tidak mudah. Oleh otiu dengan kerja keras kita membuktikan bahwa kita memang layak diberi tanggung jawab. Agar di akhirat kelak ia mampu meringankan persoalan persoalan di hadapan Allah swt.

4. Dia menangis, kerana hati mempunyai kegelisahan

Satu hari selepas solat subuh, khalifah Ali berpidato mengenai keadaan umat Islam yang kian tidak setabil, kegelisahan berkumpul dihatinya, berbalut rasa tanggungjawab atas kejadian-kejadian menimpa umat yang menyebabkan perpecahan dan dan provokasi.  Dari kegelisahan itu air matanya terburai dan kata-katanya terputus-putus.  Baginda menangis kerana peperangan antara umat Islam kerap terjadi (umpamanya perang Shiffin dan perang Jamal). Perebutan simpati, kekuasaan serta gejolak politik tak kunjung reda. Sehingga klimaksnya Khalifah Ali terbunuh.
Kita menangis bukan kerana  kita lemah, tapi kerana kegelisahan perpecahan umat. Perpecahan tidak mungkin membawa kita pada kemajuan yang dicita-citakan. Perselisihan tidak akan mengantarkan kita pada kemenangan. bahwa pertikaian tidak akan memberi kita izzah, yang membuat musuh-musuh kita takut  dan hormat.
Hati yang menangis akan membangkitkan semangat kita untuk bekerja dan berbuat, agar kita bersatu padu ataupun setidak tidaknya kita memelihara  hubungan sillaturrahmi yang baik.
5. Kita Menangis, kerana hati Punya Rasa Takut
Inilah yang paling berharga..Air mata yang membawa keselamatan kita di akhirat. Menangis kerana takut haraf dan cinta kepada Allah . Airmata ini membuktikan kehambaan dan kecintaan kepada Allah.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud "Air mata yang dititiskan oleh seseorang akan mengharamkan tubuhnya dari sentuhan api neraka dengan izin Allah. Apabila air matanya mengalir di pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan. Waima jika salah seorang dalam suatu kaum menangis, maka seluruh kaum itu dirahmati. tidaklah ada sesuatu pun yang tak mempunyai had dan batasan kecuali air mata, sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."

Namun tiada air mata yang menenangkan jiwa ‘nafsul muthmainnah’ kecuali air mata taubat.
(Pemahaman dari Majalah Tarbawi)