بسم الله الرحمن الرحيم
Artikel ini yang ditulis oleh Ustaz USTAZ HASANUDDIN MOHD YUNUS, Pengerusi AQSA SYARIF, Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM amat menyentuh kalbu, jadi ku abadikan penulisan ini dalam blog ku agar dapat dikongsi dengan ramai orang.....
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Inilah doa yang pernah dipohon oleh Nabi Sulaiman a.s ketika menjangkau 40 tahun. Doa ini dipesan supaya menjadi amalan harian.
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ
شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepa amu, dan
sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". Al-Ahkaf 15
Kita belajar dari Nabi Sulaiman a.s satu doa yang dirakamkan dalam al-Quraan. Sesuatu doa selain dianggap sebagai ibadah, ia juga dianggap apa yang kita targetkan.
Apabila kita mengulang sesuatu doa itu, bermakna kita sangat inginkan perkara itu berlaku. Mukmin bijak yang rajin berdoa, sepatutnya akan melakarkan cita-citanya itu dan akan mengejarnya. Mengejar dengan disusuli dengan rangkaian amal-amal yang
tertentu.
Ayuh! kita perhatikan doa tersebut satu persatu:
1. قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيّ
Kita diajar untuk memohon agar Allah mengilhamkan kepada kita, agar kita menjadi insan yang pandai bersyukur. Ramai manusia
diatas muka bumi ini mudah lupa akan nikmat-nikmat Allah S.W.T yang terlalu banyak.
Salah satu cara untuk kita mudah bersyukur, kita hendaklah sentiasa menyebut-nyebut nikmat Allah S.W.T. Kita boleh lakukan secara bersendirian atau sebutkan kepada orang yang terdekat dengan kita; seperti suami, isteri, adik beradik dan anak-anak kita dan mungkin ahli usrah kita. وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Kita juga boleh menulis di atas kertas atau paparkan di skrin computer senarai nikmat-nikmat Allah, khusus yang dikurnia kepada kita. Sudah tentu kita akan mulakan dengan nikmat Iman, Islam dan nikmat berjemaah. Barulah diikuti dengan nikmat-nikmat lainnya.
Buruk mana keadaan ayah dan ibu kita (kalau ada), mereka tetap penyebab kelahiran kita, sekurang-kurangnya, mereka pembuka jalan untuk kita hidup di dunia dan kini kita bertemu Islam dan Iman.
Lebih dari itu, merekalah yang menyekolahkan kita, mengajar kita ilmu-ilmu asas, akhlak dan lain-lainnya. Kata Zamahsyari nikmat Allah yang dikurnia kepada mereka, sebenarnya adalah nikmat Allah kepada kita juga.
Sebab itu, carilah dan syukurilah nikmat-nikmat Allah kepada kita dan nikmat-nikmat Allah kepada kedua orang tua kita.
2. وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ
Kita juga memohon ilham Allah agar kita kini yang dah menjangkau 40an dan lebih, pandai memilih untuk beramal. Mungkin kita menyangka kita beramal bermacam-macam, dan semuanya amal solih.
Tetapi di dalam banyak-banyak amal kita, yang kita sangka solih itu, apakah menepati ridha Allah.
Kita juga berharap agar kita terus memilih amal-amal yang tepat di saat-saat penghujung kehidupan kita ini.
Sebagai contoh; adakah tepat di saat ini kita masih mengejar dunia dan kerjaya, lebih dari tugas dakwah dan jihad kita. Mungkin tepat dan mungkin tidak tepat.
Oleh itu kita menyemak amalan kita dan memohon agar Allah membantu kita untuk membuat keputusan dan beramal dengan tepat, dalam sesuatu perkara.
3. وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي
Dalam usia sebegini, mungkin ada yang sudah bercucu, fikiran kita sepatutnya sibuk memikir masa depan anak cucu kita. Kebimbangan, samada mereka mewarisi perjuangan ini, atau memadai menjadi Melayu (atau warga Malaysia) yang baik sahaja, atau memadai mereka dapat pekerjaan; yang mana banyak bermain di kepala kita? Atau kita masih mengejar kemanisan dunia tanpa menghiraukan mereka.
Kita mengharap segala kebaikan menumpu dan menuju kepada anak zuriyat kita; mengiringi mereka bertemu dengan Allah S.W.T. Iman mereka, akhlak mereka, pasangan mereka, pelajaran mereka, pekerjaan mereka; semuanya bermain di fikiran seorang yang telah melebihi 40an.
4. إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ
Di saat ini, sewajarnya kita juga membanyakkan rasa bersalah kita sepanjang hidup kita. Dari mengungkit dosa-dosa silam yang besar, mahupun pengorbanan yang sedikit dan sangat kecil, yang kita berikan di jalan Allah, di usia kita muda bertenaga dulu.
Atau kita juga bayangkan rasa bersalah kerana kurang menguasai ilmu, tidak bersungguh belajar bahasa Arab, tidak meningkatkan diri dalam bidang yang kita lemah.
Atau kita juga bayangkan rasa bersalah kerana kurang beribadah, berzikir, berpuasa, bersedekah dan seumpamanya.
Dosa kita kepada Allah, dosa kita kepada al-Quraan, dosa kita kepada Rasul S.A.W, dosa kita kepada ibubapa, dosa kita kepada ulama’ dan para guru, dosa kita kepada jemaah, dosa kita kepada kaum keluarga, dosa kita kepada anak isteri atau suami, dosa kita di tempat kerja, kepada sahabat handai, jiran dan dosa kita kepada alam semesta apabila kita merosakkannya.
Maka terasa erti taubat kita, apabila kita mampu membayangkan kekesalan kita itu, ketika itu berguguranlah air mata kita.
5. وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Akhirnya kita mohon kepada Allah dan seolah-olah kita berjanji kita akan kekal sehingga mati kita; bahawa kita adalah seorang muslim yang iltizam dengan tuntutan-tuntutannya.
Kita tidak malu untuk mengisytihar bahawa kita menyerah diri kepada Allah, bersama-sama orang yang menyerah diri. Kita hidup dan mati bersama perjuangan Islam. Aqidah yang benar, ibadah yang sahih, akhlah yang indah, syariat yang adil; semuanya perjuangan kita.
Kita bersama muslimin yang lain, berterus terang mengatakan, yang hak itu hak dan yang batil itu batil. Kita tidak berpura-pura bersama yang batil kerana mengejar kelazatan dunia.
Kita bersama semua pejuang-pejuang Islam berterus terang untuk memerdekakan Masjidil-Aqsa.
Manisnya doa ini. Maka masukkan ia bersama wirid al-ma’thurat kita setiap hari.
Ulangkannya beberapa kali mengikut ketenangan yang kita kecapi. Di pagi hari, di malam hari, hadirkan maknanya.
Semoga Allah Mendengar, Melihat dan Melayan kita semua.
حـسـن الـديـن مـحـمـد يـونـس
USTAZ HASANUDDIN MOHD YUNUS
Pengerusi AQSA SYARIF
Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM
No comments:
Post a Comment