Friday, August 06, 2010

Ramadhan : Program Pengurusan syahwat yang berkesan

Sejak langit dan bumi diciptakan, Allah swt menetapkan 12 bulan dalam setahun.

"Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram." (QS At Taubah : 36)Itulah perhitungan waktu yang berlaku sepanjang sejarah manusia, sejak Adam turun ke bumi sampai terjadinya hari kiamat. Satu daripada 12 bulan tersebut bernama Ramadhan.

Pernahkah kita bertanya dalam hati kita :Kenapa di bulan Ramadhan Allah swt wajibkan kita untuk melaksanakan puasa selama sebulan penuh dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari serta qiyam (berdiri beribadah) di malam hari?

Menariknya lagi, setiap tahun Ramadhan datang menemui kita tanpa kita minta. Tanpa diundang, ia datang :

Membawa sejuta tarikan.
Menghadiahkan banyak keistimewaan.
Memberikan berbagai manfaat dalam hidup dan kehidupan kita.
Tujuannya tidak lain melainkan agar setiap tahun kita mendapat kesempatan mengikuti "Latihan Pengurusan Syahwat" secara percuma.

Ramadhan adalah salah satu bentuk kasih sayang Allah pada kita agar kita mendapat kesempatan mengikuti "Latihan Pengurusan Syahwat" tersebut secara intensif dan berulang-ulang.

Ini adalah kerana :
Syahwat adalah ancaman kekal yang terbesar dalam diri orang-orang yang beriman.
Syahwat mampu membinasakan kehidupan kita, baik di dunia mahupun di akhirat.
Syahwat mampu membutakan mata hati dan fikiran kita sehingga yang haram menjadi halal, yang halal menjadi haram, yang baik menjadi buruk, yang buruk menjadi baik dan seterusnya.
Perlu kita sedari bahwa syahwat akan sentiasa menjadi ancaman dalam diri kita selama hayat dikandung badan.

Oleh sebab itu, kita mesti berusaha untuk mengurus syahwat secara :
Tepat.
Maksimum.
Berterusan.

Bagi memudahkan kita agar mampu mengurusnya dengan baik, di antaranya, Allah syari'atkan kepada kita kewajiban mengikuti "Latihan Pengurusan Syahwat" sebulan dalam setahun. Ini bermakna, satu perduabelas (1/12) dari umur kita, khususnya sejak remaja (mukallaf) kita habiskan untuk mengikuti "Latihan Pengurusan Syahwat", Subhanallah...Adalah sangat sesuai jika tujuan utama puasa Ramadhan itu adalah agar kita meraih darjat tertinggi di sisi-Nya, iaitu Taqwa.

Maknanya kita mampu mengurus semua aktiviti kehidupan dunia sementara ini sesuai dengan sistem Allah berdasarkan kepada hukum halal dan haram yang ditentukan oleh Allah serta terlepas dari tipu daya dunia dan syahwat yang sentiasa menjerumuskan kita ke lembah kehinaan.Agar "Latihan Pengurusan Syahwat" yang diwajibkan selama bulan Ramadhan ini berterusan sepanjang tahun, maka Rasulullah saw membuka peluang latihan yang sama di hari-hari selepas Ramadhan.

Di antaranya :
6 hari di bulan Syawal.
Puasa mingguan (Isnin dan Khamis).
Puasa bulanan (iaitu tarikh 13, 14 dan 15 setiap bulan Hijriyah),.
Hari Arafah (10 Muharram).
Puasa Nabi Daud (sehari puasa dan sehari berbuka).
dan sebagainya.

Orang-orang yang menjalani dan mengikuti "Latihan Pengurusan Syahwat" Ramadhan seperti yang disunnahkan oleh Rasulullah saw (secara baik dan maksimum) pasti merasakan berbagai manfaatnya dalam kehidupan di dunia, khususnya dalam mengurus syahwat secara efektif dan berkesan.

Oleh sebab itu, kebiasaan dan perilaku hidup di bulan Ramadhan akan mampu mereka teruskan di luar bulan Ramadhan sehingga sampai bertemu Ramadhan yang berikutnya.

Adalah amat dikesali bahwa fenomena umum yang muncul dalam masyarakat kita menunjukkan bahwa Ramadhan dengan segala keagungan, tarikan dan keistimewaannya tidak lebih dari bulan bermusim.

1. Musim beramai-ramai ke Masjid, khususnya solat Tarawikh. Itupun hanya di hari-hari permulaan dan tidak bertahan sampai ke akhir Ramadhan.

2. Musim kreativiti seni dan budaya yang bercirikan Islam samada yang menyentuh lagu, pakaian, penampilan mahupun yang lain-lain.

3. Musim pengajian, ceramah dan siaran Islam walaupun sebahagiannya nampak semacam dipaksakan dan sesetengahnya melanggar nilai-nilai Islam itu sendiri.

4. Musim membantu anak yatim dan fakir miskin. Namun setelah Ramadhan selesai, tamat pula kebiasaan yang baik tersebut sehingga jumlah fakir miskin semakin bertambah.

5. Musim mendekatkan diri kepada Allah dengan berbagai ibadah. Namun setelah Ramadhan pergi, kita pun menjauhkan diri dari Allah dan bahkan tidak jarang pula yang terus melupakanNya.

Pokoknya, apabila Ramadhan tamat, selesai sudah semua bentuk ketaatan, ibadah dan kebaikan tersebut.

Yang lebih merisaukan kita lagi ialah Ramadhan dijadikan musim berlumba-lumba untuk mengumpulkan dan memuaskan berbagai jenis syahwat seperti berlumba-lumba dalam :
Berbelanja makanan dan minuman.
Memperagakan pakaian.
Membeli kenderaan dengan alasan untuk pulang ke kampung.

Akibatnya, untuk mendapat apa yang diinginkan walau apapun yang dilakukan tanpa melihat dari sudut kebersihan sumbernya. Bahkan ada pula dengan niat yang tidak baik seperti hanya ingin menunjuk-nunjuk kepada orang-orang di kampung dengan kenderaan baru yang dibelinya.

Fenomena lain yang tidak kurang menggusarkan kita adalah apabila berbagai kebaikan dan ketaatan yang dilakukan di bulan Ramadhan hanyalah sekadar tatacara rasmi semata-mata dan tidak jarang pula dimanfaatkan sebagai peluang perniagaan untuk mencari kekayaan.Kita boleh nampak dengan jelas berbagai ketaatan dan kebaikan yang dilakukan belum sampai kepada :

Suatu kesedaran yang datang dari lubuk hati yang dalam (ikhlas kerana Allah).
Kefahaman yang benar akan hakikat dan peraturan dalam bulan Ramadhan.
sehingga ianya menjadi kebiasaan yang berterusan selepas Ramadhan selesai hingga bertemu Ramadhan berikutnya.Jika demikian halnya, adalah sesuatu yang tabi'e bahwa syahwat menjadi masalah terbesar dalam hidup kita.Perilaku buruk seperti :
Suka berbohong.
Mengumpat.
Hasad dengki.
Tamak (rakus) pada habuan duniawi.
Menipu.
Bersikap curang.
Berzina.
Tidak wara' (menjaga diri dari makanan dan minuman yang haram dan syubhat).
Rasuah. serta berbagai bentuk kejahatan dan perbuatan tidak bermoral lainnya tumbuh dan subur kembali setelah Ramadhan selesai.Ini adalah kerana dari segi kenyataannya :
Di bulan Ramadhanlah kita sirami syahwat kita dengan berbagai benih yang membuatkan ia tumbuh subur dalam diri kita.

Di bulan Ramadhan juga kita manjakan syahwat makan, minum, pakaian, tempat tinggal, wang, kenderaan dan berbagai bentuk syahwat angan-angan duniawi lainnya.
yang pada akhirnya tumbuh dan berkembang di bulan yang penuh berkat iaitu syahwat duniawi, bukannya ketaqwaan kepada Allah, kerinduan bertemu denganNya, yang menjadi sasaran utama disyaria'tkannya ibadah puasa di bulan Ramadhan."Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (QS Al-Baqarah : 183)Akibat negatif lain ialah pembiayaan kita menjadi sangat tinggi di bulan Ramadhan. Keperluan makanan, pakaian, wang, kenderaan dan sebagainya meningkat naik sepanjang bulan Ramadhan.

Permintaan kepada berbagai keperluan hidup melonjak terus sehingga mengakibatkan harga- harga melambung tinggi yang memberi kesan langsung terhadap bertambahnya kesukaran hidup jutaan saudara-saudara kita yang tidak berkemampuan (fakir miskin).Ditambah pula dengan tradisi balik kampung dan sambutan hari raya yang memerlukan pembiayaan yang besar dan menimbulkan berbagai masalah, risiko keamanan dan bebanan yang berat dalam hidup kita.Semua perkara tersebut di atas berlaku sebagai akibat dari kurangnya kita menghayati hal ehwal berkaitan ibadah Ramadhan serta pelaksanaannya yang melencong dari format "Latihan Pengurusan Syahwat" Ramadhan yang disyari’atkan oleh Allah dan RasulNya.Hasilnya sudah boleh dipastikan iaitu kita akan melencong dari yang telah disasarkan oleh Allah dan RasulNya iaitu :
Mencapai tahap taqwa.
Mendapat rahmat Allah.
Meraih ampunan Allah.
Selamat dari ancaman neraka Allah.
Atau dengan kata lain, pada kenyataanya :
Ramadhan telah menyuburkan syahwat kecintaan duniawi kita.

Ramadhan telah melahirkan berbagai kesukaran dalam hidup kita di dunia dan juga menagih kesulitan hidup di akhirat sebagai akibat dari penyimpangan kita dalam pelaksanaan ibadah Ramadhan atau tidak bersungguhnya kita dalam menjalani dan memanfaatkan peluang "Latihan Pengurusan Syahwat" selama bulan Ramadhan.
“Ahlan wa sahlan yaa Ramadhan" atau Selamat datang wahai Ramadhan... Itulah yang diucapkan oleh kaum Muslimin di seluruh dunia menjelang tibanya bulan Ramadhan.Di negara-negara umat Islam, kita dapati ribuan sepanduk menyambut Ramadhan tersebar di mana-mana.

Bahkan yang amat menjolok mata ialah sebahagian tokoh, ahli politik, seniman, ahli muzik, media dan parti-parti politik yang tidakpun mengambil berat dengan Islam bahkan sesetengahnya memusuhi prinsip-prinsip dan ajaran Islam tidak mahu ketinggalan dalam menyambut kedatangan bulan yang penuh berkat ini melalui berbagai acara, program, sepanduk, iklan dan pamplet (jadual imsakiyah Ramadhan) samada di media cetak mahupun elektronik.Perkara ini mereka lakukan dengan harapan akan memperolehi keberkatan (materialistik dan populariti) di Bulan Ramadhan.
Bagi sesetengah ahli politik dan parti politik, tentunya dengan harapan mereka akan memperolehi sokongan kaum Muslimin khususnya pada musim-musim pilihanraya yang mendatang."Ahlan wa sahlan yaa Ramadhan" adalah sebuah ungkapan yang sangat dalam maknanya.

Ungkapan yang mencerminkan penghormatan luar biasa bagaikan menyambut kedatangan tetamu yang sangat mulia.Memang demikianlah halnya di mana Ramadhan dengan segala aktivitinya adalah saat yang terbaik untuk mengikuti "Latihan Pengurusan Syahwat" bagi orang-orang yang beriman.Ramadhan adalah bulan kemenangan hamba mukmin jika dia berhasil memperolehi :
Kasih sayang.
Ampunan.
Jaminan keselamatan dari api neraka.
dari Allah Rabbal Alameen.

Kita juga temui dalam bait-bait sya'ir yang dilantunkan dalam sesetengah nasyid yang tertulis :

"Selamat datang wahai bulan Ramadhan... Kedatanganmu membawa kemuliaan, wahai bulan Al-Qur'an" .Ramadhan adalah bulan berinteraksi dengan Al-Qur'an secara intensif dan maksimum dimulai dari :
Membacanya.
Menghafalnya.
Memahaminya.
Mengamalkannya.
Menyebarluaskan ajarannya.

Ramadhan bukan bulan promosi dari parti, organisasi, kelompok dan saat berlumba-lumba meraih kekuasaan dan kepentingan dunia lainnya bahkan ia adalah bulan :
Limpahan rahmah (kasih sayang).
Maghfirah (keampunan).

‘Itqun minan nar' (terbebas dari api neraka) di akhirat kelak.
Itulah yang dirasakan oleh Salafush Soleh generasi pertama umat Islam. Mereka merasakan kesan amaliyah Ramadhan sepanjang tahun. Setelah enam bulan melepasi Ramadhan, mereka meminta dan berdoa kepada Allah agar dipertemukan semula dengan Ramadhan berikutnya.Apa yang digambarkan sebelum ini adalah kebiasaan yang salah dalam menyambut dan melaksanakan aktiviti di bulan Ramadhan.

Agar kita terhindar dari kebiasaan yang salah tersebut, perlu kita renungkan dan pastikan beberapa keistimewaan Ramadhan seperti yang telah dijelaskan oleh Allah dan Rasulnya Muhammad saw seperti berikut :

1. Ramadhan adalah waktu yang termahal dalam hidup kita yang datang setiap tahun tanpa diundang. Di dalamnya terdapat satu malam lebih baik dari 1,000 bulan. Malam itu dinamakan oleh Allah dengan Lailatul Qadr seperti yang tercatat di dalam surah Al- Qadr, ayat 1- 5. Waktunya adalah pada 10 hari terakhir Ramadhan seperti yang diisyaratkan oleh Rasulullah saw dalam beberapa haditsnya.

2. Ramadhan dengan segala aktivitinya, khususnya puasa adalah saat keemasan untuk mengikuti "Latihan Pengurusan Syahwat" dan disiplin tinggi dalam hidup melalui berbagai ibadah yang kita lakukan samada di siang hari mahupun di malam harinya.Dalam sebuah hadits, Rasulullah saw bersabda :
" Puasa adalah perisai. Jika salah seorang di antara kamu sedang puasa, maka janganlah berkata kotor dan berperilaku buruk. Jika ada orang yang menghasut untuk menimbulkan kekecohan atau mencacimu maka katakanlah : Saya ini sedang puasa, dua kali. Demi Zat yang diri Muhammad ada di tanganNya, bahwa bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari wangian kasturi. Dia telah meninggalkan makan, minum dan syahwatnya demi Aku (Allah), puasa itu untukKu dan Aku yang akan membalasnya dan satu kebaikan akan dibalas menjadi sepuluh kali ganda." (HR Bukhari).

3. Ramadhan adalah bulan bertaburan dengan rahmah dan berkah. Ramadhan adalah saat terbaik untuk taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah), kembali ke jalan Allah dan bertaubat di atas segala dosa, kesalahan dan kelemahan kerana di bulan ini pintu syurga Allah buka selebar-lebarnya, pintu neraka Dia tutup serapat-rapatnya dan syaitan-syaitan dibelengguNya sebagaimana yang disebut dalam hadits riwayat Imam Baihaqi, Ahmad dan Nasa'i. Oleh sebab itu, berbuat kebaikan dan ketaatan di bulan Ramadhan terasa lebih mudah dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

4. Ramadhan dengan segala aktivitinya adalah saat yang paling berharga untuk meraih kesihatan ruhiyyah, perilaku dan juga fizikal. Telah banyak penelitian dilakukan oleh para pakar tentang pengaruh puasa terhadap kesihatan bagi yang melakukannya. Di antaranya seperti yang dikatakan oleh Dr Abdul Jawad As-Shawi, pakar ilmu kesihatan di Lembaga Pengkajian Sains dalam Al-Qur'an dan As Sunnah yang berpusat di Makkah bahwa manfaat puasa di bulan Ramadhan bukan hanya bagi yang melakukannya semasa berada di negaranya (muqim), tapi juga termasuk yang musafir dan orang tua yang berat baginya berpuasa.Inilah rahsia mukjizat Al-Qur'an yang tercantum dalam surah Al-Baqarah ayat 184 di mana Allah menyebut " Dan jika kamu puasa, ia adalah lebih baik bagimu. Perkataan " Khair" dalam bahasa Arab adalah "isim tafdhil" atau " superlative degree" yang mencakupi kebaikan kesihatan jiwa dan kebahagian di dunia dan akhirat. Oleh sebab itu, Allah tutup ayat tersebut dengan " Jika kamu mengetahuinya".

5. Orang-orang yang berpuasa akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, di dunia iaitu ketika berbuka dan kedua di akhirat, iaitu ketika ia bertemu Allah di syurga sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

6. Puasa itu akan memberi syafaat (sokongan kuat) di akhirat bagi yang melakukannya.Dari Abdullah Bin Umar ra bahwa Nabi saw berkata :
" Puasa dan Al-Qur'an memberi syafa'at bagi hamba (yang melakukan dan membacanya) pada hari kiamat nanti. Puasa berkata : Ya Rabb… Saya larang dia dari makanan dan syahwat di siang hari, maka berilah dia syafa'at. Lalu Al-Qur'an berkata : Saya larang dia tidur di malam hari, maka berilah dia syafa'at. Maka keduanya (Puasa dan Al-Qur'an) diizinkan oleh Allah untuk menjadi syafaat baginya.” (HR Ahmad)Ya Allah, panjangkanlah umur kami sehingga kami sempat untuk bertemu dengan Ramadhan kerana sesungguhnya ia adalah bulan rahmat, berkat, pahala berganda, keampunan, kegembiraan, kesihatan dan syafa'at bagi para Mu'minin dan Mu'minat yang melaksanakan puasa dan ibadah-ibadah yang lainnya dengan penuh keikhlasan dan hanya mengharapkan balasan yang terbaik dariMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
Hasil tulisan

WAS (Wan Ahmad Sanadi Wan Ali)
(IKRAM Selangor)

No comments: