Larian Waktu terlalu pantas. Tidak terkejarkan. Ia ibarat pedang yang memotong kehidupan. Waktu yang terpotong hanya boleh diabadikan. Waktu yang diabadikan adalah tulisan kehidupan. Tulisan kehidupan mungkin dapat memberi makna, menjentik intuisi, memperkaya inspirasi,merakam masa lalu dengan kesyukuran, masa depan penuh harapan
Friday, May 22, 2009
Quantum Ikhlas untuk Menemui Kebahagiaan dalam Diri
Mama baru sahaja ber'perang' dengan kekangan masa dan kerja untuk menghabiskan buku yang sangat 'sensational' bertajuk 'Quantum Ikhlas' yang ditulis oleh seorang motivator Indonesia...kalau kita nak cari info mengenainya kita just 'google' "quantum ikhlas" maka kita akan dapat more info....Mama masih belum habis baca buku itu lagi...
Namun disini mama ingin kongsikan penulisan mama yang mama tulis sebagai prakata kepada sebuah buku bertajuk : ALIF BA TA KEBAHAGIAAN yang ditulis oleh Ustazah Maznah, Rosmihayati dan Datin Noraini Md Top.
Jadinya mama menyimpulkan kefahaman mama bahwa Quantum ikhlas akan dapat dirasai dan dicapai apabila kita melalui fasa fasa 'tazkiyyatunnafsi' yang sempurna.
Ini yang mama tuliskan dalam buku ini.....semoga kita boleh berkongsi rasa dan perasaan seronok dalam mencari kebahagiaan yang hakiki.....the joy of sharing and caring...
-----------------------
Apabila saya dijemput untuk memberikan kata aluan untuk buku ini Alif ba ta kebahagiaan, saya terima terus tanpa berfikir dua kali. Ada dua sebab mengapa saya tidak menolaknya. Pertama kerana kedua penulis ini adalah 2 orang wanita yang saya kagumi. Seorang dari nya, Puan Rosmihayati merupakan mentor saya semasa zaman remaja di menara gading tahun 70’an dan seorang lagi, Ustazah Maznah Daud pula merupakan mentor saya semasa mula mengaktifkan diri dalam gerak kerja Wanita JIM diperingkat pusat beberapa tahun dahulu.Datin Noraini Md Top pula saya kira seorang wanita yang hebat melihat kepada pengalaman beliau dalam perkhidmatan awam dan NGO.
Sebab kedua kerana saya merasakan satu kebahagiaan yang tidak tertuliskan apabila menatap hasil penulisan mereka yang seakan akan hidup dalam fikiran saya dan besar kemungkinan akan terus hidup dan bersemarak dijiwa pembaca. Saya merasa satu kebahagiaan kerana menumpang barakah dalam penghasilan karya yang amat menyentuh hati. Mereka menulis resepi kebahagaain dalam kehidupan mereka yang sebenarnya. Resepi kebahagiaan mereka harus dikongsi oleh semua. Resepi yang berasaskan wahu ilahi dan bersendikan sunnah dan syarak dibumbui dengan pengalaman seorang ’mukhlisah’ yang berjalan di jalan dakwah.
Apabila saya membaca buku ini, Alif bata Kebahagiaan rumahtangga, tiba- tiba saya teringat beberapa ungkapan dari penulisan Dr Aidh Al Qarni dalam bukunya ’La tahzan’ – Jangan bersedih” . Dr Aidh merupakan penulis buku yang paling produktif di dunia Arab dan antara penulis buku buku motivasi Islami yang popular di dunia Islam abad millenium ini. Ungkapan itu ialah: ”Carilah kebahagian dalam diri sendiri, bukan di sekitar dan diluar diri anda”.
Sepanjang hidup kita di dunia ini, kita menemui ramai orang- orang yang merasa tidak bahagia. Mereka memiliki alasan yang berbeza-beza dalam menanggapi ketidak bahagiaan mereka. Ada yang mengatakan, mereka tidak bahagia kerana mereka selalu hidup dalam serba kekurangan, ada pula yang merasa tidak bahagia kerana mereka belum menemui pasangan hidup yang tepat, ada pula yang tidak mengecap kebahagiaan dalam keluarganya kerana tidak adanya keharmonian dalam hubungan rumahtangga. Pendeknya dengan kata lain mereka tidak berjaya mendapatkan apa yang mereka idamkan atau impikan.
Kita juga menemui orang yang tidak pernah puas dengan apa yang diperoleh atau dimilikinya. Setiap kali,ia berjaya meraih sesuatu, ia tidak pernah mensyukuri nya apalagi untuk menikmati kebahagiaan dengan apa yang telah diperolehinya itu. Kemudian ia membuat ’target’ baru untuk dicapainya, dan begitulah seterusnya. Orang ini akan sentiasa merasa cemas apabila target berikutnya tidak tercapai.
Ada juga manusia tidak dapat merasakan kebahagiaan kerana mereka cenderung sangat merenungi nasib malang yang telah menimpanya dan tidak mahu berbuat sesuatu untuk memperbaikinya. Mereka terlalu terpaku pada peristiwa lampau yang telah berlalu dan tidak dapat melupakan masa lalunya yang pahit. Padahal jika ia cuba untuk keluar dari masa lalunya yang kelam, berkemungkinan besar ia dapat menemukan kebahagiaan.
Ada juga dari kalangan manusia yang terlalu mengikuti kata hati dan hawa nafsunya yang acapkali menjerumuskan manusia ke dalam dosa ’hati’ dan menyebabkan manusia itu terjerumus dalam lembah kesedihan dan tidak bahagia. Dosa dalam hati kita merupakan dosa bawaan yang ada dalam diri setiap kita. Dosa-dosa tersebut ialah hawa nafsu, serakah, ego, iri hati,mudah tergoda, suka menyimpan dendam, dan emosional. Semua perbuatan dosa tersebut seringkali membuat manusia tidak dapat merasakan kebahagiaan dalam dirinya.
Namun ungkapan Dr Aidh di atas tadi menguatkan kefahaman saya bahwa memang benar selalunya kebahagiaan itu tidak perlu dicari kerana ia akan datang sendiri. Malah kadangkala ia memangnya sentiasa ada dalam diri kita. Ramai insan merasakan bahawa kebahagiaan berada di luar diri, padahal kebahagiaan itu berada di dalam diri kita. Apabila kita memandang bahawa kebahagiaan itu berada di luar diri kita, kita akan sibuk mencari dan mengejar kebahagiaan. Tetapi sayang, kita tidak akan pernah menemui apa yang kita cari itu. Bak kata seorang penulis buku, ”West Wisdom to Healing World”, ”Kebahagiaan umpama sesekor kupu-kupu, apabila kita kejar, selalu terbang dan berada di luar jangkauan. Tetapi apabila kita tetap tenang ia akan hinggap pada kita.
Bagaimana kah kita menemui kebahagian dalam diri? Kita akan menemui kebahagiaan dalam diri apabila kita melalui fasa fasa ’Tazkiyyah’ yang membawa maksud : membersihkan hati dan memperbaiki tingkah-laku.
Kerana tazkiyyah merupakan aktiviti orang beriman. Allah SWT berfirman:“… di dalamnya ada orang-orang yang cinta untuk senantiasa membersihkan dirinya …” (Surah At-Taubah : 108). Di ayat lain Allah SWT juga berfirman: “… dan sungguh akan kami selamatkan orang yang paling bertaqwa dari api neraka, yaitu orang yang memberikan hartanya kerana ingin mensucikan dirinya.” (Surah Al-Lail : 17-18).
Kerana tazkiyyah merupakan parameter kebahagiaan atau kebinasaan.
Allah SWT berfirman: “…sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Surah. Asy-Syam : 9-10).
Kerana tazkiyyah boleh mengenali penyakit manusia zaman berzaman dan tahu cara mengobatinya. Salah satu penyakit zaman berzaman adalah sama, ia itu hilangnya khusyu’, cinta dunia dan takut mati (wahn). Penyelesaiannya ialah melalui tarbiyah (pendidikan dan latihan) berasaskan Islam. Di dalam tarbiyah Islam tersebut diberikan penekanan betapa pentingnya tazkir, ta’liim dan tazkiyyah.
Secara keselutruhan isi buku ini memberikan tips dari alif sampai ke ya untuk menemui kebahagiaan dalam rumahtangga, disamping suami isteri tercinta di kelilingi oleh anak anak yang saleh penyejuk mata. Tips ini semua adalah pedoman melakukan tazkiyah dalam diri, mensucikan ’hati’ norani dan memperbaiki diri dan tingkah laku untuk meneguk kebahagiaan.
Kebahagiaan sebenarnya bukan terletak pada mata, tangan, kaki atau anggota-anggota lahir. Rasa bahagia itu tempatnya di hati. Kalau hati senang, dalam kemiskinan pun kita boleh merasai kebahagiaan. Sebaliknya kalau hati rosak binasa maka ilmu setinggi langit pun akan membebankan , kekayaan yang melimpah pun akan membawa penderitaan, pangkat yang panjang berjela pun merantai jiwa merana. Oleh itu, untuk menemui kebahagiaan hidup untuk individu mahupun untuk masyarakat, apa yang mesti diutamakan ialah mendidik hati individu-individu insan dengan iman dan taqwa. Bukan dengan duit, pangkat, ilmu tinggi, kemewahan, pembangunan, kemajuan dan kemodenan.
Iman dan taqwa dipupuk melalui fasa fasa ’tazkiyah’ boleh membuatkan orang miskin terhibur dengan kemiskinannya. Iman dan taqwa boleh membuatkan orang kaya pemurah dengan hartanya dan rasa terhibur kalau dapat menyumbang kepada masyarakat dan menderma kepada fakir miskin. Iman dan taqwa boleh membuatkan orang-orang yang berkuasa rendah hati dengan rakyatnya serta terhibur kalau dapat berkhidmat pada rakyat.
Iman dan taqwa membuatkan anak-anak terhibur untuk taat kepada ibu bapa, isteri suka dan terhibur untuk taat kepada suami, pengikut terhibur mentaati para pemimpin, anak murid terhibur untuk hormat dan kasih kepada guru, si gadis jadi malu serta terhibur tinggal di rumah dan pemuda terhibur untuk memikul tanggungjawab dan menyumbangkan tenaga.
“Kebahagiaan itu adalah keriangan hati kerana kebenaran yang dihayati, adalah kelapangan dada kerana prinsip yang menjadi pedoman hidup dan ketenangan hati kerana kebaikan semata disekekeliling kita- Dr Aidh Al Qarni dalam bukunya “ La Tahzan”
”Wahai jiwa jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! - Surah Al Fajr ayat 27-30
Oleh Ir Endok Sempo binti M Tahir
AJK Wanita JIM Pusat/JK JIMedia (2007-2009)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment