(Berita Harian, Jumaat 1/2/2007)
Jawapan oleh Endok Sempo M Tahir
www.bicarakalbu.blogspot.com
Soalan;
SAYA sudah berumah tangga selama tiga tahun dan ada seorang anak. Sejak berkahwin hingga sekarang kami masih tinggal bersama mentua. Suami saya bekerja di sebuah syarikat swasta dengan gaji yang kecil di bandar. Suami pulang ke kampung seminggu sekali. Pada awal perkahwinan mentua sangat positif dan menerima dengan baik dan berasa cukup selesa tinggal sebumbung. Namun sejak akhir-akhir ini hubungan saya dengan ibu mentua mulai dingin dan kurang baik. Beliau sering menunjukkan sikap sinis terhadap saya dan menunjukkan perilaku yang tidak menyenangkan seolah-olah ia tidak suka dengan kehadiran saya. Beliau selalu menunjuk-nunjuk kelebihan anak lain dan membanggakan anak dan menantunya yang yang semuanya tinggal di bandar. Bukan sekali dua mentua saya itu membandingkan gaji suami saya dengan gaji anak-anaknya yang lain yang jauh lebih tinggi. Di samping itu, ibu mentua saya juga selalu menceritakan kebaikan menantu lain. Beliau mesti memuji melambung dan memberi penghargaan melangit dan perhatian yang sengaja menunjuk-nunjuk di depan saya. Ini membuat saya berasa pengabdian saya terhadap mentua selama ini tidak pernah dihargai. Kekecewaan ini saya adukan kepada suami. Tetapi aduan saya seolah olah tidak dapat diterima oleh suami dan kami bertengkar. Berilah sedikit nasihat apakah langkah terbaik buat kami untuk menghindari perkara itu atau adakah lebih baik jika kami pindah ke tempat lain?
Suhana Muar Johor
JAwapan;
PUAN berasa kecewa dengan perilaku mentua kerana beliau selalu membanding-bandingkan dan membanggakan anak serta menantu yang lain. Di samping itu berasa jerih payah puan selama ini kurang dihargai. Ibu mentua lebih menghargai pengorbanan menantu yang pulang sekali sekala. Berbincanglah dengan cara yang paling baik dan berdiplomasi kepada suami dan luahkan rasa isi hati puan. Mungkin puan tidak membenci mentua. Mungkin juga mentua puan tidak bermaksud untuk menyakiti puan.. Apa yang berlaku ialah adanya pelbagai perbezaan sudut pandang dan nilai dipegang. Mungkin ini menyebabkan salah faham antara menantu dan mentua. Jika tidak diurus dengan baik dan dicari penyelesaian segera, kita bimbang perkara yang kecil sebegini boleh berkembang dan menjadi masalah yang sangat kompleks.
Mungkin beberapa langkah boleh mengelakkan pertengkaran lebih besar:
Mengajak suami menilai semula keputusan tinggal berasingan.
Keputusan untuk tidak tinggal bersama diambil, puan sebagai isteri tinggal di kampung dan suami tinggal di bandar. Keputusan ini sudah tentu berdasarkan pertimbangan ekonomi dan hubungan baik menantu-mentua pada peringkat awal. Selepas beberapa lama hidup bersama mentua, ada pula keluhan dan perasaan tidak puas hati. Ini adalah perkara yang wajar dan dijangka berlaku dalam hubungan mentua yang hidup sebumbung.
Oleh itu puan dan suami perlu melihat, menimbang dan menilai kembali keputusan lalu. Mungkin masanya tiba untuk keluarga puan berpindah ke rumah sendiri, mengikut suami tinggal di bandar. Fitrah wanita sentiasa mengharap menjadi permaisuri di rumahnya sendiri. Jika masih menumpang di rumah mentua, mentua sebenarnya yang menjadi permaisuri rumah itu. Cari masa sesuai dan waktu yang tepat untuk memulakan perbincangan. Fokuskan perbincangan kepada keputusan untuk tinggal bersama. Jelaskan kepada suami fitrah kehidupan adalah perubahan. Dunia berubah dan kita juga berubah, demikian juga hubungan suami isteri juga perlukan perubahan kepada yang lebih baik. Puan perlu keintiman hubungan yang lebih. Perubahan adalah satu kemestian. Berbincang berasa semakin sukar dan tertekan dengan hidup yang berjauhan suami yang memisahkan keintiman kasih keluarga, antara suami dan isteri serta ayah dengan anak. Katakan kepada suami tiga tahun adalah satu masa yang lama untuk hidup berjauhan dan berpisah. Masalah ekonomi mungkin tidak timbul lagi kerana suami telah bekerja beberapa lama dan gaji juga meningkat.
Sampaikan kepada suami dan mentua ada perbezaan sudut pandang dan nilai dipegang dan ini menimbulkan salah faham antara puan dan mentua. Kalau tidak ditangani dengan bijak pemasalahan itu mungkin boleh merebak dan menjadi masalah sangat kompleks. Tekankan kepadanya kadangkala seorang isteri tidak bertujuan menyakiti perasaan mentuanya, tetapi kerana adanya perbezaan sudut pandang suatu perbuatan atau perkataan yang tidak bertujuan menghina boleh diertikan sebagai perilaku menghina. Begitu juga sebaliknya, mentua mungkin tidak bermaksud mencemuh atau merendah menantunya, tetapi kerana cara beliau mengekspresikannya kurang tepat atau kadang-kadang terlebih kata, ini menyebabkan menantu tersinggung. Contohnya ada mentua yang sangat baik kepada menantunya tetapi cepat marah bila sesuatu yang bersifat peribadi ditanyakan kepadanya. Puan masih dalam proses belajar mengenali mentua. Tunjukkan kepada suami berusaha untuk tidak mudah tersinggung dengan sikap mentua itu, apalagi yang didasarkan pada prasangka. Puan perlukan masa bertenang untuk melakukan ini.
Jangan mengkritik ibu mentua.
Menantu yang peka terhadap perasaan suami tidak sekali kali mengkritik ibunya (mentua) di depan suami. Walau bagaimana buruknya perangai ibu ia tetap ibu kandungnya. Perlu diingat pertalian darah tidak akan hilang sampai bila-bila dan kasih ibu anak tidak boleh dipisahkan. Kata-kata negatif mengenai ibu kandungnya hanya akan membuat suami puan defensif dan semakin menjauhi. Jika ada tingkah laku mentua tidak menyenangkan hati, puan boleh saja minta suami untuk 'menegur' ibu kandungnya. Teguran itu mestilah dengan kata-kata yang sesuai dan sopan. Kalau anaknya sendiri yang menegurnya, sudah tentu si ibu mentua akan cepat memaafkan dan melupakannya. Lain halnya jika puan yang mengatakannya sendiri kepada ibu mentua. Kemungkinan hubungan puan dengan dia akan bertambah rumit dan setiap kata-kata puan itu mungkin akan dibawa sampai mati.
Kenali mentua
Walaupun ibu mentua bukan sahabat, tetapi puan cuba selami dirinya dan fahami cara fikirannya. Apabila anda anda masuk ke dalam kehidupan suami ini bermakna 'memisahkan' ia dengan anak yang dicintainya. Cuba bayangkan puan menjadi dia, tiba-tiba anak lelaki meninggalkan puan, apakah perasaan puan? Sabar adalah kata kunci mengambil hati mentua. Jika puan dapat lebih bersabar, selalu memberi perhatian dan sikap positif terhadap ibu mentua, lama-lama akan lembut hatinya. Apabila perbuatan negatif dibalas tindakan negatif maka selalunya hasil tidak menggembirakan.
Muhasabah diri.
Apabila suasana hati menjadi lebih tenang dan dapat berfikir dengan lebih jernih, puan cuba periksa diri mengapa agaknya mentua bersikap demikian. Tanyakan pada diri sendiri apakah selama ini puan selalu merasa betul dan tidak boleh ditegur? Adakah puan melihat sesuatu permasalahan secara secara objektif? Tidak adakah perkara positif atau masa indah yang dilalui bersama-sama? Apakah untung ruginya jika puan berterusan bermasalah dengan mentua? Lakukan muhasabah diri secara mendalam. Ingatlah setiap perselisihan pasti membabitkan lebih dari satu orang dan dalam hal ini tidak ada yang tidak bersalah. Jika sebelum ini puan cenderung memikirkan perkara berkaitan mentua secara negatif dan selalu menyalahkan orang lain. Puan perlu mengubah minda dan pola berfikir puan. Belajar melihat permasalahan secara objektif dan positif. Ingatlah ungkapan yang mengatakan: change your thoughts and you change your world. Selain itu cuba belajar untuk tidak menghakimi atau menilai mentua dengan nilai yang ada dalam diri sendiri. Sebab jika cara seperti itu yang puan gunakan maka sukar bagi puan memulakan inisiatif penyelesaian masalah dengan mentua. Mother Teresa pernah mengatakan If you judge people, you have no time to love them.
Beri dorongan kepada suami.
Selepas dapat mengendalikan diri sendiri dalam menghadapi kekecewaan, suami pula menampakkan sifat keterbukaan dan melihat permasalahan dalam rumah tangga beberapa penilaian, maka puan perlu berikan dorongan kepada suami untuk berani mengambil tindakan. Perlu kuatkan tekad suami, pilihan sama ada pindah atau tidak masing-masing ada kesan positif dan negatifnya. Pertimbangkan dengan fikiran jernih pilihan mana yang lebih banyak kesan positifnya, Setelah dapat memutuskan dengan pertimbangan akal sihat, berilah dorongan semangat kepada suami untuk menguatkan diri melangkah ke depan mengikuti keputusan terbaik yang dibuat. Mungkin mulai hari ini galakkan suami membelikan atau hadiah yang menyukakan hati ibunya, misalnya suami belikan kain batik yang kualitinya sama dengan kain batik yang dibelikan untuk puan. Perlu juga sekali sekala suami membalas budi orang tuanya.
Selalu bersabar dan berdoa.
Bersabar dan berdoa adalah gandingan amal yang al-Quran sebut dalam surah al- Baqarah ,"was taiinu bissabri wassalah", mintalah perlindungan dengan solat sabar dan solat. Bersabarlah melayani kerenah mentua dan dalam masa yang sama jangan putus asa berdoa.
Kita semua diuji Allah dengan cara berbeza. Ada yang diuji dengan banjir, kematian, kesakitan, kecurian, manakala puan diuji dengan permasalahan keluarga. Puan boleh mengamalkan doa orang yang diuji ketika menghadapi urusan yang sukar Moga ia boleh meringankan beban puan. Allahumma laa sahla illa maa ja'altahu sahlaa, wa anta taj 'alul hazna idza shi'ta sahlaa Ya Allah, maksudnya: Tiada yang mudah melainkan apa yang Engkau jadikannya mudah. Engkau yang menjadikan kesedihan itu (lenyap) apabila Engkau hendak jadikannya mudah. - (Riwayat Ibn Hibban). As alullah hal 'adhim Rabbal 'Arshil 'adhim ayyash fik (7 kali) - Bermaksud: "Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan yang Menguasai Arasy yang Agung supaya Dia menyembuhkanmu." - (Riwayat Tarmidhi & Abu Dawud) .
Jawapan disediakan oleh Endok Sempo M Tahir , AJK Wanita JIM. Semua permasalahan yang lalu serta jawapannya boleh di layari di www.bicarakalbu.blogspot.com
No comments:
Post a Comment