Jendela Hikmah: Jendela Hikmah: Ibadat korban didik perasaan belas ihsan
Oleh Endok Sempo M Tahir
wanitajim0@yahoo.com
KITA berada pada hari kedua Aidiladha, bermakna masih ada dua hari lagi untuk melakukan ibadat korban. Selain aspek berkorban untuk ketakwaan, persaudaraan dan keprihatinan, ada satu lagi aspek yang perlu dihayati dalam ibadat korban. Aspek yang mencerminkan keagungan Islam dalam ibadat korban itu adalah sifat ihsan. Ibadat korban menganjurkan supaya kita sentiasa berlaku belas ihsan terhadap makhluk lain, tidak kira sama ada yang berakal atau tidak. Contohnya, Islam meletakkan garis panduan yang sangat baik bagi memastikan binatang disembelih ditamatkan riwayatnya dengan penuh belas ihsan. Demikian juga daging yang akan diambil kelak, terhindar daripada kotoran yang membahayakan kesihatan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mewajibkan supaya diperlakukan belas ihsan atas setiap sesuatu. Maka jika kamu ingin membunuh, bunuhlah dengan penuh keihsanan. Dan jika kamu ingin menyembelih, maka sembelihlah dengan penuh keihsanan. Hendaklah kamu menajamkan pisau yang kamu akan gunakan untuk menyembelih dan hendaklah kamu memberi rehat yang secukupnya bagi binatang yang ingin kamu sembelih itu." (Hadis riwayat Muslim dan Tarmizi)
Diriwayatkan oleh Hakim, bahawa seorang lelaki membaringkan binatang yang ingin disembelih. Dia kemudian menajamkan pisaunya. Rasulullah SAW menegur perbuatan lelaki itu seraya bersabda yang bermaksud: "Adakah engkau mahu binatang itu mati dua kali? Alangkah baiknya jika engkau menajamkan pisau engkau dulu sebelum engkau membaringkan binatang itu." Ada beberapa kajian menunjukkan bahawa cara penyembelihan Islam dapat memastikan binatang yang disembelih tidak rasa kesakitan. Binatang sembelihan pula akan mati dengan cepat.
Mengikut kajian Profesor Wilhelm Schulz dan Doktor Hazim dari Universiti Hanover di Jerman, ketika pisau mula memotong leher binatang, aktiviti otaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan. Ini membuktikan ia tidak rasa sebarang kesakitan. Tiga saat selepas penyembelihan, aktiviti otak binatang menunjukkan bahawa ia sudah pengsan atau koma, membuktikan segala kesakitan akibat penyembelihan tidak dapat dirasainya lagi. Ini adalah akibat pengaliran jumlah darah yang terlalu banyak dan terlalu cepat daripada otak binatang itu. Hanya enam saat selepas disembelih, otak binatang itu tidak menunjukkan sebarang aktiviti, menandakan ia sudah mati.
Begitulah hikmah mengapa Allah mensyariatkan penyembelihan, sebagai cara yang penuh belas ihsan kepada binatang. Apabila Allah menyuruh menunjukkan belas ihsan kepada binatang yang akan disembelih untuk dijadikan makanan, kita seharusnya lebih menunjukkan belas ihsan kepada sesama manusia.
Oleh itu, janganlah kita mudah menghukum. Jangan mudah meremehkan perasaan orang lain. Kita bukan dijadikan untuk menjadi hakim bagi semua amalan mereka. Kita bukan dijadikan sebagai penghukum bagi dosa mereka. Itu adalah tugas Allah. Malah, kita sendiri tidak tahu kesudahan mereka dan kesudahan hidup kita. Oleh itu, kita perlu menunjukkan sifat belas ihsan terhadap semua manusia. Islam adalah agama yang menganjurkan keamanan dan menegah kemungkaran. Marilah kita hidupkan ajaran Islam dengan menggalakkan sifat belas ihsan sesama manusia, tidak kira bangsa dan agama.
Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada pengajaran yang ditunjukkan dalam ibadat korban ini. Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pusat yang boleh dihubungi di e-mel wanitajim0@yahoo.com
No comments:
Post a Comment