Sunday, October 07, 2007

Tarling, Qiyam & solat Tasbih di Masjid AS Syakirin, KLCC


Hikmat mengingatkan mama. Mama malam ini adalah malam 25 Ramadhan, kita berqiyam di masjid KLCC ya!. InsyaAllah . Dah beberapa hari mama memasanag angan angan untukberqiyam di Masjid As Syakirin KLCC, Alhamdulillah malam tadi Aalaa tidak tidur awal, pada jam 1.30 am. Aalaa kejutkan mama dan papa untuk berqiyam di KLCC. Mama, papa, Hikmat dan Aalaa berempat beranak berqiyam di masjid KLCC.

Sebelum tu Mcik Ibah menghantar sms, ......." Assalamualaikum, Banyakkkan munajat, InsyaAllah malam ini Lailatul qadar!"......... Ya ALlah berikanlah kekuatan dan peluang untukku mengejarkan lailatul qadar!

Walaupun mama tak dapat Tarling (Istilah Indon bermaksud tarawikh keliling - bersolat tarawikh di setiap masjid kelliling untuk mencari imam yang paling sedap bacaannya), mama tak boleh tarling sebab Hikmat dah jadi imam tarawikh di surau Al Azim. Bacaannya sudah cukup sedap dan baik buat mama. Itu sudah cukup. maka mama tidak perlu ber 'tarling'.

Sesampainya mama di Mesjid...wahhh masyaAllah ramai nya orang berqiyam!. Penuh ruang solat muslimat!. Ramai orang mempunyai pendapat bahawa malam ini malam lailatul qadar
Malam tadi qiyam di imamkan oleh seorang imam hafiz yang sedap bacaannya. lagunya yang mendayu dayu penuh shadu. Dia mengetuakan kami bersolat tasbih, solat taubat dan bermunajat.
Sebelum bersolat berjemaah dimulakan lampu di malapkan untuk menimbulkan suasana 'khalwah' dan khalawatul solat.... Masya Allah mama rasa macam berada dalam satu suasana pertemuan dengan ilahi, seolah berkomunikasi dan terasa dekat sekali dengan ALlah. Seolah olah ALlah sentiasa menjawab segala permintaan munajat kami semua.
Suara sedu sedan jamaah menangis teresak esak, airmata hiba bercucuran keluar tidak boleh ditahan tahan, malah ada makmum mengongoi, menangis pilu, kesedihan, keseduan, penuh pengharapan dan keampunan dari Allah. Terasa seolah olah berada dalam sesi training ESQ yang mengesan jiwa. Spiritually high...


Aalaa surrendered sebaik sahaja habis solat tasbih. Pening kepala semacam 'concussion'!. She missed solat taubah yang sangat mengesan jiwa itu.! Lepas tu dia menyesal pula....

Info Solat sunat tasbih;

Bilangan solat tasbih adalah 4 rakaat. Diperintahkan bagi kita untuk mengerjakannya setiap hari sekali, kalau tidak sanggup, satu kali dalam satu jumaat, atau satu kali dalam sebulan, ataupun satu kali dalam setahun, jika tidak sanggup juga, satu kali dalam seumur hidup!

Bacaan tasbih itu ialah :

Lafaz Niat Solat Sunnat Tasbih
Sahaja aku sembahyang sunnat tasbih empat rakaat kerana Allah Ta'ala

Cara bersolat tasbih ialah :

1. Setelah membaca doa iftitah dibaca tasbih 15 kali.
2. Setelah membaca fatihah dan surah 10 kali.
3. Ketika rukuk dan setelah membaca tasbih rukuk, dibaca 10 kali.
4. Semasa I'tidal dan setelah bacaan I'tidal 10 kali.
5. Sujud pertama dan setelah membaca tasbih sujud, dibaca 10 kali
6. Semasa duduk di antara dua sujud setelah membaca doa yang biasa di dalamnya, dibaca 10 kali
7. Sujud kedua dan setelah membaca tasbih sujud, 10 kali.

Doa Sunat Sembahyang Tasbih

"Ya Allah, Ya Tuhanku, aku bermohon taufiq daripada Mu seperti mana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk, dan jadikanlah amalan ini sepertimana amalan ahli yakin, dan jadikan aku dari golongan yang menerima nasihat, orang-orang yang bertaubat, dan keazaman ku seperti mana orang-orang yang takut. Dan aku bermohon seperti mana pemohon orang yang suka kepada kebaikan dan beribadah seperti ibadat orang-orang yang warak. Dan jadikan pengetahuanku ini sebagai ahli-ahli yang berilmu sehingga aku termasuk ke dalam golongan orang yang takut kepada Engkau.Ya Allah, aku memohon kepadaMu, jadikan dalam diriku ini perasaan takut yang dapat menghalang aku daripada melakukan maksiat sehinggalah aku beramal dengan penuh ketaatan kepadaMu sebagaimana amalan yang aku merasa perlu mendapatkan keredhaanMu dan juga sehingga aku betul-betul ikhlas dan bertawakal kepadMu dalam setiap perkara, dan aku memohon supaya menjadi orang yang baik sangka terhadap Engkau Maha Suci Engkau Pencipta Cahaya kebenaran.Ya Tuhan kami, sempurnakanlah kepada kami cahaya kebenaran, dan ampunilah kami. Sesungguhnya di atas sesuatu itu Engkau Maha Berkuasa."

Friday, October 05, 2007

Umat hilang dua kenikmatan selepas Ramadan


Oleh Endok Sempo Mohd Tahir
wanitajim0@yahoo.com.

(Tulisan ini tersiar hari ini Jumaat, di ruangan Agama-Jendela Hikmah, Berita Harian)

SEMINGGU lagi Ramadan akan beransur pergi. Jika kita merindukan kehadiran yang indah, inilah masa bahagia, masa betapa dekatnya jiwa kita bersama Allah, inilah waktu kedamaian, keadaan ini belum tentu kita akan temui lagi tahun depan.

Sementara kita masih ada peluang yang hanya beberapa hari ini, kita hirup udara malamnya. Kita sedut udara sahurnya. Kita kini sedang berada pada hari perpisahan yang sangat memilukan. Perpisahan dengan bulan mulia yang hadir bersama seluruh keindahan dan keistimewaannya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa melakukan satu ibadat sunnah pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melakukan ibadat wajib pada bulan selain Ramadan. Dan barang siapa yang melakukan ibadat wajib pada Ramadan, maka ia seperti orang yang melaksanakan 70 ibadat wajib di selain Ramadan.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah).
Berpisah dengan bulan ini bermakna kita meninggalkan kesempatan meraih pahala kebaikan yang berlipat ganda.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, kegembiraan saat berbuka dan kegembiraan tatkala bertemu dengan Allah.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Maka, perpisahan dengan bulan ini, bererti kita kehilangan dua keajaiban kegembiraan di kala berbuka puasa.

Perpisahan dengan bulan ini adalah hilangnya kesempatan kita untuk memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak sanggup kita kira lagi.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa yang menunaikan qiamullail pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Selesai saja Ramadan bermakna lenyapnya kesempatan kita untuk menunaikan solat malam dengan jaminan pahala ampunan atas dosa dan kesilapan yang kita sudah tenggelam di dalamnya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Siapa saja yang solat tarawih bersama imam hingga selesai, akan ditulis baginya pahala solat satu malam suntuk.” (Hadis riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Bagaimana dengan kualiti ibadat solat tarawih yang sudah kita lakukan? Perpisahan dengan bulan suci ini, bermakna kita akan kehilangan pahala solat tarawih satu malam suntuk.

Jika salafushalih, selama sebulan Ramadan ini berlumba-lumba membanyakkan membaca al-Quran, Malaikat Jibril memperdengarkan al-Quran kepada Rasulullah SAW, Usman bin Affan mengkhatamkan al-Quran setiap hari, Imam Asy-Syafi'i mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali di luar solat, bagaimana dengan ibadat membaca al-Quran yang kita lakukan?

Apabila Ramadan berlalu, bererti kita pun kehilangan kesempatan agung untuk memperoleh keberkatan sangat istimewa daripada membaca al-Quran pada bulan mulia ini.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

Maka Rasulullah SAW sentiasa mencari malam Lailatul Qadar dan memerintahkan sahabat mencarinya. Beliau membangunkan keluarganya pada malam sepuluh terakhir dengan harapan mendapat malam Lailatul Qadar.

Perginya bulan ini daripada sisi kita, bermakna kita terlepas kesempatan tidak ternilai dalam seluruh hidup sekalipun. Maknanya, lenyap peluang kita memperoleh keuntungan 1000 bulan, iaitu kira-kira 80 tahun daripada usia kita. Mampukah kita hidup dan beramal lengkap selama 80 tahun?

Oleh itu, jangan disia-siakan detik perpisahan ini. Rasakan benar-benar kehadiran kita pada bulan ini. Lantunkan zikir, tilawah al-Quran, munajat, permohonan ampun di sini. Buang kepenatan, hilangkan rasa lelah.

Hanya untuk hari-hari terakhir menjelang perpisahan dengan bulan penuh kemuliaan, kita kejar Lailatul Qadar. Namun, apa yang lebih penting adalah semangat diambil dengan makna Lailatul Qadar.

Semangatnya, adanya sebuah perubahan sikap yang istiqamah terhadap Islam, mencintai Allah sepenuhnya tanpa dinodai dengan cinta dunia. Dengan itu kita boleh menjadi manusia yang ikhlas, menerima Islam seutuhnya, tidak separuh-separuh dan tidak memilih.

Demi perpisahan ini, menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan hebat bulan ini. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya.”

Tears today Happiness tomorrow




Tangisi lah pemergian Ramadhan,

Siramilah mata beningmu dengan airmata taubat, syukur, penuh pengharapan kasih Allah dan nikmat syurgaNya.

Basahilah tempat sujud dengan Tarawikh, tahajjud, iktikaf dan mabit di Mesjid mesjid atau di ruang sunyi rumah kita.....

for tears today, happiness will wait till tomorrow in the Al Jannah, InsyaAllah

Aminnnn

Monday, October 01, 2007

Munajat Ramadan malam ini


Munajat Ramadan malam ini




Malam ini Ahad 9.30 malam papa dan abang uda bermusafir ke Kuala Krai Kota Baru Kelantan. Urusan yang telah terlalu lama untuk diselesaikan. Misi utama hanyalah untuk mendapat tandatangan Kontraktor Utama AKN S/B bagi projek Bangunan Pendidikan Negeri Pahang yang diselia oleh JKR Pahang. Tandatangan ini amat ‘crucial’ untuk memperakukan bayaran akhir bagi kerja-kerja elektrikal yang telah siap pada tahun 2004 lagi. Projek ini telah lama siap, namun birokrasi memakan masa yang terlalu lama sungguh menyusahkan ramai orang. Mama berdoa agar misi ini berjaya dan mamapu menghantar semua perakuan dan laporan yang telah ditandatangai pada keesokan harinya, ia itu hari Isnin. Inilah datelinenya. Ia mesti sampai di meja Pengarah. Agar pembayaran dapat dibuat sebelum Raya. Semoga ia menjadi kenyataan.
Malam ini hati mama terasa sedikit sunyi tanpa papa disisi. Alangkah baiknya jika malam ini mama mengumpul kekuatan untuk mencari nikmat bermunajat kepada Allah. Mungkin mama boleh merasai, maksudnya benar benar ’rasai’ makna pepatah, ” Sayangkan isteri tinggalkan-tinggalkan, sayangkan anak tangan tangankan...”. Nah inilah tanda sayang papa buat mama.....mama lebih mendekati Tuhannya dalam memaknai malam-malam terakhir Ramadhan dan menghulur munajat, menadah berkat, maghfirah dan syurga dari Allah...........

Ya Allah aku berdoa mengharapkan rahmah dan kasih sayangMu dalam mengejar malam malam Lailatul Qadar yang hanya Engkau yang Maha Mengetahui bila tarikh sebenarnya..... Allahu Aalammmm....
Alhamdulillah…segala puja dan puji hanya bagimu ya Allah, kepada-Mu seluruh wajah tertunduk khusyuk. Ya Allah, Engkaulah Yang Maha menyelamatkan hamba-hambaMu yang terperosok ke lembah hubbuddunya’ kepada kemuliaan dan indahnya akhirat dengan Syurga JannahMu.


Subhaanaka…Maha Suci Engkau Ya Allah…, dengan kasih sayangMu, Engkau hadirkan Ramadhan ke tengah hamba-hambaMu yang sedang terhimpit dan tertindih dengan pelbagai beban dosa, kesilapan dan kesalahan, cabaran dan rintangan, tekanan dan permusuhan daripada orang-orang yang ingin mencelakakan aku dengan hasad dan dengki di hati mereka. Aku sedar ya Allah, ini semua adalah ujian,dugaan dan cubaan buat aku. Moga-moga aku mampu maklumi dan fahami di dalam dadaku bahwa ”ujian Engkau ini hendak meninggikan darjat bagi sesiapa yang lulus daripada ujian Mu, dan Engkau hinakan bagi sesiapa yang gagal dari segala ujianMu. Ya Rabb…. Walaupun kadangkala derap langkah kaki ini dalam menapaki tangga menuju ke dalam dakapanMu terasa sangat berat, Ya Allah… sungguh tiada dayaku dan kekuatanku kecuali dengan pertolonganMu.

Tabaaraka Taala…Maha Suci Engkau Ya Allah…, Pemberi keberkatan, Engkau berkatilah hidup aku untuk berjumpa dengan Lailatul qadar di RamadhanMu kali ini, bulan yang mempunyai sejuta makna daripada kebaikan. Pada bulan ini Engkau bentangkan kesempatan untuk bertaubat, mendapatkan maghfirah, rahmat dan kebebasan dari neraka.

Ya Allah, Azza wajalla, Aku pohon dari MU, Engkau kukuhkan roh jihad di dadaku. Engkau tarbiyah aku untuk memahami unjuk rasa antara sesama hamba dengan jiwa sabar dan ukhuwah. Engkau beri kesempatan kepada aku untuk lebih banyak menghidupkan sunnah RasulMu. Engkau hidupkan ruhiyah dan semangat aku untuk selalu ber’taqarrub’ kepadaMu. Dan Engkau seru hamba-hambaMu; Ya faa’ilal khair aqbil…(wahai pemburu kebaikan, sambutlah…).

Wahai diriku yang dhaif lagi hina dikaki kekuasaanMu. Aku tahu pintu ampunan Mu terbuka luas, kesempatan taubat sentiasa tersedia, pintu-pintu jannah terbuka selebar-lebarnya, wahai diri sedarilah. Mengapakah aku tidak sambut seruanNya semaksimum, mengapakah aku tidak berlari lari, mengapa aku tidak berlumba-lumba memasuki pintu pintu nya dengan amal saleh ku. Walhal aku tidak payah utnuk mengetuk pintu pintu itu lagi...mudah sangat masuk lah sahaja! Mengapakah aku ambil ringankan sahaja selama ini? Mengapa aku biarkan kebaikan-kebaikan itu berlalu pergi.
”.....Ringg.........ring ”, telefon binmbit mama berbunyi...itu papa telefon, hanya igin memberitahu bahwa papa telah sampai ke destinasi di Pekan Kuala Kerai, baru sahaja selesai sahur di sebuah motel murah RM70.00 semalam.... Alhamdulillah papa dah pun sampai....
Wahai diri yang alpa, bukankah di bulan Ramadhan ini, pintu-pintu neraka telah Allah kunci rapat-rapat, namun mengapa aku sia siakan, mengapa ’ghoflah’ dan malas sentiasa menyapa NAFSU.... yang tiada henti-hentinya aku lakukan? Nafsu manusia kadang kala umpama air. Tak pernah berhenti untuk mengalir sentiasa. Selagi masih ada alur, jalur, ruang dan celahan, di situlah air mengalir. Bezanya antara nafsu dengan air yang mengalir ialah air mengalir ke tempat lebih rendah, sebaliknya nafsu terus mengalir ke arah yang lebih tinggi. Sungguh ironis!
Memang manusia digelar makhluk yang jarang rasa ’puas’. Sesuai benar dnegan maksud hadis: ” hanya TANAH yang mampu memuaskannya!”. Selalu saja menemui satu titik yang bertanda ...” kurang ” atau ”...tidak cukup” di hujung sesuatu pencarian. Demikian juga insan pelupa ini ibarat orang yang selalu mendongak ke atas, selalu lupa menatap atau menjengah walau sekilas ke bawah

Bukankah syaitan-syaitan telah Allah belenggu, namun aku kadangkala terleka dan terikut ikut teralun dengan seruan-seruan Jahatnya. Bukankah bisik bisikan halus itu menutup mata hati pendengaran aku? Ya Allah, makhluk apakah aku ini, Engkau telah memberikan kesempatan kepada aku untuk datang kepadaMu di bulan Ramadhan ini, namun banyak kesia siaan yang terus aku lakukan dan aku tidak pandai memanfaatkan kesempatan yang berharga ini? Astaghfirullah..wa atuubu ilaik..Ya Allah aku pohon ampun dna bertaubat kepadamu....

Wahai hati ku yang alpa...sungguh sunguh bermunajat, agar tatapan Rabbi benar benar menumpu memandang kepadaku, yang hanya mampu menangis kerana sesal dosa dan takut dahsyatnya seksa neraka. Ya Allah Engkau Maha Tahu apa yang dikhianati oleh hati dan mata ku. Engkau Maha Halus dengan apa yang ada dalam benak ku. Engkau Maha Mendengar apa yang didengar oleh telingaku ku yang dengan berleluasa mendengar suara-suara maksiat. Engkau Maha meneropong segala gelumang dan lumuran dosa hamba-hamba Nya. Seolah aku mendengar Sergahanmu Ya Allah: Yaa baaghiyas syarr aqshir…(wahai pelaku-pelaku kejahatan, berhentilah…), Ya Allah kurniakan aku rasa takut kepadaMu yang menghalangi aku daripada berbuat maksiat kepadaMu…

Wahai diri yang selalu lupa.....sudah berapa juz Ayat Al-Quran yang telah di baca? Bukanlah Al QURAN YANG mulia penuh bimbingan KHUSUS kepada ku jika dibaca, direnungi, di maknai ia mampu menghidup hati dan fikiran ku, pencerah dan pencetus motivasi ku, penunjuk jalan hidup ku, penyejuk jiwaku, pemberi info siapa saudara dan musuh ku. Mengapa aku tidak dapatkan banyak tip-tip semasa membacanya?mentadabburinya…? menghafalkannya…? Mengamalkannya…? Alangkah ghaflahnya aku…mungkinkah aku mampu memperoleh syafaat-Nya?


Wahai diri ku yang kerdil, mohon lah kepada Allah Al Qahhar agar memberiku kekuatan untuk menghidupkan malam malam terakhir Ramadhan ini dengan Qiyamullail. Inilah jalan- jalan yang ditempuh oleh orang-orang soleh, itulah sarana menggapai dakapan dan redhaNya, sumber inspirasi dan wibawa. Mengapakah dengkuran itu, selimut itu menyelimuti diri sehingga aku melewatkannya?, tidakkah aku ingin merasakan kelazatan rahmatNya, meraih cintaNya, mendapatkan ampunanNya? Dengan munajat di kala orang lain tertidur lelap. Merugi…merugilah aku bila aku tidak melaksanakannya…

Ya Allah....Aku bermunajat, kasihanilah aku, lindungilah aku, agar aku sentiasa mampu bermujahadah meraih redhaMU Nya dan terhindar daripada maksud sabda Rasulullah SAW; ” Roghima ‘anfu man adrakahu Ramadhan falam yughfar lahu (celakalah dan menyesal orang yang mendapatkan kesempatan hidup di bulan Ramadhan dan dia tidak beroleh ampunan).

Allahumma nasyku ilaika dhi’afa quwwatina…Ya Arhamarraahimin Anta Rabbul Mustadh’afiin, faqawwina ya Rabbana ‘ala thoo’atika…Amin.
Usalli sunnata tahjjuddi lillahi taala......
Allahu Akbarrrrrrrrrrrrrr.....