29 Zulkaedah 1436H
13 September 2015
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
Qalbun Salim ( قلب سليم ) dari sudut bahasa arab berarti hati yang bersih daripada penyakit.
Dalam Al Quran disebut 2 kali lafaz ( قلب سليم ) :
Pertama dalam Surah As Syua'ra : 88-89
يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ ﴿٨٨﴾ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّـهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ ﴿٨٩﴾
(Iaitu) di hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna,(88)
kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih,(89)
Kedua dalam Surah As Saaffat : 84
إِذْ جَاءَ رَبَّهُ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ ﴿٨٤﴾
(lngatlah) ketika ia (Ibrahim) datang kepada Tuhannya dengan hati yang suci.
Ibnu Katsir mentafsirkannya ( قلب سليم) sebagai 'hati yang sejahtera daripada kotoran (penyakit) dan syirik dan begitu Mujahid, Al Hassan mentafsirkan sebagai sejahtera daripada syirik.
Muhammad bin Sirin pula mentafsirkannya sebagai 'hati yang sejahtera iaitu hati yang mengenal Allah sebagai tuhan sebenarnya, dan saat Hari Kiamat itu akan datang tiada keraguan tentangnya dan Allah akan membangkitkan di Hari Akhirat manusia dari kubur mereka.
Al Qurtubi dalam tafsirnya menyebut:
"...Hati yang baik, iaitu yang bersih daripada sifat-sifat yang tercela, bersifat dengan sifat-sifat yang indah".
Dalam sahih Muslim, hadith daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
يدخل الجنة أقوام أفئدتهم مثل أفئدة الطير
"Akan masuk syurga golongan yang hati mereka bagaikan hati burung"
Iaitu yang bersih daripada kotoran dosa, sejahtera daripada keaiban dan tiada terkesan dengan urusan dunia.
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:
أكثر أهل الجنة البله
"Kebanyakan ahli syurga itu ialah Al Bulhu".
(Hadith Riwayat Al-Bazzaar)
Al Bulhu ( البله ) Iaitu seorang yang baik, tidak mengenal kejahatan, sejahtera hatinya dan bersangka baik terhadap manusia.
Nabi SAW pernah ditanyai oleh para sahabatnya:
أي الناس أفضل ؟ قال :كل مخموم القلب صدوق اللسان» قالوا: صدوق اللسان نعرفه فما مخموم القلب؟ قال: «هو التقي النقي لا إثم فيه ولا بغي ولا غلٍّ ولا حسد»
(ابن ماجة: 6024 الزهد)
Siapakah manusia yang paling utama? sabda Rasulullah SAW : "Setiap yang makhmum hatinya dan benar lisannya." Mereka bertanya: "Benar lisan kami tahu, apakah dia makhmum hati?". Sabda Rasulullah SAW: "Dia yang bertaqwa, bersih hatinya, tiada dosa dalamnya, tiada sikap permusuhan, tiada dendam kesumat dan tiada kedengkian".
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)
Boleh disimpulkan Al Qalbu As Salim ( القلب السليم ) sebagai :
HATI yang...
1. Bersih dan sejahtera daripada segala penyakit syubhat seperti syirik, kufur, nifaq juga kejahilan dan keraguan.
2. Bersih dan sejahtera dari segala penyakit syahwat seperti riya', ujub, hasad, takabbur, buruk sangka dan seumpamanya.
3. Bersih dan sejahtera daripada kotoran dosa dan daki dunia.
Justeru, kita punya kerja yang banyak untuk mendidik dan mengasuh serta mengislah HATI, bersibuklah dengannya...